Pernahkah anda berniat membuka telefon sekadar untuk menyemak pesanan di WhatsApp namun ia berlarutan untuk satu satu tempoh kerana “semakan” tadi turut melarat kepada pelbagai video pendek dalam pelbagai format yang disajikan oleh platform-platform media sosial popular? Jika jawapan anda “Ya”, anda bukan seorang sahaja yang mengalaminya. Malah anda turut menjadi sebahagian daripada satu sistem ekonomi baharu yang menjadikan perhatian manusia sebagai sumber keuntungan paling bernilai abad ini yang juga dikenali sebagai ekonomi perhatian (attention economy).
Konsep ekonomi perhatian pertama kalinya diperkenalkan pada 1971 oleh seorang pemenang Hadiah Nobel yang merupakan seorang ahli psikologi dan juga ahli ekonomi iaitu Herbert. A. Simon. Beliau menjelaskan bahawa dalam dunia yang dibanjiri maklumat, perhatian manusia menjadi sesuatu yang semakin terhad dan bernilai. Jika dalam teori ekonomi biasa, syarikat bersaing untuk mendapatkan wang pengguna, tetapi dalam ekonomi digital, mereka bersaing untuk mendapatkan masa dan perhatian (pengguna).
Hal ini kemudian diterangkan dengan jelas oleh seorang ahli akademik Harvard Business School iaitu Shoshana Zuboff, menerusi konsep surveillance capitalism yang merujuk kepada satu bentuk kapitalisme yang mengumpul data tingkah laku pengguna secara besar-besaran untuk diramal dan dimanipulasi bagi kepentingan komersial oleh syarikat-syarikat teknologi.
Platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan You Tube misalnya bukanlah sekadar medium komunikasi yang neutral. Ia beroperasi berasaskan model perniagaan yang bergantung sepenuhnya kepada berapa lama pengguna kekal berada dalam aplikasi mereka. Semakin lama seseorang menatal skrin, semakin banyak data yang terkumpul, semakin tepat sasaran iklan yang dihantar, dan semakin besar keuntungan yang dijana. Dalam ekosistem ini, pengguna bukan sekadar pelanggan, tetapi mereka juga adalah “produk” yang dijual kepada pengiklan.
Secara amnya platform media sosial direka secara khusus untuk memaksimumkan tempoh penglibatan (engagement) pengguna kerana keuntungan platform berkait rapat dengan kejayaan mengekang perhatian pengguna selama mungkin. Terdapat beberapa mekanisme utama yang diguna oleh algoritma untuk mengikat perhatian pengguna. Antaranya menerusi daya tarikan berulang seperti menerusi notifikasi yang berterusan dan cadangan yang mendorong pengguna untuk terus kembali ke aplikasi.
Apabila seseorang itu kerap berinteraksi dengan jenis kandungan yang tertentu, algoritma akan terus memaparkan kandungan yang sama sehingga terbentuk tabiat penggunaan yang sukar dihentikan. Bagi menguatkan lagi perhatian pengguna, platform-platform media sosial ini lebih banyak mengutamakan kandungan yang boleh mencetus ransangan emosi berbanding kandungan yang bersifat ilmiah atau konstruktif. Gabungan mekanisme ini melahirkan fenomena doomscrolling iaitu menatal kandungan tanpa henti sehingga banyak masa berlalu begitu sahaja.
Persoalannya apakah jaminan yang ada yang menunjukkan bahawa fenomena doomscrolling ini tidak berlaku dalam kalangan pengguna media sosial atau pengguna internet di Malaysia? Untuk mengatakan bahawa jawapannya ialah “tidak” adalah sesuatu yang amat mustahil kerana tiada jaminan bahawa reka bentuk platform digital yang kita gunakan setiap hari benar-benar neutral kerana ia sengaja direka untuk mengeksploitasi perhatian dan psikologi pengguna.
Data terkini DataReportal dalam laporan Digital 2026: Malaysia menunjukkan terdapat 30.7 juta identiti pengguna media sosial di negara ini. Angka ini bersamaan 85 peratus daripada keseluruhan jumlah populasi. Penembusan internet di Malaysia pula mencecah 98 peratus. Angka ini menjadikan kita salah sebuah masyarakat yang paling terhubung di rantau ini.
Data Emedia Monitor (EMM) pula menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan lebih sembilan jam dalam talian setiap hari dengan lebih tiga jam diperuntukkan untuk media sosial dan dua jam untuk penstriman video. Statistik ini secara tidak langsung mendedahkan betapa besar nilai ekonomi yang tersembunyi di sebalik setiap klik, tatal dan suka (like) yang kita lakukan setiap hari.
Tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi perhatian ada menghasilkan manfaat yang nyata kepada negara. Dapatan Malaysia Socioeconomic Impact Report 2025 iaitu sebuah kajian yang ditaja oleh TikTok dengan kerjasama firma perunding Kearney mendedahkan ekosistem aplikasi ini menyumbang RM20 billion kepada nilai tambah kasar ekonomi Malaysia pada 2025. Ia turut menyokong lebih 147 000 pekerjaan merentasi perniagaan, pencipta kandungan dan industri berkaitan. Malah lebih 97 peratus perniagaan yang dikaji – yang perlu dilihat dalam konteks ia ditaja oleh TikTok sendiri – berpandangan TikTok merupakan sumber penting kepada penghasilan pendapatan mereka. Hal ini mungkin disebabkan teknologi digital telah memudahkan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana terutamanya daripada luar bandar dan separa bandar kepada pasaran perniagaan. Di samping itu kita juga tidak boleh menafikan bahawa perkembangan pesat teknologi digital juga memungkinkan penyebaran ilmu dan kempen kesedaran awam berlaku dengan kelajuan yang tidak pernah wujud pada era sebelumnya.
Namun kita tidak seharusnya mengabaikan juga bahawa kemudaratan yang dibawa oleh mekanisme algoritma ini tidak kurang seriusnya. Kajian yang dibuat oleh Norasid dan Ashaari pada 2024 menunjukkan penggunaan media sosial di Malaysia berada pada tahap yang tinggi sehingga membawa kepada ketagihan khususnya dalam kalangan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun dengan kesan termasuk kemurungan, kebimbangan, tekanan dan kesunyian. Selain itu algoritma yang mengutamakan kandungan emosional dan sensasi berbanding kandungan bermaklumat secara struktural juga turut menyumbang kepada penyebaran maklumat yang tidak sahih dengan lebih pantas kerana kandungan sedemikian secara semulajadi menjana lebih banyak interaksi berbanding kandungan yang memerlukan pemikiran kritis.
Ini belum disentuh lagi tentang bagaimana penggunaan media sosial sehingga tahap ketagihan boleh menyebabkan para pelajar dan pekerja hilang fokus. Kajian menunjukkan setiap kali seseorang terganggu ketika bekerja, mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk kembali ke tahap tumpuan optimum. Apabila gangguan ini berlaku berulang kali sepanjang hari, sebahagian masa kerja sebenarnya lenyap dalam proses peralihan antara tugasan. Keadaan ini melahirkan fenomena yang dikenali sebagai ilusi produktiviti iaitu suatu situasi di mana kita merasa kita sibuk, tetapi hasil kerja sebenar tidak meningkat.
Islam mengajar bahawa masa, tenaga, akal dan perhatian bukanlah milik mutlak manusia tetapi nikmat yang dipinjamkan oleh Allah SWT yang dimanfaatkan pada jalan yang diredai-Nya. Rasulullah SAW mengingatkan : Dua nikmat di mana manusia terpedaya padanya iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. Hadis ini amat relevan dalam konteks ekonomi perhatian hari ini di mana masa lapang yang sepatutnya diguna untuk ibadat, menuntut ilmu, membina keluarga dan berkhidmat kepada masyarakat, kini kerap tersalur kepada aktiviti digital yang tidak produktif.
Islam tidak menolak penggunaan teknologi. Sebaliknya Islam mengalakkan manusia untuk memanfaat segala kemajuan yang membawa kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Media sosial dan teknologi digital boleh menjadi wahana penyebaran ilmu, dakwah dan penguatan ekonomi. Namun penggunaannya mestilah berlandaskan prinsip maqasid al-syariah – memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Apabila pengunaan media sosial menjejaskan mana-mana aspek ini, ia menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyemak semula amalan digitalnya.
Penyelesaian kepada cabaran ekonomi perhatian dan eksploitasi algoritma ini tidak terletak pada penolakan teknologi secara total, tetapi pada pembinaan disiplin digital yang kukuh. Pada peringkat individu, pengguna perlu menetapkan had masa penggunaan media sosial, mematikan notifikasi yang tidak perlu dan memilih kandungan secara sedar, bukan membiarkan algoritma yang menentukan. Pada peringkat keluarga, ibu bapa perlu menjadi teladan dan membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara bertanggungjawab. Pada peringkat nasional pula, kerajaan perlu terus memperkukuh program literasi digital dan kesejahteraan digital yang membantu rakyat memahami risiko tersembunyi dalam ekosistem media sosial hari ini.
Dalam dunia yang semakin dikawal oleh algoritma, mempertahankan perhatian kita bukanlah sekadar isu gaya hidup atau produktiviti semata-mata. Ia adalah isu akidah, isu ekonomi dan isu masa depan bangsa. Setiap saat yang kita gunakan dengan bijaksana adalah sumbangan kepada diri sendiri, keluarga dan negara. Setiap saat yang kita biarkan dieksploitasi oleh algoritma adalah peluang yang tidak akan kembali. Satu soalan untuk renungan bersama, siapa yang benar-benar mengawal perhatian kita hari ini, diri sendiri atau algoritma!?

