“Ada seorang pesakit yang sudah dimaklumkan keadaannya yang semakin baik kepada isterinya. Pesakit juga dimaklumkan akan dipindahkan ke wad biasa sekitar waktu tengah hari. Isteri pesakit sangat gembira. Tapi petangnya, pesakit mendapat serangan jantung. Kami terpaksa melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan pesakit diintubasi sekali lagi. Malangnya, pesakit tidak dapat diselamatkan. Saya merasakan berita yang disampaikan sebelumnya seperti memberikan harapan palsu. Dalam keadaan menggigil, saya berulang kali memohon maaf. Situasi pesakit yang tiba-tiba tidak sedarkan diri seperti inilah buat saya rasa sangat bersalah. Sukar sekali untuk saya lupakan.” Demikian luahan salah seorang doktor bius yang terlibat dalam rawatan pesakit Covid-19. Pengalaman perit seumpama ini pastiya dikongsi ribuan petugas perubatan di negara ini, khususnya selepas berlakunya gelombang ketiga jangkitan Covid-19, iaitu sekitar September 2020.
Dalam misi menyelamatkan nyawa dan menamatkan penderitaan pesakit, setiap petugas perubatan bukan sekadar didorong oleh ikrar pengamal perubatan Islam mahupun juga Hippocratic Oath atau versi modennya, Kod Etika Perubatan Antarabangsa. Hakikatnya, ia lebih didorong oleh impian luhur untuk menyaksikan lebih banyak manusia kembali sihat dan meneruskan kehidupan. Impian luhur ini sendiri menepati tugas mulia yang diberikan pengiktirafan oleh al-Quran yang bermaksud, “…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah telah menjaga keselamatan hidup manusia seluruhnya….” (Surah al-Ma’idah, ayat 32).
Oleh sebab tingginya nilai nyawa, maka lazim didengar penegasan doktor yang merawat pesakit untuk memberikan rawatan terbaik buat pesakit. Antaranya sebagaimana diakui Dato’ Dr. Mohamed Ezani Md. Taib, Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik, Institut Jantung Negara dalam temu bual segmen Inspirasiku, IKIMfm pada 23 Januari 2018. Menurut beliau, prinsip yang menjadi sandaran dalam pelaksanaan tugasnya ialah setiap pesakit dirawat sebagaimana ibu bapa dan ahli keluarga sendiri. Hal ini membuatkan setiap rawatan diusahakan pada tahap terbaik dan dengan menyedari tanggungjawab besar yang dipikul bagi memenuhi harapan tertinggi pesakit serta ahli keluarga mereka. Dengan demikian juga, segala kesulitan dan cabaran besar dalam kerjaya sebagai pengamal atau petugas perubatan, dihadapi dengan tenang dan penuh tumpuan. Semuanya ini juga demi menjaga kepentingan pesakit yang sentiasa dijadikan keutamaan.
Tanyalah kepada setiap individu yang kerjayanya berkaitan dengan keselamatan nyawa; daripada petugas perubatan sehinggalah anggota keselamatan yang diistilahkan sebagai petugas barisan hadapan. Niat dan hasrat mereka semata-mata untuk menghulurkan bantuan, meredakan kebimbangan dan mengekalkan ketenteraman kehidupan. Bukankah semua tindakan mulia ini mendapat pujian dan diberikan jaminan oleh Nabi SAW untuk memperoleh ganjaran yang hebat di sisi Allah SWT. Sebagai contoh, dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW menjamin bahawa orang yang berusaha melepaskan saudara Mukminnya daripada kesulitan dunia akan dilepaskan Allah daripada kesulitan akhirat. Demikian juga jika urusan orang lain dipermudahkan, maka Allah akan mempermudah urusannya bukan sahaja di dunia tetapi juhga di akhirat. Dalam Hadis yang lain pula, Nabi SAW memuji mereka yang menjaga keselamatan tanah air dalam keadaan ummah dilanda kebimbangan dan ketakutan. “Mahukah kamu jika kukhabarkan perihal malam yang lebih baik daripada Lailatul Qadar? (Malam yang menyaksikan) seorang lelaki berkawal di tempat yang berbahaya dan berkemungkinan ia tidak dapat kembali ke pangkuan keluarganya.” (Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Ulama bersepakat mengatakan bahawa maslahah penjagaan nyawa mengatasi penjagaan keturunan, akal dan harta. Al-Asnawi mengatakan bahawa maslahah empat perkara yang lain selain agama diatasi maslahah nyawa disebabkan melalui penjagaan nyawalah ibadah dapat dilaksanakan. Dalam hubungan ini, ia menepati matlamat penciptaan manusia sebagaimana ditegaskan al-Quran, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Dengan kata-kata lain, penciptaan dan penjagaan nyawa insan bertujuan memelihara maslahah atau kepentingan agama itu sendiri. Oleh sebab nilainya yang tinggi inilah maka kesucian dan perlindungan terhadap nyawa ditekankan dalam al-Quran dan Hadis. Nabi SAW malah turut menekankan kepentingan perlindungan terhadap nyawa dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah `’Uranah, Gunung Arafah.
