Sekali lagi kita didedahkan dengan isu hubungan seks luar tabi`i, tapi kali ini ia berlaku di Barat apabila seorang wanita yang mengamalkan hubungan ini telah berkahwin di Kanada dengan pasangannya yang juga seorang wanita. Mereka telah memohon pihak mahkamah United Kingdom supaya mengiktiraf perkahwinan mereka sebagai pasangan suami isteri yang sah (BH. 8hb, Jun 2006).
Pada hari yang sama (8 Jun 2006) saya menerima panggilan talipon daripada seorang sahabat menyatakan bahawa seorang ibu mengadu kepadanya kerana mendapati anak perempuannya yang sedang menuntut di luar negara mengamalkan hubungan seks luar tabi`i ini bersama rakan sejenisnya. Ibu ini merasakan amat sedih dengan perkara ini yang belum pernah dialaminya; persoalannya sekarang, bagaimanakah cara untuk memulihkan anaknya itu supaya kembali menjadi insan yang mengikut fitrah asalnya dan apakah hukum syarak bagi mereka yang melakukan amalan tersebut.
Jika kita menyorot ke belakang, beberapa bulan sebelum ini, kita telah dikejutkan dengan isu kahwin sejenis yang berlaku di Sarawak, tetapi pasangan yang dimaksudkan itu kedua-duanya adalah lelaki, di mana salah seorang di antaranya telah melakukan pembedahan plastik dan berjaya menukar jantinanya menjadi seorang perempuan. Perkahwinan mereka telah disahkan oleh salah sebuah gereja di negeri itu.
Isu tersebut telah mendapat liputan dan juga maklumbalas yang meluas di kalangan pelbagai pihak di negara ini, termasuklah para ilmuan, mufti, ahli siasah dan lain-lain.
Berbalik kepada perkara kahwin sejenis yang saya sebutkan tadi, iaitu kahwin di antara seorang wanita dengan seorang wanita lain, di dalam Islam, tidak ada apa yang dinamakan sebagai kahwin jika ia berlaku di antara dua orang yang sama jantinanya, seperti lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Perkahwinan yang disahkan Islam hanya boleh berlaku di antara seorang lelaki dengan seorang wanita sahaja dan tertakluk kepada kesempurnaan rukun dan syarat yang diperuntukan dalam sesuatu perkahwinan itu.
Di kalangan para sarjana Islam, hubungan luar tabi`i yang berlaku di antara seorang wanita dengan wanita lain dinamakan sihaq atau musahaqah. Ia merupakan perbuatan yang bertujuan memuaskan nafsu seks masing-masing dengan cara yang tertentu (Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, (Hukum Hudud), Negeri Kelantn, fasal 19). Di dalam istilah sekarang ini, ia dinamakan lesbian. Oleh kerana dalam amalan ini tidak berlaku sentuhan di antara lelaki dan perempuan, maka tidak berbangkit apa yang kita namakan sebagai persetubuhan atau liwat. Kalaupun ada, mungkin dengan cara memasukan jari atau alat tertentu ke dalam kemaluan pasangannya.
Dalam pengamatan saya, sekurang-kurangnya terdapat dua kesan buruk hasil daripada amalan ini, iaitu pertamanya ia akan menyebabkan kesan fizikal yang tidak sihat, iaitu sifat kemurungan, lemah tenaga dan pucat. Kedua ia menggalakan manusia lari dari sistem perkahwinan yang digalakkan agama Islam dan seterusnya akan meruntuhkan institusi kekeluargaan yang terhasil di sebalik disebalik sesuatu perkahwinan, dan yang akhirnya, jika amalan ini dibiarkan berterusan, akan menjadi penyebab utama kepada pupusnya zuriat manusia secara perlahan-lahan dari masa ke semasa kerana ketiadaan hubungan seks sebenar yang boleh menghasilkan zuriat manusia.
Apakah pandangan syarak terhadap amalan ini dan apakah hukumnya terhadap mereka yang melakukannya?
Amalan sihaq atau musahaqah merupakan amalan terkutuk di dalam Islam. Tidak ada ulama’ yang mengatakan ianya sesuatu yang halal di sisi hukum syara�. Pengharamannya merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mu’minun, ayat 5-6 dan sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Seorang lelaki janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang lelaki di dalam sehelai kain dan seorang perempuan janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang perempuan dalam sehelai kain (Nail al-Autar, 6:16). Maksud Hadis ini amat jelas menunjukkan pengharaman liwat dan musahaqah di antara seorang perempuan dengan pasangan perempuannya.
Sebahagian ulama’ berhujah tentang pengharamannya dengan sebuah Hadis lain, iaitu sabdanya yang bermaksud: Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki (melakukan hubungan seks) maka kedua-duanya adalah penzina dan apabila seorang perempuan mendatangi seorang perempuan maka kedua-duanya adalah penzina (Nail al-Autar, 7:30). Hadis ini walaupun menggambarkan amalan ini sebagai perbuatan zina tetapi ia bukanlah zina yang dihukum dengan hukuman hudud (iaitu rejam atau sebat) kerana amalan ini tidak menyebabkan berlakunya kemasukan zakar ke dalam faraj. Ia adalah menyamai perbuatan seorang lelaki yang bercumbu dengan seorang perempuan tanpa melakukan persetubuhan. Justeru para ulama’ mengatakan bahawa pesalah di dalam amalan ini hanya di kenakan hukuman ta`zir yang diserahkan kepada budibicara seorang hakim (`Abd al-Qadir `Audah, 2:368-369).
Justeru, ia adalah satu kesalahan yang terdapat peruntukan hukuman dan pembalasannya di dunia ini, disamping pesalah akan mendapat pembalasan di akhirat sekiranya dia tidak mendapat pengampunan Allah.
Bagi mereka yang terlibat dengan amalan luar tabi` ini perlu diberikan nasihat dan bimbingan secukupnya agar mereka sedar tentang kesalahan yang mereka lakukan dan kembali ke jalan yang diredai Allah serta menjalani kehidupan yang tabi`i.
Asuhkan anak-anak mereka agar mencintai kebaikan, mengamalkan budaya yang sihat dan menghayati pekerti yang tinggi. Pisahkan mereka daripada rakan seamalan. Pindahkan mereka ke tempat lain yang mempunyai persekitaran yang selamat supaya mereka tidak berpeluang mengulanginya lagi. Sentiasa memantau gerak geri mereka agar ianya selamat serta sentiasa berdoa untuk mereka. Bekalkan mereka dengan pendidikan agama secukupnya.Dorongkan mereka mendekati Allah menerusi sembahyang, membaca al-Qur’an, berzikir, menghadiri majlis-majlis ilmu, ceramah atau seminar dan apa-apa aktiviti yang berkaitan dan lain-lain.