Kadang-kadang agak sukar untuk berbicara tentang sesuatu isu secara objektif, amanah dan berdasarkan ilmu pengetahuan. Hal ini menjadi sukar kerana nampaknya dunia ini telah melahirkan agak ramai manusia yang fanatik dan tertutup mindanya. Oleh itu mereka akan sentiasa melihat orang lain sebagai orang yang bersalah. Inilah yang terjadi ketika saya menulis beberapa rencana tentang jihad dalam pengertiannya yang berbeza-beza di dalam ruangan ini sejak akhir-akhir ini.
Terdapat satu dua kecaman yang saya terima daripada penulis yang mengaku dirinya bukan Islam. Kecaman itu ditujukan kepada saya ketika saya cuba menjelaskan persepsi majoriti orang Islam, termasuk bukan Islam juga, yang menganggap bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan yang telah banyak membunuh atau mencederakan orang awam sebagai satu serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Malahan serangan itu tidak lagi membawa misi sebenarnya Amerika untuk menghapuskan keganasan dan para pengganas.
Kenyataan ini menyebabkan kemarahan pengirim e-mel tersebut yang menganggap saya telah menutup mata daripada melihat kenyataan sebenarnya bahawa tidak ada pengganas yang berada di atas muka bumi ini selain daripada para militan dan kumpulan radikal Islam. Penulis ini menyatakan bahawa sifat ganas kumpulan Islam ini tidak perlu dilihat jauh-jauh seperti ke Amerika atau Eropah untuk mengenalinya. Di sekeliling kita sahaja terdapat kumpulan Abu Sayyaf, para pelampau Islam di Indonesia, malah golongan radikal di negara kita sendiri seperti kumpulan Al-Ma’unah, KMM, dan golongan radikal parti pembangkang.
Antara beberapa penulis e-mel orang Islam pula, terdapat segelintir daripada mereka yang mengecam saya sebagai orang yang jahil walaupun memiliki Ph.D tetapi lepasan empat senawi lebih mengetahui makna jihad yang sebenarnya daripada saya.
Saya merasa bahawa kedua-dua golongan yang mengecam saya ini masing-masing mempunyai hujah dan alasannya, tetapi sayangnya kecaman mereka itu nampaknya tidak berasaskan konteks dan persepsi yang bertunjangkan ilmu pengetahuan dalam isu-isu yang saya bangkitkan. Kecaman mereka dilemparkan tanpa memahami keseluruhan tulisan saya, oleh itu kecaman mereka amatlah tidak adil.
Saya tidak menyatakan bahawa serangan Amerika itu kejam tanpa sebab, dan saya tidak pula mengatakan bahawa jihad itu tidak perlu dilaksanakan oleh orang Islam sehingga menimbulkan kemarahan beberapa orang yang tertentu. Saya melihat bahawa serangan ke atas orang yang tidak bersalah adalah satu kekejaman, sama ada dilakukan oleh sesiapa sahaja dan di mana-mana tempat sekali pun. Maka serangan Amerika nampaknya telah melampaui had yang sepatutnya, sama sahaja seperti serangan yang dilakukan di New York dan Washington pada 11 September yang lalu yang telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak bersalah.
Saya juga menyebut bahawa jihad yang harus dilakukan dalam menolong rakyat Afghanistan yang menjadi mangsa serangan Amerika itu tidak bererti jihad mengangkat senjata untuk berperang di sana bagi menentang Amerika. Malahan jihad yang harus dilakukan ialah jihad bagi menolong sesama saudara seagama itu dengan segala bantuan kemanusiaan, perubatan, pakaian, wang dan sebagainya, juga tenaga kepakaran sukarelawan yang dapat merawat dan membantu mereka yang cedera dan sakit dengan tujuan untuk meringankan penderitaan mereka. Bagi negara-negara Islam dan negara-negara yang cintakan perdamaian, jihad mereka ialah melalui forum antarabangsa, tekanan dan desakan diplomatik dan sebagainya.
Kita semua seharusnya memahami prinsip jihad dalam erti kata perang fi sabilillah dengan mengangkat senjata. Salah satu prinsip jihad dalam Islam ialah bagi tujuan mempertahankan diri, akidah, maruah, negara dan harta benda kita daripada pencerobohan musuh. Pencerobohan secara kekerasan yang dilakukan dalam hal ini membolehkan kita menentangnya secara kekerasan.
Maka dalam konteks negara Afghanistan yang diperintah oleh kerajaan Taliban itu pun kita seharusnya memahami dan meneliti keadaan yang sebenarnya. Seandainya kita perlu mengangkat senjata bersama-sama dengan rakyat Afghanistan, maka sekurang-kurangnya terdapat dua golongan orang Islam yang berjuang sesama mereka. Apakah dalam memihak kepada kerajaan Taliban, maka kita akan bertindak memerangi pihak Perikatan Utara yang juga terdiri dari saudara kita sesama Islam? Ketika ini, jika terdapat pejuang yang gugur dari kedua-dua belah pihak, maka siapakah yang sebenarnya gugur syahid dalam jihad ini?
Ditakdirkan pun kita seharusnya perlu pergi berjihad berperang dengan saudara kita di Afghanistan, apakah mereka sebenarnya memerlukan kita? Apakah bilangan pejuang mereka yang dikatakan berjumlah sejuta itu memerlukan pertolongan kita, apa lagi sekiranya kita tidak pernah terlatih di negara mereka yang amat berbeza dari negara kita, yang cuacanya amat berlainan daripada cuaca kita. Dalam keadaan ini kehadiran kita mungkin tidak diperlukan, malah kehadiran kita mungkin akan menambahkan lagi beban mereka untuk menjaga dan melindungi kita, bukan hanya daripada musuh, tetapi juga cuaca sejuk dan permukaan bumi yang amat menyukarkan manusia asing seperti kita.
Bagaimanapun prinsip penting jihad yang harus difahami ialah prinsip pertahanan, bukan dasar serangan. Di samping itu satu pengertian lain yang seharusnya diambil kira ialah wujudnya jihad yang lebih besar daripada mengangkat senjata, iaitu perjuangan untuk membangunkan agama dan umatnya menjadi umat terbaik dalam berbagai-bagai bidang kehidupan di dunia ini, sehingga dengan itu umat Islam menjadi umat yang kuat dan dinamik dalam berbagai-bagai bidang kehidupan dunia dan akhirat.
Saya beranggapan bahawa pengertian jihad dalam konsep ini, akhir-akhir ini telah mulai difahami oleh banyak kalangan di negara kita, oleh itu tidak seharusnya timbul lagi seruan-seruan untuk pergi berperang ke Afghanistan di kalangan rakyat negara ini. Malahan dari sudut yang lain, orang bukan Islam juga seharusnya memahami dengan mendalam konsep jihad ini, dengan itu tidak akan timbul lagi tanggapan umum bahawa keseluruhan orang Islam adalah terdiri daripada orang militan dan radikal yang sentiasa bersedia untuk berjihad dalam pengertian mengangkat senjata berperang dengan orang bukan Islam.
Saya dapat menerima perbezaan pandangan daripada sesiapa sahaja, tetapi bukanlah secara melulu dengan sentimen atau sikap fanatik yang sempit. Kita seharusnya selalu berdebat dan berhujah secara rasional dan beradab sebagai orang yang berperadaban dan bertamadun.