Populasi umat Islam di negara kita adalah yang terbesar mencecah 61.3 peratus. Walaupun peratusannya terbesar namun kekayaan yang dimiliki oleh umat Islam masih lagi kurang memberangsangkan. Ini ditambah dengan kadar kemiskinan ummah masih mencecah 5.3 peratus manakala kaum Cina misalnya hanya 0.6 peratus.
Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Adakah kekayaan itu tidak diagihkan sama rata sehingga menyebabkan jurang kemiskinan dalam kalangan umat Islam makin melebar? Atau umat Islam tidak bersedia untuk mengurus sumber ekonomi dengan baik? Oleh itu, kita perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk memperkayakan umat Islam dan mencari jalan supaya umat Islam mempunyai harta yang lebih baik.
Salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah melalui strategi mengajak golongan muda untuk mengurus ekonomi dengan baik dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar. Di sinilah peranan golongan muda sebagai penggerak tenaga dengan memanfaatkan tanah-tanah terbiar untuk dijadikan sumber pertanian yang boleh dikomersialkan.
Cuba kita lihat berapa banyak tanah yang terbiar tidak diusahakan? Menurut portal Kementerian Pertanian dan Asas Tani, sejumlah 466,088.93 hektar tanah terbiar yang melibatkan 1,873 lokasi telah dikenal pasti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tahun 2010. Melihat kepada keluasan tanah-tanah terbiar ini sebenarnya ia boleh diusahakan dan dimanfaatkan untuk dijadikan dusun, kebun atau kawasan pertanian utama. Dengan memanfaatkan tanah-tanah terbiar ini, pelbagai tanaman keperluan penduduk dapat ditanam seperti cili, bawang, keledek, sayur-sayuran dan sebagainya yang turut membantu ekonomi orang kampung.
Peluang ini jika diambil dan diuruskan dengan baik sudah pasti akan mendapat pulangan yang lumayan di samping dapat membantu industri pertanian negara. Apatah lagi, jika ia mampu dilaksanakan kita tidak lagi perlu bergantung harap kepada sumbangan dari negara jiran apabila negara kita sudah mempunyai hasil tanaman yang mencukupi. Bayangkan bagaimana keadaan jika tempat kita bergantung import seperti dari negara Thailand yang terus mengalami fenomena banjir besar? Pastinya kita akan menerima tempiasnya sama ada berlaku kenaikan harga atau kita tidak lagi mampu untuk memakan hasil sayur-sayuran, kekacang dan sebagainya.
Justeru, adalah lebih baik jika tanah-tanah terbiar ini dapat dimanfaatkan oleh golongan muda terutamanya untuk dijadikan hasil pertanian dan ternakan yang bukan sahaja boleh dimakan bahkan juga dapat dijadikan sumber kepada ekonomi negara.
Begitu juga dengan keadaannya di kawasan utara tanahair, terutamanya di Kedah. Dianggarkan hampir 20 peratus petani yang majoritinya beragama Islam di kawasan tersebut dibelenggu hidup di bawah paras kemiskinan. Ini adalah disebabkan gara-gara mereka sanggup memajakkan sawah padi mereka kepada pengusaha lain yang dipercayai bukan beragama Islam untuk mendapat wang dengan cepat tanpa perlu bekerja keras dan bersusah payah.
Keadaan inilah yang menyebabkan mereka terus dibelenggu kemiskinan dengan pendapatan petani yang memajakkan sawah mendapat sekitar RM333 sebulan yang mana lebih jauh dibawah paras kemiskinan. Fikirkanlah bagaimana pendapatan sebanyak itu mampu untuk menanggung perbelanjaan keluarga ditambah dengan anak yang ramai dalam keadaan ekonomi sekarang? Dengan keluasan sawah yang dimiliki sepatutnya seorang petani itu mampu memperoleh pendapatan yang lumayan sehingga mencecah lima angka untuk satu musim. Namun, disebabkan faktor keuzuran dan sudah tua mereka tidak mampu untuk mengusahakannya lagi.
Malah yang lebih menyedihkan lagi ramai golongan muda yang tidak lagi berminat untuk mengusahakan pertanian tersebut lebih-lebih lagi untuk bergelar sebagai seorang petani. Disebabkan itu jugalah ramai yang sanggup memajak sawah mereka kepada bangsa lain dalam tempoh antara lima tahun sehingga sepuluh tahun malah ada yang terjerat sehingga 15 tahun.
Masalah ini sebenarnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menyukarkan lagi hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan transformasi meningkatkan taraf hidup petani mungkin akan mengalami kegagalan. Maka sesuatu perlu dilakukan supaya penanaman padi ini dapat diteruskan oleh umat Islam dan seterusnya menjadi sumber ekonomi negara dan dalam masa yang sama tahap kemiskinan dapat ditangani.
Dalam menangani situasi ini apakah peranan kerajaan dan sejauhmanakah pula kerajaan boleh membantu? Melihat kepada hal ini, kerajaan boleh memberikan bantuan kepada mereka yakni dengan memastikan kemudahan pinjaman kewangan dan bantuan dari segi alat-alat teknikal dapat disalurkan dengan baik.
Walaubagaimanapun, seseorang petani itu apabila sudah membuat pinjaman kewangan perlulah mengukuhkan sifat dan tanggungjawab kepada masyarakat dengan membayar balik pinjaman mereka untuk membantu petani yang lain dalam mengusahakan pertanian mereka. Tanggungjawab dan amanah yang besar ini perlu dilakukan dengan baik agar dapat membantu perniagaan yang baru pula.
Justeru dalam hal ini, umat Islam terutama golongan muda perlulah bersedia untuk menguruskan sumber kekayaan dengan baik. Walaupun mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi tetapi jika tidak diurus dengan teratur dan sistematik maka aset tersebut tidak dapat digunapakai dengan baik.
Oleh itu, bermula hari ini umat Islam seharusnya bersedia mengambil inisiatif memperkukuhkan keupayaan mereka dalam usaha untuk menguruskan ekonomi dengan baik di samping dapat meningkatkan daya saing bagi menghadapi cabaran-cabaran baru ekonomi yang akan datang. Ekonomi ummah yang kukuh dan mantap ini secara tidak langsung dapat menangani isu kemiskinan dalam negara dan seterusnya dapat memperkayakan umat Islam itu sendiri.