Tidak dinafikan iltizam tinggi petugas kesihatan untuk menyelamatkan nyawa dan melaksanakan kewajipan lain khususnya dalam tempoh pandemik mendedahkan mereka kepada tekanan melampau. Hal ini sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan pada Jun lalu. Tekanan ini hakikatnya turut dialami petugas kesihatan di seluruh dunia. Menurut Dr Hamed Al Sinawi, Pakar Perunding Psikiatri Kanan, Pusat Perubatan Al-Harub, Oman, tekanan dihadapi kakitangan perubatan hatta dalam tidur. Sesetengah kakitangan menceritakan mimpi berulang tentang pesakit yang telah meninggal dunia namun kembali hidup. Hal ini khususnya pesakit muda yang mengalami kemerosotan kesihatan dengan pantas dan petugas perubatan tidak berupaya menyelamatkan mereka. Bilangan pesakit yang terlalu tinggi dan peralatan yang tidak mencukupi seperti katil di Unit Rawatan Rapi memaksa doktor membuat pilihan antara pesakit mereka. Dalam situasi ini, mereka merasakan tidak adil untuk membuat keputusan berkaitan hidup dan mati. Biarpun keadaannya membimbangkan, namun menurut Dr Hamed kebanyakan petugas perubatan telah dapat menyesuaikan diri dengan tekanan secara berterusan yang diistilah sebagai ketahanan psikologi. Ketahanan ini boleh dipelajari dengan membina pemikiran, tingkah laku dan tindakan yang membolehkan seseorang pulih daripada peristiwa yang begitu menekan dalam kehidupan.
Kisah semua wira tidak didendang ini begitu menyentuh perasaan. Kepentingan pesakit khususnya dan rakyat umumnya sentiasa menjadi keutamaan berbanding dengan kepentingan diri mereka sendiri. Segala yang dimiliki; waktu rehat, makan serta minum, peluang bersama keluarga, malah keselesaan diri sewaktu bertugas dengan pemakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) telah pun dikorbankan sejak sekian lama. Sama ada disedari atau sebaliknya, semangat inilah yang dipamerkan golongan Ansar sewaktu menyambut kedatangan golongan Muhajirin dalam peristiwa Hijrah Nabi SAW. Al-Quran merakamkannya melalui firman Allah SWT, “dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu melebihi diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.”
Kisah luar biasa yang sampai kepada kita harus menjadi teladan bermakna. Jadikanlah ia contoh yang menimbulkan keinsafan buat kita semua; daripada ahli politik yang seribu satu ragamnya sehinggalah rakyat biasa yang banyak kerenahnya. Kisah yang menghimpunkan segala nilai dalam Hijrah Nabi SAW dari Makkah dan Madinah. Pun juga yang mengumpulkan seluruh prinsip dalam kisah perjuangan sebelum negara menyambut kemerdekaan. Manfaatkanlah untuk membuka lembaran baharu tahun 1443 Hijriyyah dan menghitung hari sambutan kemerdekaan ke-64 negara bertuah, Malaysia. Mudah-mudahan ia berjaya menyatukan hati dan kudrat untuk mencapai kemenangan menewaskan pandemik serta mengembalikan kebahagiaan hidup bersama. Selamat Hari Kebangsaan!