Undang-undang mencerminkan aspirasi masyarakat, budaya, kepercayaan politik dan keadaan ekonomi. Kita menggunakan undang-undang bagi tujuan mengawal hubungan manusia antara satu sama lain; mengawal hubungan rakyat dan kerajaan dan undang-undang juga merupakan mekanisme menyelesaikan pertikaian. Ini adalah antara intipati tulisan saya pada minggu lepas.
Undang-undang akan berfungsi dengan baik apabila ia difahami dan dapat diterima oleh masyarakat. Namun begitu, undang-undang tidak mudah untuk difahami oleh orang kebanyakan, seperti juga bidang-bidang lain, kedoktoran, ekonomi, atau juga agama. Selain itu, undang-undang bergantung kepada banyak faktor. Antara lain, undang-undang mungkin juga bergantung kepada keadaan ekonomi dan juga sosial.
Walauapa pun keadaannya seboleh mungkin kita hendaklah mempunyai undang-undang. Bahkan kita bukan setakat memerlukan undang-undang, tetapi kita memerlukan undang-undang yang berkesan. Keberkesanan undang-undang dapat dilihat apabila ia dapat mengawal keadaan ekonomi, ia dapat mengawal keadaan sosial dan juga keadaan politik.
Dalam mencari keberkesanan undang-udang, mungkin akan menjadi mudah untuk kita sekiranya kita dapat menghasilkan sebuah buku yang menyediakan jawapan kepada semua permasalahan, tidak kira sama ada ia berkaitan masalah sosial, politik dan ekonomi. Namun, hakikatnya ialah kita tidak akan mampu untuk menghasilkan buku seumpama itu kerana undang-undang mempunyai skop yang luas dan teori yang berbeza.
Dalam memahami objektif undang-undang, kita hendaklah faham tentang teori undang-undang.
Terdapat pelbagai teori undang-undang yang perlu kita hayati sebelum kita tentukan apakah falsafah undang-undang yang boleh kita terima dalam masyarakat kita untuk mencapai objektif undang-undang.
Teori yang pelbagai itu hendaklah juga dapat difaham oleh masyarakat kerana masyarakat jugalah yang akan merasai kesan undang-undang.
Antara yang teori undang-undang yang sering dirujuk ialah Natural Law, Historical Jurisprudence, Utilitarian dan Positivism. Terdapat juga teori-teori seperti Sociological Jurisprudence, Legal Realists dan Legal Sociologists.
Menurut Natural Law Theory, undang-undang dianggap sebagai God-given atauanugerah tuhan. Dan ada sebahagian daripada Naturalist menganggap undang-undang adalah sesuatu yang wujud dengan kejadian manusia secara semula jadi. Mengenai kemoralan, para Naturalists berhujah bahawa konsep kebaikan moral hendaklah bebas daripada pendapat atau pandangan kerajaan atau institusi-institusinya tentang kebaikan atau kejahatan. Maka para Naturalists tidak membolehkan kerajaan membuat undang-undang sesuatu kebaikan itu menjadi kejahatan atau menajdikan kejahatan itu kebaikan. Atas prinsip kebaikan semulajadi dariapda Tuhan itulah suatu undang-undang itu dibina. Maksudnya, parameter yang mesti digunakan dalam membuat undang-undang ialah prinsip kebaikan menurut yang diunjurkan oleh Tuhan, bukan ciptaan manusia atau kerajaan. Contoh klasik ialah, undang-undang yang membenarkan dasar aparthied adalah bukan undang-undang dalam teori ini.
Historical Jurisprudence pula lahir sebagai respons kepada Natural Law Theory. Menurut teori ini, hanya amalan-amalan yang telah mengharungi masa dan telah bertahan lama yang boleh menjadi undang-undang. Teori ini tidak membenarkan perubahan mendadak, tetapi menyokong evolusi, atau perubahan perlahan dalam undang-undang. Teori Historical Jurisprudence ini menggalakkan kestabilan undang-undang, yang mana, hanya amalan yang konsisten dan diterima masyarakat boleh diterima sebagai undang-undang.
Sementara itu, Utilitarian Theory memberi tumpuan kepada ‘kegunaan sosial’ undang-undang, berbanding keperluan metafizik atau kerohanian manusian. Istilah kebaikan dan keadilan tidak wujud dalam teori ini. Utilitarians berpendapat bahawa undang-undang hendaklah menghormati ‘kebahagian awam’, supaya mereka mendapat ‘keseronokan maksima’ serta ‘kepayahan yang minima’. Maksudnya, undang-undang hendaklah menghormati apa yang dimahukan masyarakat sebagaimana kehendak masayrakat tanpa meletakkan sekatan ke atas ‘kebahagian’ dan ‘keseronokan’ masyarakat.
Positivism pula mementingkan apa yang tersurat. Sesuatu yang bertulis dalam undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan yang sah adalah undang-undang, tidak kira apa juga nilai yang ada dalam undang-undang itu.
Teori undang-undang di atas berkembang berdasarkan kepada keadaan dan keperluan masyarakat. Perbezaan dalam penerimaan teori-teori ini akan menyebabkan perbezaan tentang apakah yang dikatakan sebagai ‘undang-undang’. Dalam mempastikan suatu undang-undang itu diterima oleh masyarakat serta diterima menjadi mekanisme yang berkesan maka undang-undang kita hendaklah mempunyai gabungan kepada teori ini. Mungkin tidak mudah untuk kita membina peradaban perundangan kita, tetapi itu bukan mustahil.