Semenjak 2019, COVID-19 yang tercetus di Wuhan, China telah tersebar ke seluruh dunia dan menjadi pandemik sehingga hari ini. Negara Malaysia mencatatkan kes kumulatif sebanyak lebih 1.5 juta dengan angka korban melebihi 14 ribu. Dalam keadaan virus SARS-CoV-2 dengan pelbagai varian yang berleluasa menjangkiti masyarakat, norma baharu melibatkan penjarakan fizikal dikuatkuasakan. Pada masa yang sama, kaedah perubatan untuk membanteras virus tersebut juga giat diusahakan.
Hasil usaha penyelidikan para saintis, vaksin yang berkesan untuk membanteras rantaian penularan COVID-19 diperkenalkan. Negara di seluruh dunia mengambil langkah memberikan vaksinasi kepada rakyatnya. Malaysia telah memulakan proses vaksinasi pada Februari 2021 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan sasaran boleh mencapai imuniti kelompok apabila 80 peratus daripada keseluruhan populasi telah divaksinasi.
Program vaksinasi ini mendapat sokongan penuh daripada badan autoriti agama seperti jabatan mufti dan jabatan agama Islam sebagai satu bentuk ikhtiar perubatan. Di samping itu, badan autoriti agama menjamin bahawa vaksin yang didapatkan oleh kerajaan adalah harus untuk digunakan, dan golongan yang berkelayakan untuk menerima vaksin wajib mendapatkannya seperti yang dijadualkan.
Meskipun demikian, program vaksinasi berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk keengganan sebahagian masyarakat untuk mendapatkan vaksinasi seperti yang dijadualkan. Keengganan mendapatkan vaksinasi COVID-19 ini antaranya dengan alasan memperjuangkan hak kebebasan untuk membuat pilihan berkaitan kesihatan diri.
Pemberian vaksin sehingga mencapai imuniti kelompok yang disasarkan akan membolehkan masyarakat kembali kepada gaya hidup asal seperti menjamu selera di restoran, ziarah menziarahi antara satu sama lain, dan melakukan solat secara berjemaah di masjid. Namun, sebelum semua aktiviti boleh kembali kepada sediakala, pergerakan dan aktiviti seperti yang dinyatakan dilonggarkan secara berperingkat. Pada masa kini, hanya golongan yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan melakukan aktiviti berkenaan. Hal ini antaranya bertujuan melindungi mereka yang belum lengkap vaksinasi dan menurunkan jumlah jangkitan.
Golongan yang dikira lengkap vaksinasi menurut Kementerian Kesihatan Malaysia ialah mereka yang telah cukup 14 hari selepas mendapat dos kedua vaksin bagi penerima vaksin jenis dua dos. Bagi penerima vaksin jenis satu dos, mereka dikira telah lengkap vaksinasi selepas cukup 28 hari setelah menerima suntikan.
Namun, kelonggaran terhadap golongan yang telah lengkap vaksinasi dipandang negatif oleh mereka yang enggan menerima vaksin. Mereka melihat polisi ini menyekat kebebasan dan menganggapnya satu bentuk penindasan. Bagi membolehkan mereka mendapat kelonggaran yang sama, sebahagian mencipta helah seperti mewujudkan sijil vaksinasi palsu dan pelbagai cara lain agar mereka kelihatan telah lengkap vaksinasi. Menggunakan kaedah yang salah untuk memperoleh kelonggaran pergerakan sehingga mengundang bahaya kepada orang lain merupakan suatu bentuk muslihat dan pengkhianatan.
Sikap sebegini mengingatkan kita perihal sikap satu kaum yang dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 65 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina’.”
Ayat ini merujuk kepada kaum Yahudi pada zaman Nabi Musa a.s. Mereka diberikan ruang untuk memburu dan menangkap ikan setiap hari kecuali pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu mereka dilarang menangkap ikan kerana pada hari tersebut dikhaskan kepada mereka untuk beribadah. Namun, disebabkan sikap fasik dan khianat yang telah sebati dalam diri mereka, Allah menguji mereka dengan menampakkan ikan pada hari sabtu dan menyembunyikan ikan pada hari lain.
Sikap mereka yang fasik dan khianat mendorong mereka mencari muslihat untuk mendapatkan ikan pada hari Sabtu tanpa kelihatan secara zahir pergi berburu. Mereka memasang pancing, jala dan perangkap ikan sebelum hari Sabtu. Apabila ikan-ikan ini keluar pada hari Sabtu, maka ikan-ikan tersebut pun tertangkap. Kemudian kaum Yahudi tersebut memungut hasil tangkapan selepas hari Sabtu. Disebabkan keserakahan mereka menggunakan helah untuk melanggar perintah Allah, maka Allah menukarkan rupa mereka menjadi kera yang hina. Demikianlah kesudahan bagi mereka yang bersikap tidak amanah dan khianat.
Adapun polisi mendapatkan vaksinasi tidak menyamai taraf perintah Allah, mahupun perintah rasul namun, dalam polisi tersebut terkandung ikhtiar dan hasrat memelihara kesejahteraan rakyat dan negara. Begitu juga syarat vaksinasi yang lengkap untuk membolehkan masyarakat diberi kelonggaran pergerakan. Meskipun polisi kerajaan ini tidak menyamai syariat Allah, helah penciptaan sijil vaksinasi palsu tetap dianggap satu bentuk kezaliman terhadap masyarakat sekeliling dan pengkhianatan terhadap negara. Hal ini kerana perbuatan sedemikian melanggar kepercayaan orang lain dan mendedahkan masyarakat sekeliling kepada bahaya jangkitan. Sikap khianat ini tidak ubah seperti sikap kaum Yahudi yang dinyatakan sebelum ini.
Bangsa Yahudi merupakan bangsa yang dimurkai oleh Allah SWT. Sikap pecah amanah dan pengkhianatan mereka telah banyak dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam membenci sikap dan perangai bangsa Yahudi. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunah, sikap dan perangai Yahudi tersebut perlu dihindari.
Dalam konteks vaksinasi, masyarakat digesa untuk mendapatkannya bagi melindungi diri daripada komplikasi buruk jangkitan COVID-19. Namun, usaha ini tidak mampu menggesa, apatah lagi memaksa golongan yang enggan mendapatkannya. Golongan ini mempunyai hak yang dirasakan penting bagi mereka untuk dipertahankan. Meskipun begitu, kepercayaan terhadap hak tersebut tidak sepatutnya membawa kepada muslihat dan tipu helah sehingga mengganggu-gugat hak majoriti masyarakat lain yang menerima usaha vaksinasi untuk melindungi diri.