Tulisan saya minggu lalu mengajak umat Islam di negara ini khususnya, dan masyarakat Islam di seluruh dunia umumnya, agar tidak segan-silu menjadi umat yang berbeza daripada sesetengah umat Islam negara lain dalam memberi reaksi terhadap serangan Amerika ke atas Afghanistan. Salah satu perkara yang harus dijauhi ialah memberi reaksi yang terlalu bersifat emosional, kerana mungkin hal itulah yang amat diharapkan oleh musuh Islam, iaitu mengharapkan agar umat Islam ini akan terus-menerus menjadi umat yang berfikiran dan bertindak mengikut emosi melulu.
Musuh Islam amat mengharapkan supaya umat Islam ini akan sentiasa bertindak ganas, tidak rasional, tidak berdasarkan akal fikiran, jauh daripada berkelakuan secara bertamadun dan terpisah daripada ilmu pengetahuan dan teknologi semasa. Dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang terasing daripada masyarakat dunia, atau akan disisihkan daripada pembangunan moden manusia sejagat, terkeluar daripada arus perdana pembangunan politik, ekonomi, ilmu pengetahuan dan sebagainya yang sedang dibina oleh masyarakat bukan Islam.
Malah lebih daripada itu, masyarakat Islam juga diharap akan selama-lamanya berada dalam kemunduran. Tujuannya supaya mereka akan terus-menerus bergantung kepada umat lain yang lebih maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, lebih kuat pembangunan ekonominya dan lebih disegani oleh dunia. Maka umat yang maju dan disegani itu adalah umat Amerika dan Eropah, lalu umat Islam pun diharap akan menjadi umat yang bergantung kepada negara maju ini.
Antara kelainan reaksi yang harus kita tunjukkan kepada dunia dalam menghadapi permusuhan terhadap Islam dan negara Islam itu ialah dengan mengelakkan diri daripada tindakan ganas dan merusuh di jalan-jalan raya. Para perusuh dan penunjuk perasaan begini biasanya akan menghadapi pertempuran dengan polis, tercedera dan tidak kurang pula nyawa yang melayang akibat tembakan sama ada oleh perusuh atau polis dan anggota keselamatan.
Yang menyedihkan dalam hal ini, manusia yang menjadi korban itu adalah mangsa sesama sendiri, iaitu daripada kalangan sesama warganegara sendiri, tanpa menjejaskan sedikit pun pihak musuh dan lawan. Ini kerana rusuhan dan kekacauan ini biasanya berlaku di dalam negara sendiri. Apakah faedahnya bertempur sesama sendiri sehingga boleh memakan korban nyawa, harta benda dan sebagainya?
Oleh itu dalam mengemukakan bantahan dan protes terhadap tindakan yang dilakukan ke atas umat Islam atau negara Islam yang lain, ia hendaklah dilakukan melalui jalan-jalan lain yang lebih berkesan, tersusun, mengikut undang-undang dan peraturan, serta dapat disampaikan kepada golongan sasaran secara yang lebih bertamadun.
Tindakan rakyat menyampaikan memorandum kepada Kedutaan Amerika di negara kita umpamanya haruslah dilakukan dengan aman dan bijaksana, tanpa mengganggu ketenteraman awam, lalu lintas dan sebagainya. Apa perlunya diatur demonstrasi yang ganas dan berkesudahan dengan pertempuran dengan polis, kemudian disalahkan pihak yang menjaga ketenteraman awam itu pula?
Satu cara berdoa kepada Allah s.w.t untuk menolong umat dan negara Islam yang sedang berperang nampaknya telah disusun dengan baik di masjid-masjid negara kita, iaitu dengan melakukan sembahyang hajat selepas sembahyang Jumaat dan beramai-ramai berdoa agar Allah menyelamatkan umat Islam yang sedang menderita akibat kekejaman musuh. Bukankah cara begini lebih baik dan lebih khusuk daripada tindakan untuk mengadakan sembahyang hajat beramai-ramai di atas jalan raya umpamanya?
Satu reaksi berbeza yang amat ketara yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam terhadap peristiwa serangan ke atas negara Afghanistan ialah seruan jihad yang dilaungkan di seluruh dunia Islam. Memang tidak dapat sesiapa pun menafikan kewajipan berjihad ke atas seluruh umat Islam dalam menghadapi musuh Islam yang mengancam umat Islam di mana saja mereka berada. Tetapi mengehadkan jihad hanya dalam pengertian mengangkat senjata melawan musuh di medan peperangan tentulah agak menyimpang daripada pengertian jihad yang sebenarnya mengikut agama kita.
Kita boleh mengangkat senjata melawan musuh dalam keadaan-keadaan yang tertentu yang dibenarkan oleh agama. Tetapi sekiranya seorang muda yang sedang panas darahnya bermotosikal untuk sama-sama berjihad mengangkat senjata menentang askar Amerika di Afghanistan sedangkan dia sendiri tidak pernah memegang senjata seumur hidup, apakah terdapat hikmah dalam tindakannya untuk berjihad ini?
Kita mengetahui daripada ajaran al-Quran bahawa, dalam menghadapi musuh kita mestilah membuat persiapan yang rapi, menjadi umat yang kuat dan digeruni oleh musuh kita dan musuh Allah. Kita dibenarkan berperang dalam keadaan yang tertentu iaitu untuk mempertahankan akidah dan negara kita. Namun dalam kebenaran berperang itu pun Allah s.w.t. mengingatkan kita supaya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada, maka sebab itulah Allah s.w.t. menerangkan tentang cara bersembahyang ketika dalam peperangan.
Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hendak menunaikan sembahyang bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (sembahyang) bersertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang bersembahyang denganmu) sujud, maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata. (Surah al-Nisa, ayat 102)
Orang Islam diingatkan, walaupun terkorban di dalam perang jihad, ia merupakan satu kematian yang amat mulia, tetapi mereka haruslah sentiasa menjaga jiwa mereka agar tidak terkorban. Ayat di atas menjelaskan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh para pejuang Islam ketika bersembahyang ketika perang agar musuh tidak mengambil kesempatan semasa umat Islam sedang menunaikan ibadat sembahyang. Jika dilihat kepada peringatan al-Quran ini maka saya fikir amat tidak wajar bagi pemuda yang tidak pernah menerima latihan perang, apa lagi tanpa senjata, untuk pergi berjuang atas nama jihad.
Bagaimanapun di negara kita nampaknya rata-rata umat Islam telah memahami makna jihad dan peranan kita dalam membantu saudara-saudara kita di Afghanistan. Jihad kita ialah memberi bantuan perubatan, kewangan, pakaian dan sebagainya kepada mereka. Jihad kita ialah membantu mereka mengatasi kesakitan dan penderitaan fizikal dan kejiwaan yang mereka sedang alami. Bagi kita yang tidak dapat pergi membantu mereka di sana, maka jihad kita ialah menghulurkan bantuan melalui organisasi yang menguruskannya. Inilah jihad yang besar bagi kita terhadap penderitaan saudara seagama. Dan peranan negara kita memperjuangkan kebebasan mereka dari serangan di samping membangkitkan tindakan ketidakadilan dan kezaliman musuh terhadap negara dan umat Islam di dalam dunia ini juga merupakan satu jihad. Jihad bukan seharusnya diwarnai oleh emosi melulu.