Dalam institusi kekeluargaan, perceraian adalah jalan terakhir apabila perkahwinan tidak lagi dapat diselamatkan namun bagi wanita yang melalui proses perceraian di Mahkamah Syariah, kelewatan dalam prosiding sering menjadi isu besar kerana masalah ini bukan sahaja melibatkan tekanan emosi, tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap kehidupan sosial dan ekonomi mereka.
Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Selangor, Mumtazah binti Narowi dan rakan-rakan penyelidik bahawa kebanyakan kes perceraian tertangguh adalah disebabkan pihak yang terlibat dalam pertikaian tidak memberikan kerjasama semasa prosiding kes dijalankan seperti salah satu pihak tidak menghadirkan diri ke mahkamah.
Kelewatan prosiding menyebabkan wanita terus terperangkap dalam situasi yang penuh tekanan sekiranya konflik perkahwinan melibatkan penderaan emosi atau fizikal, masa yang panjang untuk menyelesaikan kes ini boleh memburukkan lagi trauma disebabkan keputusan yang belum muktamad memberi kesan sukar kepada wanita untuk memulakan hidup baharu atau menjalani proses pemulihan mental.
Proses ini merupakan proses penyesuaian diri untuk menggalas peranan baru dalam kehidupan mereka. Pertukaran status isteri kepada ibu tunggal mungkin membawa kepada trauma dan kebimbangan serta membawa kepada kemurungan yang berpanjangan sehingga menyebabkan individu mengalami kesunyian, mengalami gangguan fungsi harian seperti hilang selera makan, sukar tidur pada waktu malam dan hilang keyakinan diri untuk bersosialisasi dengan individu lain.
Kebanyakan wanita, terutamanya ibu tunggal, terjejas dari segi ekonomi akibat kelewatan ini kerana mereka mungkin bergantung kepada nafkah daripada bekas suami untuk menyara anak-anak namun, apabila prosiding tertangguh, tuntutan nafkah juga sering kali tergendala, menyebabkan kesukaran untuk menampung keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan anak-anak.
Wanita yang menghadapi isu perceraian sering berdepan dengan stigma sosial lebih-lebih lagi apabila tanpa keputusan rasmi dari mahkamah, status mereka menjadi tidak jelas dan perkara ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan mereka berasa terasing.
Pada masa yang sama wanita ini juga berdepan risiko difitnah atau dihukum oleh pandangan serong masyarakat tentang mereka bahawa mereka adalah penyebab keretakan rumah tangga yang memberi kesan kepada psikososial wanita menambah kesukaran wanita untuk bangkit semula dari kesan trauma dan rasa sedih.
Kelewatan prosiding perceraian juga menjejaskan peluang wanita untuk membina kehidupan baharu termasuk peluang untuk berkahwin semula atau mengembangkan kerjaya tanpa gangguan daripada konflik keluarga yang belum selesai kerana bagi wanita yang mempunyai anak, mereka turut bimbang tentang penjagaan anak sekiranya isu hak penjagaan tidak dapat diselesaikan.
Kelewatan prosiding perceraian di Mahkamah Syariah memerlukan tindakan segera bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih efisien agar bebanan yang ditimpa golongan wanita yang terkesan ini dapat diberi penyelesaian dan pembelaan selaras dengan hadis Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil termasuklah menambah bilangan hakim dan pegawai mahkamah, memandangkan kekurangan sumber manusia sering menjadi punca utama kelewatan kes. Di samping itu, integrasi teknologi seperti sistem e-filing dan perbicaraan dalam talian mampu mempercepatkan proses, sekaligus mengurangkan beban kerja mahkamah.
Langkah lain yang wajar dipertimbangkan ialah memperkasakan sesi meditasi dan kaunseling awal kepada kedua pasangan sama ada suami dan isteri untuk sepakat menyelesaikan isu seperti tuntutan nafkah dan penjagaan anak tanpa perlu melalui perbicaraan formal yang sudah tentu perlu menunggu giliran.
Selain itu, kesedaran awam juga perlu dipertingkatkan agar masyarakat lebih memahami isu perceraian dan memberikan sokongan kepada wanita yang terjejas, bukannya menyalahkan mereka kerana pada tahap tersebut bebanan yang sedang dihadapi oleh mereka sudah berat.
Oleh sebab itu sokongan komuniti yang kukuh secara bersama amat penting bagi membantu wanita bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih positif sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 2:
Maksudnya: “Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan.”
Kelewatan prosiding legal Syariah dalam isu perceraian membawa kesan mendalam kepada wanita, terutama dari segi emosi, ekonomi dan sosial.
Langkah proaktif dan komprehensif perlu diambil untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan tanpa menjejaskan kebajikan mereka. Perceraian adalah keputusan yang sukar, dan wanita berhak melalui proses yang adil dan pantas untuk memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.