“Tahniah, anda telah terpilih dalam cabutan bertuah kami. Anda telah memenangi potongan harga RM 50.00 untuk perkakas elektrik kami. Jangan lepaskan peluang istimewa ini”. Pernahkah anda mengalami keadaan sedemikian ? Semua ini sebenarnya adalah cara yang digunakan jurujual dari syarikat jualan langsung untuk mendapatkan tempahan atau pesanan. Itu adalah antara ungkapan yang biasa digunakan jurujual untuk menarik orang agar mendengar penjelasan selanjutnya. Mereka akan menawarkan sesuatu yang anda tidak mungkin menolak dan tanpa disedari anda telah membenarkan mereka masuk ke dalam rumah. Telah banyak kita mendengar rungutan-rungutan tentang cara penipuan melalui jualan langsung yang kurang jujur dan tidak berakhlak ini.
Jualan pintu ke pintu sebenarnya adalah dikawal oleh undang-undang di bawah Akta Jualan Langsung 1993. Oleh itu pengguna sepatutnya sedar hak mereka dan cara penyelesaian yang boleh diambil sebelum membeli barangan atau perkhidmatan. Pertamanya jurujual tersebut hendaklah menunjukkan kad pengenalan dan kad kebenarannya. Masa jualan pula hendaklah di antara 9.00 pagi- 7.00 malam sahaja. Jualan langsung pada hari Ahad dan cuti am tidak dibenarkan.
Apabila telah berpuashati bahawa jurujual itu adalah daripada syarikat jualan langsung yang sah, dan jika masih berminat, bolehlah dibenarkan jurujual tersebut menunjukkan barang jualannya. Kebanyakan jurujual jualan langsung ini mempunyai cara tersendiri yang akhirnya menyebabkan pengguna akur dan membeli barangan mereka. Selalunya mereka akan bercakap tanpa henti dengan mengeluarkan risalah-risalah dan contoh serta menunjukkan cara menggunakan barangan tersebut untuk menyakinkan pengguna. Walaupun kita berasa kurang selesa dengan kehadiran mereka, jurujual ini biasanya akan terus mendesak dan menyakinkan serta sentiasa mengingatkan berapa banyak wang dapat dijimatkan jika membeli sekarang kerana harga akan meningkat dalam sedikit masa lagi. Dan tanpa disedari mereka telah menulis nama di dalam borang pesanan/perjanjian.
Di sini pengguna dinasihati agar jangan menantangani sebarang borang pesanan/perjanjian kecuali setelah yakin mampu untuk membayarnya. Pastikan juga semua janji tambahan yang dibuat oleh jurujual seperti hadiah percuma tertulis dalam semua salinan perjanjian. Ini adalah kerana anda adalah terikat kepada apa yang terkandung di dalam perjanjian berkenaan dan bukan apa yang dijanjikan oleh jurujual.
Adalah penting juga bagi pengguna mengetahui bahawa semua perjanjian jualan langsung adalah tertakluk kepada ‘cooling-off period’ selama 10 hari(cooling off period secara umumnya telah diterjemahkan sebagai ‘tempoh bertenang’, namun ia agak kurang tepat kerana tidak merujuk kepada hakikat istilahnya dalam bahasa Inggeris, oleh itu perkataan cooling off period masih dikekalkan di sini). Ramai pembeli daripada syarikat jualan langsung tidak menyedari mereka sebenarnya mempunyai ‘cooling off period’ selama 10 hari selepas membuat pesanan terhadap barangan yang ditawarkan syarikat berkenaan.
Pada masa yang sama pembeli juga perlu sedar syarikat jualan langsung atau kakitangannya tidak boleh mengambil atau meminta wang pendahuluan atau pembayaran ke atas barangan yang ditempah melainkan pengguna sendiri yang mahu membuat pembayaran berkenaan. Tujuan ‘cooling off period’ dalam Seksyen 25 Akta Jualan Langsung itu adalah untuk membolehkan pengguna mengkaji apa-apa cadangan atau barangan yang ingin dijual kepada mereka daripada syarikat berkenaan. Barang atau perkhidmatan tidak boleh dihantar atau dilaksanakan dalam jangka masa tersebut. Penjual juga tidak boleh menerima apa-apa bayaran daripada pembeli sebelum tamat tempoh itu. Perjanjian jualan langsung mempunyai ‘cooling off period’selama10 hari bekerja. Ini bermakna pengguna berhak membatalkan perjanjian yang telah ditandatangani jika berasa ragu-ragu atau tidak berpuas hati mahupun menukar fikiran. Tempoh itu memberikan hak kepada pengguna untuk membatalkan apa-apa urusan pembelian tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada syarikat terbabit.
Jika pengguna menghadapi sebarang masalah mengenai jualan langsung langkah pertama yang patut diambil adalah supaya berusaha untuk selesaikannya dengan syarikat yang berkenaan. Sekiranya gagal, barulah hubungi atau membuat aduan kepada Bahagian Perdagangan Dalam Negeri dan Bahagian Penguatkuasa Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau Persatuan Pengguna mahupun Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional(NCCC). Selain itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat jualan langsung anda boleh juga berhubung dengan Persatuan Jualan Langsung Malaysia.
Denda akan dikenakan bagi barangsiapa yang melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini atau Peraturan-Peraturan yang baginya tiada denda diperuntukkan dengan nyata. Bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 dan, bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM 500,000.00. Bagi orang perseorangan, denda adalah tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM 250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Akhlak perniagaan menurut pandangan Islam sentiasa melindungi umatnya. Pengguna sebenarnya dilindungi apabila peniaga digalakkan bersedia memenuhi permintaan pihak yang lain untuk membatalkan perjanjian walaupun perjanjian sudah terbentuk, dan ini disebut sebagai iqalah. Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa barang siapa yang sanggup dan bersetuju untuk membatalkan kontrak atas permintaan pihak yang lain tanpa sebarang ganti rugi, Allah SWT akan memudahkan urusannya pada hari kiamat.
Islam juga mengingatkan para peniaga supaya tidak menipu apabila menjual sesuatu barangan. Sekiranya berlaku penipuan, pembeli atau pengguna berhak untuk mendapatkan balik wang bayarannya atas prinsip khiyar al-aib, iaitu memilih untuk membatalkan perjanjian disebabkan berlakunya kecacatan pada barangan yang dijual.
Agama Islam juga amat menekankan tentang sikap berhemat dan tidak boros semasa berbelanja. Pengguna disaran supaya bersederhana serta jangan berlebih-lebihan. Kerap kali pengguna yang terpedaya dengan penyelewengan yang berlaku dalam jualan langsung ini seperti ‘cabutan bertuah’, ‘kad diskaun’, ‘gores dan menang’ serta lain-lain kaedah cepat kaya adalah mereka yang tamak dan hanya memikirkan habuan atau ganjaran yang bakal diperolehi tanpa berfikir panjang akibat tindakan mereka di kemudian hari.