PENGGUNAAN bahasa kiasan yang memberi kesan terhadap cara hidup dan budaya orang Melayu perlu dikaji semula kerana penggunaan yang tidak sempurna dan tepat boleh mengakibatkan generasi Melayu kurang membina peradaban Melayu.
Sehubungan itu, kajian terhadap bahasa kiasan dan peribahasa hendaklah dibuat untuk membina budaya dan nilai bahasa Melayu.
Penciptaan bahasa kiasan baru boleh dibudayakan melalui pendidikan moral, agama dan etika.
Resolusi
Ini adalah antara 17 resolusi yang dicapai pada Seminar Islam Hadhari: Kefahaman Mengenai Keutuhan Budaya `Bahasa Kiasan, Korpus Melayu Silam dan Pembangunan Minda Baru Islam’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, baru-baru ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam merasmikan seminar tersebut yang diadakan pada 18 dan 19 Januari lalu.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob dan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Datuk Ab. Karim Sulaiman turut hadir.
Seminar itu membabitkan pembentangan 13 kertas kerja dan dihadiri lebih 300 peserta.
Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka, IKIM dan IKSEP.
Resolusi lain yang diputuskan ialah;
- Jenis bahasa kiasan yang menyelar atau menghina masyarakat perlu dibimbing dari segi moral dan keagamaan sejak peringkat kanak-kanak supaya mereka mempunyai budaya hidup yang tinggi.
- Orang Melayu perlu mengukur semula kualiti diri berdasarkan kepada peribahasa yang diutarakan.
- Kebebasan berkreatif ada keburukan di mana masyarakat disogokkan dengan karya-karya berunsur pornografi dan karya yang memudaratkan masyarakat.
- Sikap keterbukaan mendedahkan karyawan Melayu kepada pengaruh barat yang kadang kala mengecam nilai penghasilan dan identiti karyawan.
- Para karyawan disaran supaya menghayati roh Islam (iman) dalam menghasilkan karya masing-masing untuk memperkukuhkan dan mempertingkatkan moral masyarakat.
- Bahasa kiasan berkembang menyentuh segenap aspek kehidupan dan tamadun Islam tetapi usaha perlu dilakukan bagi memilih bahasa kiasan untuk dijadikan panduan dan perbandingan umat Melayu.
- Inisiatif perlu diambil bagi mengumpulkan bahasa- bahasa kiasan yang terdapat dalam sastera Islam iaitu Arab, Turki dan Melayu bagi digunakan ke arah menyumbang pembangunan minda masyarakat Melayu.
- Kebudayaan penting dalam perkembangan tamadun Islam dan IKIM disaran menubuhkan pusat perkembangan budaya.
- Bahasa kiasan dan korpus Melayu (perbendaharaan kata) perlu ditingkatkan dengan cara yang sistematik dan bersepadu.
- Beri pengiktirafan pada peranan bahasa kiasan dan korpus Melayu sebagai unsur penting dalam kaedah pembentukan idea dan pemikiran bangsa.
- Satu kajian intensif perlu dibuat bagi mengenal pasti korpus bahasa Melayu yang boleh menyumbang kepada bidang pengkhususan seperti sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran dan bidang kreatif.
- Pengajaran bahasa kiasan perlu diutamakan dalam sistem pendidikan dan tidak hanya kepada mata pelajaran tertentu sahaja.
- Mencadangkan IKIM mengadakan pertemuan di kalangan penulis-penulis muda untuk memberi hala tuju penulisan kreatif bersesuaian Islam Hadhari.
- Dicadangkan supaya ditubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji korpus-korpus Melayu yang selaras dan tidak bertentangan dengan prinsip Islam.
Sementara itu, tokoh budayawan, Tan Sri Aziz Tapa berkata, korpus Melayu yang menjadi kebanggaan budaya Melayu perlu dimasukkan dalam kokurikulum pendidikan supaya generasi akan datang mampu membentuk budaya Melayu yang disegani.
Menurut beliau, kebanyakan generasi muda sekarang kurang mengenali pelbagai korpus Melayu kerana mengejar kemajuan dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Kita tidak menghalang generasi sekarang mengejar ICT tetapi budaya kesopanan Melayu perlu dipertahankan supaya ia tidak ditelan zaman.
Pengajaran
“Keunikan budaya Melayu pada zaman dulu boleh diterapkan dalam ICT kerana korpus Melayu mempunyai pengajaran dan nasihat yang berguna,” katanya.
Aziz berkata, antara korpus Melayu yang terkenal ialah peribahasa, pantun, cerita rakyat, syair, gurindam, nazam dan sebagainya.
Beliau bimbang jika korpus Melayu tidak dipelihara, boleh menyebabkan nilai-nilai murni budaya Melayu akan terhakis di negara sendiri.
Katanya, keagungan bangsa Melayu akan lenyap apabila bangsa sendiri tidak mempertahankan nilai dalam korpus Melayu yang digunakan oleh ulamak Melayu pada zaman silam.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik IKIM, Siti Shamsiah dalam kertas kerja bertajuk `Memahami Masyarakat Melayu Melalui Bahasa Kiasan: Perspektif Islam’ berkata, bahasa kiasan yang dihasilkan oleh nenek moyang orang Melayu sangat indah dan puitis.
Kata beliau, generasi muda seharusnya berbangga dengan seni warisan dalam bidang bahasa selain dalam bidang-bidang yang lain.
“Memberitahu secara kiasan, tanpa berterus terang yang boleh menimbulkan rasa kecil hati sepatutnya dihargai oleh anak Melayu untuk menerima kata-kata yang tujuannya adalah nasihat, pedoman dan tunjuk ajar,” katanya.
Shamsiah berkata, semua istilah bahasa yang digunakan adalah lahir dari pengalaman dan pengamatan orang Melayu terhadap perkara yang berlaku dalam persekitaran alam Melayu.
Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerja `Selaut Cerita, Sepersisir Irama
Melayu Merdu Baru (Himpunan Bahasa Kiasan Baru)’ berkata, pengajaran bahasa kiasan perlu diterapkan dalam sistem pendidikan kerana setiap bidang ilmu tidak dapat lepas daripada memanfaatkan bahasa kiasan untuk menyatakan idea, fakta dan kupasan.
Selain itu, satu kajian intensif perlu dilakukan terhadap korpus bahasa Melayu klasik dalam semua bidang.
“Bahasa kiasan penting dalam konteks peningkatan intelektualisme dan tamadun bangsa dengan merujuk kepada bahasa dan tamadun Melayu,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, bahasa kiasan hendaklah dinilai sebagai unsur penting dalam kaedah mengungkapkan idea dan pemikiran bangsa yang dapat mencerminkan sistem nilai luhurnya.
Sumber : Utusan Malaysia