“Nuun. Demi pena dan apa yang ditulis.”[surah al Qalam ayat 1-2]. Indah sungguh apa yang telah dirakam dalam firman Allah. Ia menggambarkan kepada kita bahawa menulis atau mencatat merupakan satu proses dalam mendapatkan ilmu. Namun, realitinya, berapa kerat daripada umat pada hari ini akan mencatat ilmu yang diperolehi saban hari? Apalagi apabila mendapat ilmu dalam universiti kehidupan yang tidak formal seperti pengalaman dan pengamatan hidup. Jarang sekali catatan dan penulisan dibuat sebagai satu bentuk dalam mencari makna sebuah kehidupan.
Imam Syafii pernah mengungkapkan mutiara kata: “Ilmu itu adalah hasil buruan dalam karung dan menulis adalah tali ikatannya”. Tamsilan ini wajar diperkukuhkan dalam jiwa kita untuk membudayakan menulis atau mencatat dalam setiap inci ilmu yang diperolehi. Sekiranya ilmu tersebut tidak ditulis, pengalaman yang diperolehi tidak digarap, maka tunggu sahaja saat dan ketika, apabila ilmu tersebut akan hilang meninggalkan kita. Belum tentu kita akan perolehi lagi pada masa akan datang. Dengan itu, pentingnya menulis atau mencatat sebagai satu proses kita mendapatkan ilmu dalam kehidupan pada hari ini. Sepertimana yang diungkapkan oleh Saidina Ali RA “Ikatlah ilmu dengan menulis”.
Usah memandang enteng usaha dan daya seseorang dalam menulis. Ini kerana hasilnya nanti bakal memberi makna dan impak tersendiri. Jika bukan untuk orang lain, ia akan lebih bernilai buat diri penulis itu sendiri. Oleh sebab itu, seseorang penulis juga perlu mengaudit diri bilamana cuba untuk mencatat sesuatu agar ia memberi satu kesan baik yang signifikan. Antara dua perkara yang tidak penting dan tidak perlu untuk dicatat adalah kebaikan kita kepada orang lain dan keburukan orang lain terhadap kita. Berhati-hati dalam menggarapkan idea agar catatan tidak membawa kepada unsur-unsur takbur, ujub, riya’, fitnah dan mengadu domba. Ini kerana mata pena adalah lebih tajam daripada pedang. Sekiranya ia bermanfaat, ketajaman itu bakal memberi makna dan perubahan dalam kehidupan, namun, jika sebaliknya, maka tusukan pedang itu akan membunuh jiwa-jiwa yang membacanya.
Seorang penulis yang baik akan mengambilkira unsur-unsur yang memudahkan penyampaian ilmu melalui penulisan agar dapat dicerna dengan baik oleh pembaca. Sabda Nabi SAW; “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.”[Riwayat Muslim]. Malah bahasa yang digunakan juga perlu mudah difahami oleh mereka. Setiap daripada kita perlu memahami keterbatasan ilmu yang dimiliki dengan memudahkan apa yang sukar bukannya merumitkan perkara yang biasa. Paling penting setiap apa yang ingin dicatat atau ditulis, penulis adalah individu yang paling berhak untuk mengambil inspirasi dan mengamalkannya.
Imam Ghazali pernah bermunajat, ” Janganlah Engkau menjadikan kami termasuk dalam golongan orang yang hanya bercakap, kami mendengar tetapi kami tidak mengamalkannya, kami mendengar tetapi tidak menerima. Jangan jadikan kami orang yang apabila diperingatkan, kami menangis keinsafan, namun apabila datang waktu untuk mengamalkannya, kami seperti biasa, melalai dan melupakannya.” Munajat ini adalah satu contoh catatan yang berbisa dan berbekas di hati. Melalui catatan pengalaman hidup, ia mampu memberi pengajaran dan pedoman kepada generasi lain biarpun masa terus beredar.
Apabila menulis atau mencatat, elemen akal, hati dan fizikal umpama bergabung untuk menterjemahkan hasil penulisan tersebut. Maka, dengan itu mencatat adalah satu proses yang berkait dengan akal. Tafakkur dengan hati tenang dan waras akan menyalurkan suatu luahan yang baik dan sempurna. Hati yang tenang akan lebih mudah mencatat dan mengolah kemampuan untuk merasa, peka dan sensitif dengan persekitaran serta ilmu yang diperolehi untuk diluahkan dalam bentuk penulisan. Untuk itu, kemampuan seseorang untuk menulis amat bergantung dengan pemikiran.
Oleh sebab itu, dengan memahami serta mentadabbur ayat-ayat al-quran akan menghasilkan satu bentuk penulisan yang baik dan memberi makna. Ia akan mengajar kita untuk merenung, berfikir dan memperhalusi tanda-tanda kebesaran Allah dalam mencari erti kehidupan sebenar. Sesungguhnya setiap ciptaan Allah di atas muka bumi ini mempunyai ibrah tersendiri untuk dikutip oleh manusia yang tahu menghargainya. Begitu juga dengan memahami dan memikirkan tentang apa yang dilihat, didengar dan dirasa akan menghasilkan satu bentuk penulisan yang bermakna. Kadang-kadang, kita belajar daripada kehidupan orang lain, makhluk-makhluk ciptaan Allah dan meluahkan dalam bentuk penulisan yang boleh memberi pedoman kepada sesiapa sahaja serta akan menjadi peninggalan sampai bila-bila.
Dengan kesungguhan ulama terdahulu, pada hari ini kita masih dapat melihat ilmu-ilmu tersebut terus bertebaran dan disampaikan turun-temurun ke generasi seterusnya. Sungguh hebat ilmuwan dahulu. Disebabkan kerana keazaman, kemahiran dan keinginan untuk mencatat, akhirnya ia menjadi sumber inspirasi kepada manusia pada hari ini biarpun zaman dan musim terus beredar. Ia akan terus menjadi agen kebaikan disebabkan satu daya usaha iaitu mencatat atau menulis. Biarpun pada masa kini, medium penulisan sedikit berbeza seiring dengan teknologi yang maju, namun ia tidak menyekat perkembangannya. Malah apa yang penting, dengan pesatnya pembangunan teknologi maka lebih pantas lagi perkembangan ilmu melalui catatan atau penulisan.