Hari ini, umat Islam di Malaysia sedang meraikan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Pada hari ini juga, lebih kurang dua juta umat Islam terpilih sedang menjalankan ibadat haji untuk tahun 1425 Hijrah. Semoga semua mereka mendapat haji yang mabrur.
Ibadat haji yang merupakan satu kewajipan bagi semua umat Islam yang cukup syarat dan berkemampuan, mempunyai signifikannya tersendiri, lebih daripada sekadar satu ibadat seorang hamba kepada Allah s.w.t. Selain merupakan perhimpunan tahunan umat Islam yang terbesar, satu signifikan lain ibadat haji ialah kaitannya dengan pengorbanan.
Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya atas dasar ketakwaan mereka kepada Allah. Begitu juga, mereka yang menjalankan ibadat haji perlu melakukan begitu banyak pengorbanan.
Begitu kuat mesej pengorbanan ini sehingga umat Islam yang tidak melaksanakan haji juga amat digalakkan untuk menunaikan ibadat korban sempena Aidiladha ini.
Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim. Sai – berlari-lari anak antara Safa dan Marwah – yang dilakukan oleh jutaan umat Islam, baik di musim haji mahupun ketika umrah, mengingatkan kita kepada kecekalan Siti Hajar yang ditinggalkan di lembah tandus.
Naluri keibuannya menggerakkan beliau untuk berusaha mencari air untuk anaknya yang kehausan. Siti Hajar tidak pernah mempersoalkan mengapa beliau ditinggalkan di situ oleh suaminya.
Seperti yang diceritakan, beliau hanya berkata, “Jika ini kehendak Tuhanmu wahai Ibrahim, aku akan redha.”
Begitu besar pengorbanan beliau untuk agamanya dan sehingga hari kiamat pengorbanan itu akan dikenang oleh seluruh umat Islam.
Begitu juga dengan ibadat korban. Ia mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim yang redha dengan perintah Allah agar menyembelih anak kesayangannya, Ismail.
Kepatuhan terhadap perintah ini bukan sahaja wujud dalam diri Nabi Ibrahim, tetapi juga, isterinya – Siti Hajar – dan anak mereka yang perlu disembelih – Ismail.
Siti Hajar yang digoda oleh syaitan, tetap teguh dengan pendiriannya yang redha dengan perintah tersebut sebagai tanda keimanannya terhadap Allah.
Begitu juga Ismail, bagindalah yang menyerahkan tengkuknya untuk disembelih, juga semata-mata kerana keimanannya kepada Allah s.w.t.. Akhirnya, dengan kuasa Allah, jasad Ismail telah ditukarkan dengan seekor kibas.
Ibadat haji juga menuntut pengorbanan para jemaah haji. Mereka bukan sahaja perlu mengorbankan wang yang banyak – yang semakin besar kosnya tahun demi tahun, tetapi juga meninggalkan keluarga dan kampung halaman mereka demi melaksanakan ibadat ini.
Di Tanah Suci, mereka terpaksa bersesak-sesak dengan jutaan jemaah yang lain, berkorban dari segi status sosial mereka kerana di sana semua jemaah adalah sama kedudukannya, mematuhi larangan-larangan ketika berihram dan sebagainya.
Apa pula erti pengorbanan kepada semua umat Islam secara keseluruhannya? Melaksanakan ibadat korban adalah satu daripadanya. Namun, itu bukanlah satu-satunya pengajaran korban yang ada.
Pengajaran serta kesedaran yang perlu timbul ialah keperluan untuk berkorban demi melaksanakan perintah Allah hatta apa pun halangannya.
Kita maklum, dua kelemahan utama umat Islam ialah dari segi penguasaan ilmu dan ekonomi. Jika kita menguasai ilmu, kita akan dapat memajukan ekonomi kita dan sekiranya kita dapat menguasai ekonomi, ia dapat memperkasakan lagi penguasaan ilmu kita. Kedua-dua usaha ini amat dituntut oleh Islam. Malangnya, banyak negara Islam yang gagal memenuhi tuntutan ini.
Mengapa tidak kita aplikasikan konsep pengorbanan untuk menguasai kedua-dua perkara ini?
Pengorbanan untuk menguasai ilmu bukan hanya merujuk kepada pengorbanan dari segi kewangan. Yang lebih penting ialah pengorbanan di pihak individu atau pelajar Islam untuk mengutamakan pengajian berbanding perkara-perkara lain.
Pengorbanan ibu bapa mendahulukan keperluan pendidikan anak-anak, berbanding keperluan kebendaan yang bersifat kosmetik. Begitu juga, pengorbanan masyarakat untuk mengutamakan majlis ilmu berbanding kecintaan kepada hiburan yang melulu.
Penguasaan ekonomi juga perlu dilihat dengan cara yang serupa. Baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Semua umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi menyumbang kepada ekonomi ummah.
Bekerja, baik bekerja sendiri mahupun makan gaji, perlu dilihat sebagai satu usaha bukan hanya untuk mencari makan atau meneguhkan kedudukan ekonomi keluarga, tetapi juga untuk meningkatkan ekonomi ummah dan memartabatkan agama. Berkorban untuk agama boleh menjadi pendorong utama kepada usaha yang bersungguh-sungguh ini.
Selain konsep pengorbanan yang begitu sinonim dengan ibadat haji, musim haji ini juga boleh kita gunakan untuk mengingati kembali pesanan Rasulullah s.a.w kepada umat Islam ketika Haji Widak. Semoga dengan cara ini, kita sentiasa ingat kepada tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan terhadap ummah keseluruhannya.
Antara perkara yang disentuh ialah pesanan agar tidak mengabaikan Rukun Islam, berwaspada dengan godaan syaitan dalam perkara-perkara yang kecil, suruhan untuk memelihara hak orang lain, persaudaraan dan persamaan dalam Islam, hubungan lelaki dan perempuan, serta berpegang teguh kepada al-Quran dan Hadis.
Sempena musim haji ini, cuba kita dapatkan teks lengkap pesanan-pesanan ini untuk kita baca, fahami dan hayati. Itu merupakan khutbah Rasulullah s.a.w. yang terakhir. Sudah pasti semua yang disebut adalah yang penting untuk dihayati demi kesejahteraan ummah keseluruhannya.