Seringkali kita memahami keamanan dengan mengaitkannya dengan ketiadaan peperangan atau konflik bersenjata. Namun dalam dunia hari ini, keamanan perlu dilihat dalam satu dimensi yang lebih luas. Ketika ini, peperangan bukan satu-satunya perkara yang membawa kekacauan dunia tetapi perubahan iklim, krisis tenaga dan air, ketiadaan jaminan makanan, bencana alam, kemiskinan dan ketidaksamaan akses kepada teknologi juga boleh membawa ancaman kepada keamanan. Sejarah dunia telah membuktikan perkara ini. Perang Pasifik pada 1879 hingga 1884 telah mewujudkan konflik sumber di Gurun Atacama. Chile berperang dengan pakatan Bolivia dan Peru untuk menguasai deposit guano dan nitrat. Kedua-dua bahan ini penting sebagai baja pertanian dan bahan letupan. Manakala peperangan yang berlaku di Asia Barat pula kebanyakannya dimotivasikan oleh keinginan rakus untuk menguasai sumber tenaga dunia.
Sejak sekian lama, peperangan sering menjadi medan bagi kuasa-kuasa besar dunia mempamerkan keupayaan sains dan teknologi mereka. Kemajuan dalam bidang persenjataan, pembinaan kapal perang, pesawat tempur, sistem peluru berpandu, teknologi nuklear serta senjata biologi dan kimia banyak dipacu oleh persaingan geopolitik dan konflik ketenteraan. Perang Dunia Pertama dan Kedua, misalnya, menyaksikan perkembangan pesat teknologi ketenteraan yang kemudiannya mengubah landskap keselamatan global. Pada era moden pula, pembangunan dron, kecerdasan buatan (AI), sistem pertahanan siber dan senjata autonomi terus menjadi ukuran kekuatan sesebuah negara.
Namun demikian, kemajuan sains dan teknologi tidak seharusnya dinilai hanya melalui kemampuan menghasilkan instrumen peperangan yang lebih canggih. Dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim dan sebagainya, sains dan teknologi perlu dilihat dari sudut yang lebih luas. Keupayaan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan manusia, melindungi alam sekitar dan mengurangkan risiko konflik akibat perebutan sumber adalah sama penting malah lebih utama dalam membina keamanan yang berkekalan. Persoalannya kini, mampukah sains dan teknologi membantu membina dunia yang lebih aman dan sejahtera untuk masyarakat?
Sejak sekian lama, sains dan teknologi dimajukan demi kesejahteraan manusia iaitu untuk meningkatkan kualiti hidup, memudahkan urusan seharian dan memacu pertumbuhan ekonomi untuk rakyat. Rakyat yang mempunyai akses kepada keperluan asas seperti air bersih, makanan yang mencukupi, kesihatan yang baik, jaminan pekerjaan dan persekitaran yang selamat lebih berupaya menyumbang kepada kestabilan sosial dan pembangunan negara. Dalam hal ini, kemajuan sains dan teknologi telah lama menyokong kesejahteraan masyarakat.
Hal ini boleh dilihat dalam isu krisis makanan. Kekurangan sumber makanan sering menjadi punca ketidakstabilan sosial dan ekonomi. Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, teknologi pertanian moden memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti serta mengurangkan risiko kegagalan tanaman. Penggunaan kecerdasan buatan, data raya, sensor pintar dan sistem ramalan cuaca membolehkan sektor pertanian menjadi lebih cekap dan berdaya tahan dan menjamin bekalan makanan. Jaminan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan masyarakat malah membantu memperkukuh keamanan negara.
Dalam isu krisis tenaga pula, keselamatan tenaga merupakan salah satu elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Ketidakstabilan bekalan tenaga boleh menjejaskan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kestabilan sosial. Malah, situasi kini memperlihatkan krisis tenaga telah menjalar kepada peperangan antara negara. Oleh itu, perkembangan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biojisim dan hidrogen boleh menawarkan penyelesaian yang lebih lestari. Peralihan tenaga bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon malah meningkatkan daya tahan negara terhadap ketidaktentuan geopolitik global akibat persaingan mendapatkan sumber tenaga.
Begitu juga dengan teknologi AI. Perkembangan pesat teknologi tersebut membuka peluang baharu dalam pengurusan sumber dan perlindungan alam sekitar. Teknologi ini boleh digunakan untuk meramal kejadian banjir dan cuaca ekstrem, memantau pencemaran udara dan air, mengesan kebakaran hutan dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. Apabila dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab, AI berpotensi menjadi alat yang menyokong kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh keamanan.
Jelas bahawa kemajuan sains dan teknologi pening dalam membantu menjamin kesejahteraan masyarakat dan boleh mengurangkan konflik jika dilaksanakan dengan betul. Walaupun begitu, sejarah juga membuktikan bahawa pembangunan sains dan teknologi telah disalahgunakan untuk tujuan yang salah. Misalnya teknologi deepfake yang digunakan untuk penyebaran berita palsu, penipuan identiti dan pencabulan privasi; media sosial pula digunakan untuk membuli (buli siber) dan eksploitasi data serta ilmu biologi dan kimia digunakan untuk mencipta senjata biologi yang boleh memusnahkan ribuan manusia dalam masa yang singkat.
Apakah masalah ini akibat kemajuan sains dan teknologi semata-mata? Hakikatnya, kemajuan sains dan teknologi untuk mencapai keamanan akhirnya terletak kepada nilai hidup individu dan masyarakat. Teknologi itu ibarat “pedang bermata dua.” Selain membawa faedah, ia juga boleh mendatangkan kemudaratan jika disalahgunakan. Oleh itu, memperkukuh nilai manusia dalam penggunaan teknologi haruslah menjadi keutamaan. Islam memandang tinggi ilmu pengetahuan apatah lagi apabila ilmu itu digunakan untuk menghasilkan teknologi bagi memudahkan dan membawa kemajuan kepada manusia. Namun teknologi yang dicipta perlu berpaksikan kepada nilai-nilai mulia seperti amanah, keadilan dan keseimbangan. Malah, dalam kerangka Maqasid Syariah, sains dan teknologi menyumbang kepada pemeliharaan nyawa, harta dan akal serta menjadi sebahagian daripada usaha membina kesejahteraan dan keamanan masyarakat.
Dalam dunia yang dicorakkan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim serta ketidaktentuan global, ancaman kepada keamanan tidak lagi boleh difahami dalam kerangka keselamatan tradisional semata-mata. Keamanan perlu dibina melalui kesejahteraan insan yang disokong oleh pengurusan sumber yang baik, perlindungan alam sekitar dan penggunaan teknologi secara beretika. Dalam hal ini, kemajuan sains dan teknologi bukan sahaja memacu kemajuan ekonomi tetapi ia penting untuk membentuk masyarakat yang sejahtera, berdaya tahan dan seharusnya menjadikan dunia lebih aman. Hakikatnya, masa depan yang aman tidak bergantung kepada sejauh mana sains dan teknologi berkembang, tetapi sejauhmana ia dapat dimanfaatkan untuk memelihara manusia dan alam secara seimbang dan lestari.

