Harapan untuk menyaksikan pelaksanaan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar yang lebih mantap dan berkesan semakin terserlah pada 2025 ini. Kerajaan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu untuk memastikan mutu persekitaran dan sumber asli negara tetap terpelihara dan Malaysia kekal komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Usaha yang bakal dilaksanakan itu membuktikan bahawa negara ini bergerak seiring dengan negara-negara lain dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, terutamanya berkaitan isu perubahan iklim. Malah usaha-usaha itu juga menunjukkan ketekunan Malaysia dalam melaksanakan amanah menjaga alam ini.
Inisiatif pertama yang sedang diusahakan ialah Rang Undang-undang Perubahan Iklim Kebangsaan yang diperkenalkan untuk memperkukuh usaha-usaha kelestarian alam sekitar dan menyokong matlamat Malaysia mencapai sifar karbon bersih menjelang 2050. Antara tumpuan utama rang undang-undang ini ialah peralihan kepada ekonomi rendah karbon, memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim, menubuhkan satu entiti kawal selia bebas untuk mengendalikan operasi selaras dengan matlamat perubahan iklim negara, memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara terutama berkaitan data, pelaporan, pembiayaan dan penguatkuasaan serta memperkenal mekanisme pematuhan dan mekanisme pengurangan pelepasan karbon. Selain itu, menurut Menteri Sumber Asli dan Sumber Alam YB Nik Nazmi Nik Ahmad, aspek mitigasi dan adaptasi merupakan antara tumpuan di bawah rang undang-undang ini. Bagi memantapkan rang undang-undang tersebut, pelbagai ruang konsultasi awam dengan penglibatan ahli masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta telah diadakan. Rang undang-undang ini dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Malaysia juga sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Udara Bersih Kebangsaan (NCAAP) 2025-2040 dan dijangka dilaksanakan tahun ini. NCAAP penting untuk memastikan kualiti udara ambien yang baik. Dokumen ini juga berfungsi sebagai panduan untuk memacu usaha secara bersepadu menangani masalah pencemaran udara. NCAAP menyenaraikan langkah-langkah komprehensif untuk pengurusan, pencegahan dan kawalan kualiti udara. Pengenalan pelan ini sejajar dengan tema COP29 iaitu “In Solidariti for a Green World” iaitu penekanan kepada kesepaduan dalam usaha menangani masalah perubahan iklim.
Pencemaran udara merupakan isu alam sekitar yang penting di Malaysia. Berdasarkan Laporan The Health and Economic Impacts of Ambient Air Quality in Malaysia (2022) terbitan Centre for Research on Energy and Clean Air (CREA) dan Greenpeace Malaysia, Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia 2020 (MAAQS) dan purata kepekatan pencemar semasa di Malaysia adalah lebih tinggi daripada yang dinyatakan dalam garis panduan kualiti udara yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sebagai contoh, di bawah MAAQS, nilai had yang ditetapkan Malaysia untuk kepekatan maksimum PM2.5 bagi udara ambien untuk tempoh masa sehari ialah 35μg/m³ sedangkan garis panduan WHO (2021) menetapkan had nilai tersebut sebanyak 15μg/m³. Manakala aliran (trend) kepekatan PM2.5 sehari bagi stesen pencerapan di Klang menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu berlaku peningkatan yang melebihi MAAQS (35μg/m³) dan nilai ini juga jelas lebih tinggi daripada yang ditetapkan WHO (15μg/m³).
Seterusnya, selepas diesel Euro Lima, petrol Euro 5 pula dijangka mula digunakan pada September 2025. Tujuan pengenalan ini ialah untuk menangani masalah peningkatan pelepasan karbon dan juga meningkatkan mutu bahan api. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memelihara kualiti udara. Langkah ini sememangnya dialu-alukan bagi menangani masalah pencemaran udara yang berpunca daripada aktiviti perindustrian, pengangkutan dan pengurusan sisa. Walau bagaimanapun, usaha ini diharapkan bersifat sementara kerana sewajarnya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan bergerak ke arah penggunaan kenderaan hijau seperti kenderaan elektrik mahupun kenderaan berasaskan hidrogen bagi menjamin kelestarian persekitaran.
Bermula 1 Januari 2025 lepas, Malaysia secara rasmi memulakan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN. Dengan pelantikan ini, Malaysia sewajarnya mengambil peluang untuk mengenengahkan isu-isu persekitaran melibatkan negara-negara di rantau ini termasuk menjadikan rantau ini sebagai rantau yang pro-aktif dalam menangani isu perubahan iklim. Hakikatnya, negara-negara di rantau ini berisiko tinggi terhadap pelbagai kesan perubahan iklim seperti peningkatan aras laut, perubahan cuaca melampau seperti banjir dan kemarau, kepupusan biodiversiti dan degradasi tanah akibat penebangan hutan serta pencemaran udara rentas sempadan. Gabungan negara di rantau ini sebahagiannya merupakan negara membangun yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk bersifat “tunggu dan lihat” dalam pelbagai isu persekitaran terutama isu perubahan iklim. Pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN ini seharusnya dijadikan landasan untuk mengetengahkan isu persekitaran bersama di rantau ini serta lebih aktif dalam isu perubahan iklim.
Langkah-langkah di atas membuktikan bahawa Malaysia serius dan tegas dalam usaha menangani isu perubahan iklim. Hal ini juga membuktikan bahawa Malaysia telah melakukan satu penyusunan langkah yang lebih terancang dan menyeluruh dalam berhadapan dengan isu tersebut. Begitu juga, ini menunjukkan komitmen dan pematuhan Malaysia dalam usaha pengurangan kesan perubahan iklim di peringkat antarabangsa. Usaha secara istiqamah ini seharusnya disokong dan diharapkan menjadi satu landasan baharu kepada pelbagai usaha konkrit lain dalam menangani perubahan iklim. Pengenalan langkah baharu ini diharapkan dapat membantu Malaysia mencapai pengurangan 45 peratus dalam intensiti tenaga menjelang 2030 dan seterusnya sasaran pelepasan karbon sifar bersih untuk 2050.
Istiqamah dalam usaha menangani isu perubahan iklim membuktikan kesejajaran Malaysia dalam memastikan pemeliharan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Persekitaran yang binasa boleh menyebabkan kehilangan nyawa, menjejaskan akal dan keturunan serta menyebabkan kehilangan harta. Jika empat elemen ini terjejas maka pemeliharaan agama juga tidak dapat dipertahankan kerana persekitaran yang tercemar menjejaskan kemampuan manusia untuk menjalani kehidupan dengan sempurna menurut Islam terutamanya dari segi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Alam sekitar yang rosak juga menjejaskan keimanan kerana tanggungjawab agama untuk menjaga bumi telah diabaikan. Oleh itu, diharapkan lebih banyak langkah berkesan bagi menangani isu perubahan iklim dalam dilaksanakan dan mendapat sokongan semua pihak.