Bulan April dikenali sebagai Bulan Kesedaran Autisma. Tujuan utama diadakan satu bulan khusus berkaitan autisma ini ialah bagi mewujudkan kesedaran dan kefahaman yang baik di kalangan setiap anggota lapisan masyarakat berkaitan sebarang isu mengenai gangguan autisma. Lantaran itu, pada setiap tahun dalam bulan ini, pelbagai kempen kesedaran berkaitan autisma akan diadakan, sama ada di peringkat negara, mahupun antarabangsa. Di negara ini juga, tidak ketinggalan dalam melakukan usaha dan pelbagai kempen berkaitan bagi menyedarkan masyarakat terhadap segelintir golongan individu yang menghidapi masalah berkaitan autisma. Contohnya, pada 6 April yang lalu, satu larian amal yang dikenali sebagai Autisme Run 2014 telah diadakan dengan kerjasama antara UKM dan PERMATA, Jabatan Perdana Menteri. Pada 22-23 April pula, satu seminar antarabangsa autisma akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Ia dilihat amat bermakna kerana menyedarkan golongan masyarakat yang belum memahami sepenuhnya apa itu autisma, di samping meningkatkan ilmu pengetahuan dan sains di sebalik kejadian autism ini. Tambahan pula, bilangan kes berkaitan autisma semakin meningkat saban tahun dan peningkatan bukan hanya berlaku di dunia luar, tetapi juga di Malaysia.
Autisma adalah sejenis gangguan perkembangan neuropsikiatri. Ia adalah satu gangguan yang akan dihidapi sepanjang hayat oleh individu tersebut. Walaupun tiada ubat yang boleh menyembuhkannya, namun ia masih boleh lagi diperbetulkan melalui kaedah dan intervensi tertentu. Melalui kaedah tersebut, individu autistik juga akan mampu berdikari, berkerjaya, dan seterusnya berkeluarga. Walaupun isu utama gangguan adalah tertumpu kepada aspek komunikasi dan interaksi sosial, tahap kepintaran dan kecemerlangan IQ turut membantu dalam proses pemulihan dan rawatan individu ini. Keupayaan mental yang baik akan digunakan sepenuhnya sebagai satu mekanisma yang boleh membantu individu itu untuk memperbaiki kekurangan yang ada pada diri. Ini kerana individu autistik bukanlah seorang yang terencat akalnya. Malahan, terdapat di kalangan mereka yang mempunyai tahap IQ yang lebih baik dengan purata skor yang lebih tinggi berbanding individu normal yang lain. Sungguhpun mereka tidak mengalami kekurangan fungsi kognitif, namun, gangguan autisma tergolong di dalam kategori masalah pembelajaran. Walaupun mereka mempunyai fungsi kognitif yang normal dan setanding dengan individu normal lain, tetapi kekurangan dari segi perhubungan sosial, pertuturan dan komunikasi sosial turut membataskan had dan keupayaan pembelajaran mereka.
Bersempena dengan kempen kesedaran autisma ini, kesedaran yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kesedaran awam bahawa golongan ini boleh menjalani kehidupan secara normal. Ini bermakna, mereka boleh belajar, berkerjaya dan berkeluarga. Namun peluang terhadap pembelajaran dan kerjaya terhadap golongan ini masih belum wujud berikutan dari kurangnya tahap kesedaran di peringkat pembuat dasar dan pekerjaan, terutamanya di kalangan majikan. Ini berlaku akibat dari kurangnya pengetahuan dan pendedahan terhadap golongan ini. Maklumat yang mereka perolehi ialah bahawa golongan ini adalah pesakit mental, dan amat berbahaya. Maklumat salah seperti ini masih menghantui seluruh anggota masyarakat dan akhirnya menghalang kemajuan individu autistik yang meminggirkan terus mereka dari masyarakat.
Peluang pendidikan perlu diberi kepada mereka secara sama rata, namun bergantung kepada tahap keupayaan mereka juga. Walaupun mereka bermasalah dari segi pembelajaran, namun masalah mereka amat berbeza dari individu dalam kategori sama seperti masalah disleksia, afasia, lembam, disgrafia, sindrom Down, dan lain-lain. Dari segi pencapaian akademik, mereka didapati adalah lebih cemerlang lagi. Apa yang berbeza ialah pencapaian sosial mereka. Mereka lebih suka menyendiri. Perhubungan dan pergaulan sosial amat sukar bagi mereka. Interaksi dan komunikasi dalam perhubungan pula merupakan satu halangan yang amat besar sekali. Dari segi akademik mereka maju, namun secara sosialnya mereka amat ketinggalan. Akibatnya, matlamat dalam proses pembelajaran tidak tercapai, malah menjejaskan pencapaian. Ini akan mendatangkan beban kepada mereka. Lebih-lebih lagi pada ketika ini, sistem pentaksiran berasaskan sekolah atau PBS yang baru dilancarkan pada 1 April lepas, menjadikan golongan seperti mereka akan lebih terjejas. Penjejasan akan berlaku kerana tahap pencapaian mereka akan turut dinilai dalam aspek yang melibatkan pencapaian dalam perhubungan atau penglibatan sosial. Atau dalam erti kata yang lain, kecacatan sejak lahir yang ada pada diri mereka itu adalah satu alasan mengapa mereka gagal dalam pencapaian menurut kacamata sekolah dan sistem pelajaran yang baru berkenaan. Sewajarnya perkara ini perlu dielakkan, dan tidak wajar ia berlaku. Ini kerana mereka tidak memohon untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian rupa. Namun, kesedaran pada peringkat ini adalah amat bermakna demi menjamin masa depan kehidupan mereka.
Islam amat menuntut umatnya untuk berlaku adil dalam kehidupan. Keadilan perlu dilaksanakan dan perlu kelihatan bahawa ia dilaksanakan sebaiknya. Namun keadilan itu masih tetap gagal dilaksanakan jika tiada kesedaran atau ilmu yang tepat berkaitannya tidak diperolehi. Bagi mendapatkan ilmu dan fakta yang tepat dan benar, Islam menganjurkan agar bertanya, berbincang, dan bermuzakarah sesama ahli yang lebih berilmu.