SAMBUTAN Aidiladha menandakan sempurnanya Rukun Islam yang kelima bagi umat Islam yang cukup syarat dan berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakannya, iaitu ibadat haji. Menurut pendapat jumhur, ulama ibadat haji mula difardukan pada tahun ke-6 hijrah melalui firman Allah bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Ali Imraan, ayat 97)
Haji adalah ibadat tahunan yang disertai oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, tanpa mengira latar belakang kaum, keturunan atau budaya.
Saban tahun perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia ini mengambil tempat di Makkah al-Mukarramah, kota suci di mana ajaran agama Islam mula berkembang melalui wahyu yang diturunkan kepada� Nabi Muhammad saw.
Firman Allah bermaksud : “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)-Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj, ayat 27)
Haji sebagai satu ibadat menuntut pengorbanan daripada setiap orang Islam. Bagi mereka yang berniat untuk mengerjakannya, maka persiapan rapi perlu dilakukan, yang pada kebiasaannya mengambil masa bertahun-tahun, termasuk dari segi kebendaan.
Persiapan dari segi fizikal pula menuntut kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Persiapan mental dan kerohanian penting agar kunjungan ke Baitullah lengkap dan sempurna dengan mempelajari segala ilmu berkaitannya. Hal ini supaya ketahanan diri itu dapat menambah nilai setiap amal ibadat yang dikerjakan.
Sewaktu Aidiladha juga seluruh umat Islam disunatkan supaya mengerjakan ibadat korban, seperti mana yang disyariatkan oleh Allah� melalui kisah Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail.
Pada tahun ini, kira-kira dua juta umat Islam berhimpun di Tanah Suci Makkah bagi menyempurnakan ibadat haji. Jumlah ini adalah besar. Ia secara tidak langsung menunjukkan betapa ramainya penganut Islam di seluruh dunia yang begitu taat melaksanakan perintah agama, sekali gus menggambarkan Kebesaran dan Keagungan Allah Yang Maha Suci.
Kehebatan ibadat haji ini belum pernah ditandingi oleh mana-mana upacara keagamaan lain di bumi. Bukan sekadar pada ramainya bilangan penganut yang mengerjakannya pada satu-satu masa, bahkan tempoh diperuntukkan baginya (Miqat Zamani) amat panjang iaitu melebihi tempoh dua bulan bermula awal Syawal.
Perkara ini menunjukkan betapa ibadat haji itu, bukan sekadar menuntut satu persiapan teliti, malah pelaksanaannya memerlukan perancangan dan pengurusan berkesan daripada pihak tuan rumah iaitu Kerajaan Arab Saudi.
Konsep penyatuan ummah dan pengorbanan yang diterapkan melalui ibadat haji dan korban mempunyai hikmah dan pengajarannya. Ia besar maknanya dan amat tinggi nilainya di sisi Allah. Selain dilihat sebagai memelihara hubungan antara manusia dengan Pencipta (hablum min Allah) melalui penghayatan Rukun Islam kelima, ia sangat berkaitan dengan mesej menjaga hubungan sesama manusia (hablum min an-nas). Ia dilakukan melalui ukhuwah yang dapat dibina dan dicapai melalui semangat kesamarataan dan perkongsian yang dianjurkan.
Tetapi, lihatlah senario dunia Islam hari ini. Puluhan juta umat Islam ditindas dan dinafikan haknya untuk hidup aman damai oleh pihak musuh. Mereka seagama dan seakidah dengan kita. Namun, adakah mereka dapat menikmati kegembiraan, kebahagiaan hidup dan kasih sayang sesama umat setiap kali musim perayaan seperti Aidiladha, sedangkan hak serta kebebasan disekat dan mereka diperlakukan tanpa peri kemanusiaan?
Baru-baru ini, dunia dikejutkan tragedi gempa bumi dan ombak besar tsunami. Tragedi itu memusnah dan merosakkan harta benda serta menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada manusia. Majoriti mangsa yang terkorban adalah umat Islam, terutama di wilayah Aceh, Indonesia yang menyaksikan angka korban mencecah 150,000 orang.
Satu hakikat yang harus disedari adalah bencana itu memusnahkan sebuah wilayah yang amat terkenal dengan jolokan `Serambi Makkah’ di sebuah negara yang mempunyai bilangan umat Islam paling ramai di dunia. Keadaan itu seharusnya membuka mata kita semua sebagai anggota masyarakat Islam sejagat supaya menjadi lebih prihatin dan berusaha ke arah melakukan sedikit pengorbanan. Ia demi berjuang bagi membantu saudara seagama agar mereka dapat bangkit semula bagi meneruskan kehidupan seperti sebelumnya.
Apa yang pasti, sebesar mana sekali pun sumbangan yang mampu dihulurkan, sebenarnya tidak seberapa nilainya berbanding pengorbanan mereka yang tidak pernah kita alami, seperti mana ujian yang ditempuhi oleh saudara Muslim kita yang begitu daif kehidupannya di sana-sini.
Inilah masanya bagi seluruh umat Islam menghulurkan sumbang bakti dalam apa juga bentuk yang terdaya baik dari segi wang ringgit, masa, tenaga mahupun buah fikiran. Inilah masanya untuk kita menterjemahkan erti kata pengorbanan dalam semangat persaudaraan Islam yang sebenarnya, tatkala umat Islam di seluruh dunia amat memerlukan pengorbanan daripada saudaranya yang seagama.
Setiap anggota masyarakat Islam, termasuk di negara kita, harus mengambil sikap proaktif dan langkah sepatutnya untuk menghulurkan bantuan bukan saja di bumi Aceh, bahkan di wilayah umat Islam lain yang sedang bergolak seperti di Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya dan Iraq. Negara Islam seharusnya lebih berperanan di semua peringkat termasuk melalui saluran politik, diplomatik, pertubuhan agama, badan sukarela dan bantuan kemanusiaan.
Umat Islam yang tertindas serta hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan di seluruh dunia tidak memerlukan kepada bantuan material semata-mata. Hal ini kerana umat yang lain telah jauh mendahului kita dalam hal yang itu.
Islam menuntut pengorbanan amat besar daripada seluruh umatnya untuk dipertahan dan diletakkan pada satu tahap yang sangat mulia, sesuai dengan darjatnya di sisi Allah.
Pengorbanan ini hanya akan berlaku sekiranya kita dapat sama-sama kembali untuk memahami dan menghayati konsep, falsafah dan pengajaran di sebalik ibadat haji dan korban dalam erti kata yang lebih luas. Jangan jadikan semangat pengorbanan dan penyatuan ummah ini hanya sekadar bermusim, ibarat datang dan perginya musim haji itu sendiri setiap tahun.
Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bergandingan tangan, bermuafakat dan saling bantu-membantu tidak kira sewaktu senang atau susah. Tinggalkan segala perbezaan dan elakkan perbalahan sesama sendiri. Hal ini agar kita semua menjadi umat yang teguh dan kuat demi membela nasib saudara seagama yang memerlukan. Semoga Aidiladha kali ini mendatangkan keinsafan dan membawa erti pengorbanan yang lebih besar buat umat Islam seterusnya, insya-Allah.