Kegawatan keadaan ekonomi semasa mengajar kita supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati walaupun ketika negara mencapai prestasi ekonomi yang baik. Kita perlu mengamal dan menghayati prinsip dan pendekatan yang luhur dan murni dalam kesemua keadaan semoga apa-apa bentuk cabaran dan tekanan dapat dielak dan jika tidak,dapat diminimakan. kesannya.
Dalam menghadapi kegawatan ekonomi semasa kita perlu bangkit kembali dari kemelut tersebut dengan lebih matang bersama kekuatan. Dengan pencapaian tersebut kita akan mampu menghadapi cabaran yang lebih mencabar pada masa hadapan.
Al-Quran mengajar kita bahawa umat Islam mesti yakin: “kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Quran 94: 5-6). Peringatan ini membentuk kita bersikap optimis dan yakin diri dalam menghadapi kegawatan ekonomi semasa. Cabaran yang dihadapi sekarang walaupun besar, ia menuntut kita terus berjiwa besar, mengatasi kelemahan dan membina kekuatan untuk terus berusaha ke arah kemajuan masyarakat yang berterusan. Adalah hukum dalam kehidupan pusingan roda ekonomi akan terus berpusing.
Dalam era globalisasi, keadaan semasa dan masa hadapan makin tidak menentu. Walaupun demikian masyarakat Islam perlu terus berusaha membangun kekuatan diri dan masyarakat secara proaktif melalui pembinaan keimanan, akhlak, keilmuan dan kepakaran. Kesemua kekuatan ini memerlukan satu sistem dan budaya hidup masyarakat yang dinamis berasaskan nilai luhur kemanusiaan. Pembinaan sistem dan mewujudkan budaya hidup yang dinamis adalah cabaran yang paling besar kepada kita.
Kegagalan masyarakat silam dan semasa dalam membangun sebuah tamadun manusia yang utuh adalah disebabkan kegagalan mereka membina masyarakat berasaskan gagasan asas-asas fundamental tersebut. Hasilnya kesemua aspek pembangunan termasuk ekonomi turut sama menerima kesan yang menghalang kemajuan secara berterusan.
Dalam menghadapi kegawatan ekonomi semasa, masyarakat Malaysia perlu peka behawa kita perlu mengkaji dan menyelesai kelemahan yang sedia terdapat dalam masyarakat. Era globalisasi memberi ruang untuk tekanan antarabangsa mempengaruhi keadaan ekonomi tempatan. Kita perlu menghadapi krisis semasa dengan membina kekuatan ekonomi melalui pemantapan asas-asas fundamental. Kekuatan masyarakat secara menyeluruh tersebut memungkinkan kekuatan ekonomi akan sentiasa berada di peringkat yang mampan secara berterusan.
Keimanan masyarakat Islam yang mutlak hanya kepada Allah S.W.T. membentuk satu pandangan hidup (world view) yang komprehensif dan menyeluruh berasaskan semangat tauhid. Ia membentuk satu arah tuju dan `sense of mission’ kepada manusia dalam membina syasiah diri dan menyusun sistem bermasyarakat sesuai dengan fitrah kemanusiaan untuk terus maju dalam kesemua aspek kehidupan. Kekuatan ini akan mengurangkan individu yang berjaya dari menjadi alpa dan angkuh yang seterusnya hilang pedoman hidup. Kegagalan menghayati fitrah kemanusiaan dalam membina diri dan menyusun sistem bermasyarakat adalah sebab utama kepada wujudnya kepincangan dalam sesebuah masyarakat yang baru memperolehi kejayaan. Fenomena ini seterusnya melemahkan kekuatan masyarakat tersebut, termasuk kekuatan ekonomi. Kelemahan daya tahan dan mudah hilang pedoman hidup memudahkan tekanan antarabangsa kepada kekuatan ekonomi tempatan. Kehidupan berasaskan tauhid mampu membina daya juang dan daya tahan masyarakat untuk terus maju di atas nilai kehidupan yang luhur.
Pembinaan akhlak adalah asas kekuatan masyarakat. Akhlak perlu difahami sebagai kelakuan dan gelagat manusia untuk membina dan membangun kekuatan diri dan masyarakat bernegara termasuk kekuatan ekonomi. Adalah satu kesilapan yang besar jika menganggap individu yang berakhlak itu adalah seorang yang lurus, betul bendul, tidak berkeinginan untuk maju dan melakukan reformasi sosial dan tidak sensitif terhadap kepincangan perjalanan proses penyusunan dan pembangunan masyarakat bernegara. Penghayatan akhlak ada hubungkait yang rapat dengan usaha tanggungjawab untuk menyusun dan membangun masyarakat dan negara. Masyarakat yang berakhlak sudah pasti sensitif dengan kemelut ekonomi semasa dan berperanan secara efektif membuat segala bentuk reformasi kearah pengukuhan ekonomi negara.
Dalam fenomena semasa, kekuatan ekonomi perlu di bangunkan melalui kekuatan ilmu. KNK negara-negara maju pada masa kini disumbang oleh sektor perkhidmatan yang berasaskan kemahiran yang tinggi (high skill services). Mengikut satu kajian yang mutakhir oleh McKinsey ada menyatakan bahawa pada akhir Alaf ini, 80% daripada kesemua pekerjaan di Amerika Syarikat akan berasaskan ilmu. Justeru itu, senario Abad 21 akan memaparkan bahawa kekuatan ekonomi akan bergantung kepada pengurus dan pekerja yang berilmu dan berkemahiran.
Dalam menyedia dan membangun pengurus dan pekerja yang berilmu dan professional, usaha yang bersungguh perlu digembeling oleh pihak pemerintah dan sektor swasta semoga lebih ramai anak bangsa berminat dan berpeluang melanjut pelajaran dalam bidang-bidang professional dan teknologi. Kekuatan ekonomi masyarakat perlu diasaskan kepada kekuatan meningkat kemampuan mengurus, daya cipta dan daya pengeluaran. Kekayaan ekonomi ummah yang berasaskan faktor yang tidak membina kepada kekuatan ekonomi tulen tersebut perlu dihapuskan. Justeru itu, kekuatan ekonomi ummah hendaklah diasaskan kepada kekuatan fundamental yang tulen. Kekuatan ekonomi yang diasaskan ciri-ciri tersebut memungkinkan negara mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Era globalisasi memerlukan daya kemampuan yang luar biasa jika umat Islam mahu bersaing dan mampu berada diarus perdana bukan sahaja di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa. Untuk memunkin menuntut kekuatan ekonomi tersebut, umat Islam tidak mempunyai pilihan bahkan berusaha kearah pembinaan kekuatan berasaskan asas-asas fundamental yang tulen seperti di atas.
Gabungan pemantapan faktor iman, akhlak, keilmuan dan kepakaran adalah agenda terpenting dalam membina umat Islam untuk terus maju, menjadi ummah yang disegani dan dihormati di dunia dan seterusnya di akhirat. Usaha ini adalah pengajaran terpenting yang dapat dipelajari dari kegawatan ekonomi dan sekali gus membuka mata kita untuk menjadi agenda bertindak untuk memertabatkan ummah dengan berpaksikan Islam.