Apabila memahami tujuan sesuatu undang-undang, maka dalam perbincangan falsafah undang-undang, telah dijelmakan konsep kedaulatan undang-undang. Ramai antara kita telah tahu tentang kewujudan konsep Kedaulatan Undang-Undang atau Rule of Law. Ramai juga yang mungkin telah mendalami maksud rule of law. Bagi negara, Kedaulatan Undang-Undang merupakan falsafah negara yang disenaraikan di nombor keempat dalam Rukun Negara. Ini menunjukkan kepentingan prinsip ini dalam negara kita.
Dalam bahasa ringkas, Kedaulatan undang-undang bermakna bahawa kerajaan dan rakyat keseluruhannya terikat oleh undang-undang dan wajib mematuhi undang-undang. Definisi ini agak mudah, tetapi inilah prinsip utama dalam konsep kedaulatan undang-undang. Mungkin ada ahli peundangan yang mahu menambah elemen-elemen lain dalam definisi ini, tetapi elemen-elemen yang saya sebutkan itu menjadi dasar dan tidak ada definisi lain yang lebih rendah maksudnya daripada yang disebutkan itu.
AV Dicey, seorang ahli falsafah perlembagaan British, memperkenalkan konsep kedaulatan undang-undang dengan tiga elemen asas; ketiadaan kuasa yang dilaksanakan secara sewenang-wenangnya; keluhuran undang-undang dan kuasa budi bicara yang terhad. Dalam perkembangan terkini, mahkamah, parlimen dan pakar undang-undang perlembagaan yang lain telah menghuraikan konsep dan pengertian kedaulatan undang-undang, yang disebut sebagai Prinsip Moden Kedaulatan Undang-Undang. Prinsip baharu ini menyatakan bahawa semua undang-undang hendaklah berkesan ke hadapan, iaitu semua undang-undang hendaklah berkuat kuasa bagi penguatkuasaan masa depan dan tidak ada undang-undang retrospektif, di mana undang-undang memberi kesan terkebelakang. Beberapa lagi prinsip utama di bawah konsep kedaulatan undang-undang ialah, undang-undang hendaklah stabil, tidak mudah dan tidak berubah-ubah, badan kehakiman yang bebas, pemakaian prinsip semakan kehakiman, dan kebebasan asasi. Di samping itu, prinsip yang lebih terkini dalam konsep kedaulatan undang-undang ialah mahkamah juga harus mudah diakses oleh masyarakat, prosesnya tidak mahal dan terbuka kepada orang ramai
Ringkasnya, Kedaulatan undang-undang mengandungi prinsip-prinsip bahawa semua orang dan institusi tertakluk kepada dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sedang dikuatkuasakan. Ia membawa maksud pentadbiran yang berlandaskan undang-undang; bukan keraaan yang dipelopori oleh pemerintah semata-mata. Oleh itu di bawah konsep kedaulatan undang-undang membawa maksud akauntabiliti kerajaan, akses yang sama ke muka pengadilan, badan kehakiman yang cekap dan undang-undang yang jelas, undang-undang umumnya stabil dan perlindungan hak-hak asasi manusia.
Kita mempunyai semua prinsip pengisisan kedaulatan undang-undang ini dalam Perlembagaan walaupun kita tidak mempunyai peruntukan khusus yang menyebut tentang kedaulatan undang-undang. Dari segi sejarah Perlembagaan, pada awal gubalannya, dalam deraf Perlembagaan, prinsip kedaulatan undang-undang ini dinyatakan dengan jelas dalam salah satu peruntukan perlembagaan. Namun, selepas perbahasan, peruntukan tersebut digugurkan daripada deraf terakhir Perlembagaan Persekutuan. Justeru, dalam memenuhi konsep kedaulatan undang-undang kita terpaksa melihat ekpada keseluruhan peruntukan perlembagaan dengan ‘menarik keluar’ prinsip-prinsip yang boleh dikelaskan sebagai prinsip kedaulatan undang-undang.
Prinsip kedaulatan undang-undang berkaitan hak asasi ada dalam Bahagian II Perlembagaan, kebebasan kehakiman ada dalam Perkara 125 dan beberapa peruntukan lain. Prinsip Kebertanggungjawaban kerajaan ada dalam Perkara 43(3) Perlembagaan yang menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab secara kolektif kepada parlimen. Undang-undang yang tidak berkesan ke belakang ada dalam Perkara 7 perlembagaan sebagai sebahagian daripada kebebasan asasi. Undang-undang yang jelas dan stabil dapat dilihat dalam amalan. Ia tidak dibukukan dalam bentuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berkaitan konsep kedaulatan undang-undang dan prinsip pentadbiran Islam, keduanya tidak jauh beza. Islam meletakkan garis panduan jelas kepada tanggungjawab pemerintah dan rakyat. Sebagai contoh ketara, Islam mensyariatkan perbincangan dalam konsep syura. Islam meletakkan tanggungjawab pemerintah untuk menghormati yang diperintah dengan meletakkan hak-hak tertentu dan meletakkan juga tanggungjawab pemerintah untuk taat kepada perintah Allah. Oleh itu kesemua prinsip dalam konsep keaulatan undang-undang itu wujud dlam sistem pentadbiran Islam.
Pada umumnya prinsip pentadbiran Islam tidak jauh beza daripada prinsip kedaulatan undang-undang dimasyhurkan Barat itu. Perbezaan ketara hanya berkisar sekitar sumber konsep tersebut. Mungkin para ulamak atau cendikiawan Islam perlu bekerja dan berfikir lebih kuat untuk berijtihad dan menjelaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang yang berasaskan wahyu Allah itu lebih baik dalam aplikasinya.