Instrumen pewarisan pengurusan harta Islam dalam masyarakat kini kebanyakkan masih menggunakan konsep hibah, faraid, wasiat namun tanpa mereka sedari terdapat satu instrumen yang mempunyai potensi tinggi dalam menjaga kemaslahatan keluarga serta dapat membantu pertumbuhan ekonomi umat Islam iaitu konsep wakaf.
Apabila bercerita mengenai konsep wakaf, masyarakat lebih mengetahui konsep wakaf khairi yang bertujuan untuk kepentingan agama dan masyarakat seperti pembangunan masjid, sekolah, pusat asuhan anak-anak yatim namun amat jarang bagi wakaf zurri atau disebut sebagai wakaf ahli.
Wakaf zurri atau wakaf ahli bertujuan untuk memberi manfaat kepada wakif, ahli keluarganya, keturunannya serta masyarakat yang tertentu tanpa melihat kedudukan masyarakat tersebut. Ia ditujukan khas buat ahli keluarga dan masyarakat umat Islam sebagai penerima manfaat atau hasil yang diperolehi melalui wakaf zurri.
Keistimewaan Wakaf Zurri
Dalam kajian bertajuk Peranan Sosio-Ekonomi Waqf Ahli (Waqf Keluarga) Dalam Meningkatkan Jaminan Keluarga Dan Kemampanan Ekonomi Keluarga, keistimewaan wakaf zurri ini disebut bukan sahaja diperolehi oleh keturunan atau waris sahaja malah manfaat yang diperolehi turut membantu dari segi penjanaan perkembangan ekonomi negara. Selain daripada itu, beliau turut menekankan prinsip dan elemen wakaf zurri ini berlandaskan maqasid al-syariah iaitu melindungi dan menjaga harta keturunan.
Masyarakat kini dilihat masih kurang mengenali wakaf zurri ini kerana mereka masih belum mempunyai pengetahuan dan kesedaran terhadap potensi serta manfaat yang dapat diperolehi apabila menjadikan wakaf zurri sebagai pilihan dalam pengurusan pewarisan harta Islam mereka.
Justeru, pemilihan wakaf zurri sebagai alternatif dalam pengurusan harta pewarisan boleh dipraktikkan bagi golongan-golongan yang berharta atau golongan dermawan kerana manfaat yang diterima tidak hanya berhenti pada satu masa tertentu, malah ianya terus bersambung sehingga hujung hayat pewakaf seterusnya kepada pewaris dan keturunannya.
Dengan wakaf zurri ini juga, bagi mereka yang berharta secara tidak langsung boleh membantu menjana perkembangan ekonomi negara misalnya dapat memberi peluang pekerjaan bagi graduan yang mengganggur sekaligus dapat mengurangkan permasalahan pengangguran yang semakin meningkat di negara kita.
Cadangan kepada MAIN
Biarpun kepentingan dan kerelevanan wakaf zurri mempunyai potensi untuk diperkembangkan namun ianya bukan mudah untuk melaksanakan pengurusan asset yang mempunyai jumlah yang banyak.
Disebabkan itu, bagi melancarkan sistem pengurusan agar lebih sistematik dan efektif, perkara ini memerlukan pihak-pihak yang professional untuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Islam Negeri (MAIN) memandangkan MAIN merupakan pemegang amanah tunggal bagi aset wakaf.
MAIN disarankan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat yang mempunyai pengetahuan dan mahir dalam menguruskan harta aset dengan lebih sistematik.
Dalam hal ini, MAIN juga boleh melantik syarikat tersebut sebagai operator manakala status Mutawalli boleh dikekalkan kepada pengurusan MAIN sendiri.
Selain itu, MAIN juga boleh menarik minat masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wakaf zurri melalui kempen-kempen atau mempromosikan secara digital atau bersemuka tentang keistimewaan wakaf zurri yang mana masyarakat wajar tahu.
Wakaf Madani 2025
Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menekankan inisiatif Wakaf Madani 2025 di mana ia menggambarkan usaha untuk menggunakan instrumen wakaf untuk pembangunan masyarakat maju, mewujudkan ekosistem yang menyokong keseimbangan material dan spiritual serta menyantuni golongan yang memerlukan melalui kaedah yang terancang, lestari dan progresif.
Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, konsep Wakaf Madani dapat dilihat sebagai simbol sebuah masyarakat yang insklusif, bertoleransi, dan mementingkan kemajuan sejagat berlandaskan nilai-nilai Islam.
Justeru, konsep wakaf zurri ini amat bertetapan dengan konsep wakaf madani yang diketengahkah oleh kerajaan di mana ia bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat sejagat serta pembangunan ekonomi negara melalui mekanisma konsep wakaf zurri.
Mengimplementasikan wakaf zurri sebagai alternatif dalam pengurusan harta kewangan Islam bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli keluarga pewakaf tetapi juga menyokong agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Walau bagaimanapun, pengurusan yang cekap dan pemantauan berterusan diperlukan untuk memastikan keadilan dan ketelusan dalam pelaksanaannya menjadikan wakaf zurri sebagai instrumen penting dalam membangunkan masyarakat madani yang inklusif dan sejahtera.