Dunia masih lagi memperkatakan tentang MH370. Apatah lagi Malaysia. Tragedi ini sudah memasuki minggu kelima tanpa satu kepastian yang jitu. Suasana sebegini adalah ruang yang amat besar untuk diisi dengan pelbagai persepsi dan spekulasi. Saya tidak ingin mengulas apa yang berlaku pada pesawat malang, krew, penumpang, barisan jentera penyelamat atau seumpamanya. Tetapi, saya ingin bercerita tentang kita yang berada di luar gelanggang tetapi masih berteduh di bumbung yang sama.
Di mana-mana sahaja termasuk di laman dan perkampungan maya, ramai dari kalangan kita yang bukan sekadar memberi reaksi terhadap tragedi ini tetapi meletakkan diri seperti mempunyai autoriti untuk menyatakan idea masing-masing. Ada juga yang tidak mempunyai idea asal tetapi memanjangkan idea dan spekulasi yang diwujudkan oleh orang atau pihak lain. Saya percaya perkara ini sudah pun berlaku secara sempurna, dari timur ke barat dan dari selatan ke utara dunia, selagi ia boleh dicapai oleh internet dan wujud pengguna internet di situ.
Malangnya, tindakan ini dilakukan tanpa sebarang autoriti. Tanpa wujudnya locus standi oleh individu yang melakukannya, juga tanpa sebarang empati dengan cuba meletakkan diri di dalam gelanggang, sama ada sebagai pihak yang bertungkus-lumus mencari jawapan, yang berada di dalam pesawat penyelamat, di atas kapal-kapal tentera negara atau sebagai saudara, sahabat atau kerabat krew dan penumpang.
Dalam minggu pertama sahaja, kita sudah memperlihatkan tentang diri kita yang amat miskin dengan semangat kekitaan. Dalam kalangan kita, masih ada lagi yang meneruskan program-program yang berkonsepkan hiburan dan kegembiraan. Hatta hiburan bertaraf mega juga tetap dilangsungkan, sedangkan pesawat yang hilang itu adalah milik kita. Ketika sebahagian daripada kita melalui perasaan yang mencemaskan, membingungkan dan pilu, di sisi yang lain masih ada kalangan kita yang begitu teruja untuk bersuka ria.
Pada setiap tragedi yang berlaku, tentunya setiap orang mempunyai peranan, tanggungjawab dan tugas masing-masing. Maka, kita perlu tahu apa peranan kita menurut ilmu dan kemahiran yang dimiliki. Juga menurut kuasa yang diberikan kepada kita. Jika tidak ada satu pun antara ketiga-tiganya yang kita miliki, maka peranan kita adalah dengan tidak menambah ruwet dan kerumitan yang sedia ada. Diamnya kita akan memberikan kelapangan setiap individu dan pihak yang sedang bertugas. Berdoa pula adalah usaha yang paling layak agar semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Mendoakan ketabahan dan ketenangan kerabat dan waris adalah tugas hakiki nan mulia sesama saudara seagama.
Jangan marah jika kita ditempelak sebagai bangsa yang tidak patriotik berdasarkan senario yang berlaku. Apabila pihak-pihak luar memberi tanggapan yang negatif, mengkritik tanpa alternatif atau memperlekeh wibawa orang-orang kita sendiri dan kita mengiyakannya, itulah tandanya kita memang warga yang kelunturan dan kelusuhan patriotisme.
Bagi orang yang bijaksana, perkara pertama yang akan dipegang ialah peristiwa ini adalah yang pertama sepertinya berlaku (unprecedented). Walaupun ada idea yang mengatakan ia bukan unprecedented, tetapi lebih kepada enigma, waima apa-apa pun istilah yang tepat untuk mewakili kejadian ini, ia tetap suatu senario luar biasa. Jika kita sedar diri bahawa kita ini hanya bertaraf “hamba”, maka inilah realitinya dan hanya Allah SWT sahaja yang tidak mempunyai konsep luar biasa, ajaib, magik atau seumpamanya. Sudah tentu berlaku pelbagai kepincangan dan keciciran yang sebenarnya tidak ada seorang pun yang inginkan ia berlaku. Malah, tidak ada seorang individu pun yang bernafas di bumi Malaysia ini berdoa agar pada 8 Mac yang lepas, pesawat MH370 tewas sebelum sampai ke destinasinya.
“Nyerimpeti” ialah istilah bahasa Jawa yang pada saya amat tepat untuk ditujukan kepada setiap pelaku yang memberi sumbangan dan menambah sumbangan kepada kerimasan yang dialami oleh mereka yang benar-benar sedang menjalankan tugas untuk merungkai misteri kehilangan pesawat malang ini. Ia bermaksud menyibuk dan menjadi beban yang tidak perlu.
Jika kita tidak mampu memberi idea yang bernas, memberi sumbangan kemahiran dan kepakaran, atau sekurang-kurangnya menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, maka tindakan yang terbaik adalah mendoakan dengan penuh keikhlasan. Teruslah melakukan solat-solat sunat dengan cara yang terbaik. Iaitu, mengikut adab, tertib dan berusaha untuk melakukannya pada waktu-waktu yang mustajab. Jika yang bertugas melakukan tugasan mereka dengan penuh kualiti dan integriti, maka doa yang dipanjatkan juga harus dilakukan dengan penuh ketakwaan. Apakah kita terlupa bahawa penilaian Allah itu amat teliti? Jika kita alpa, tidak sepicing pun Allah mempunyai sifat sebagaimana hamba-Nya.
Juga tindakan yang amat bijaksana jika sebahagian kita meletak jawatan daripada terus berfungsi sebagai kesateria papan kekunci (keyboard warrior), kalau sekadar hendak mencari apa yang kurang dan salah. Tiada sebarang nilai keperwiraan jika sekadar menjadi kesateria siber kerana arena perjuangan individu sebegini hanya di alam maya yang tidak jejak di bumi. Walaupun kesateria maya ini secara zahirnya bertindak dengan posisi yang sama dengan para petugas, yang sama-sama berada di hadapan skrin komputer, tetapi tugas untuk mengumpul dan menyaring data untuk mencapai data yang berwibawa itu amat sukar sekali. Barangkali jauh lebih rumit berbanding ketika Puspawangi menyaring rempah ratus yang dibawa oleh Nila Kencana dalam filem Musang Berjanggut.
Barangkali ada baiknya juga jika perwira-perwira siber ini boleh membentuk satu pasukan pertahanan maya yang bertugas untuk mempertahankan setiap tindakan yang mempunyai nilai-nilai kenegaraan. Jika setakat ini tindakan mempertahankan dan “counter balance” hanya dilaksanakan secara orang-perseorangan dan berselerak, mengapa tidak tindakan yang bersifat patriotik dilakukan oleh kumpulan sukarelawan yang diurus dan diselaraskan secara terancang dan bersistem. Negara Malaysia tidak miskin dengan mereka yang mempunyai pelbagai kemahiran, maka marilah kita bersatu dengan mengumpulkan semangat kekitaan kita. Memahami bahawa tragedi ini meminta kita untuk berganding bahu, mengukuh apa yang lemah dan menambah apa yang kurang. Seterusnya, memperlihatkan kepada dunia luar bahawa kita benar-benar menyayangi apa yang kita miliki bersama. Biarlah satu masa nanti insan seperti Victor Lopez tidak sekadar mengagumi pemimpin kita tetapi juga amat mengagumi bahawa rakyat Malaysia bersatu dalam tragedi ini. MH370 milik kita dan maruah kita!