Minggu lalu kita menyaksikan dua orang banduan dibebaskan setelah mendapat pengampunan dari DYMM Sultan Kedah. Betapa mereka bersyukur dengan pembebasan tersebut dan mereka kini kembali ke pangkuan keluarga.
Sehingga 4 September 2006, terdapat sejumlah 34,813 banduan di 28 buah penjara di seluruh negara. Setiap banduan ini pastinya meninggalkan keluarga masing-masing di luar penjara, baik keluarga ‘orientasi’ (keluarga di mana mereka dibesarkan), mahupun keluarga ‘prokreasi’ (keluarga yang mereka bina sendiri).
Bagi keluarga yang ditinggalkan ini, hidup perlu diteruskan. Bagi keluarga orientasi, tidak banyak masalah yang timbul kerana banduan tadi bukanlah pencari nafkah utama dalam keluarga tersebut. Namun, bagi keluarga prokreasi yang ditinggalkan, isteri terpaksa mengambil alih peranan ketua keluarga dan menjadi pencari nafkah utama bagi keluarga tersebut.
Zuriah Abu Bakar (1996), orang pertama yang mengkaji keluarga banduan di negara ini menyimpulkan bahawa, “…yang melakukan kesalahan ialah suami. Tetapi masyarakat menghukum anak dan isteri mereka. Malah, kadangkala anak dan isteri dihukum dengan hukuman yang lebih berat dari apa yang diperolehi oleh [ayah dan] suami mereka”.
Betapa tidak, jika si bapa yang dalam penjara ada tempat tinggal dan diberi makan empat kali sehari, isteri dan anak-anak di luar belum tentu memiliki tempat tinggal yang selesa dan menikmati makanan tiga kali sehari. Jika si bapa dihina oleh masyarakat, mereka tidak mendengarnya kerana mereka berada di sebalik tembok penjara. Tetapi, isteri dan anak-anak yang tidak bersalahlah yang terpaksa menerima segala kejian tersebut.
Benarlah pendapat Pendelton dan Monger (1977), hukuman penjara dijatuhkan ke atas seorang lelaki tetapi ia membawa penderitaan kepada isteri dan anak-anak mereka.
Sebagai ketua keluarga yang baru, isteri banduan perlu bekerja untuk menyara keluarga; perlu mencari penjaga anak sementara mereka keluar bekerja; terpaksa berhadapan dengan pandangan buruk dan kata nista masyarakat; kehilangan sokongan keluarga orientasi dan mertua yang membuang mereka; dan, secara peribadi, mereka kehilangan sokongan perasaan dari pasangan hidup yang kini telah dipenjarakan. Beban ini amat berat untuk dipikul oleh seorang wanita. Jika tempoh tahanan menguji kedua-dua pihak, suami dan isteri, sesungguhnya, pihak isteri lebih-lebih lagi teruji.
Untuk mencukupkan pendapatan yang ada, isteri-isteri ini terpaksa membuat penyesuaian yang dirasakan terbaik untuk keluarga mereka. Mereka mungkin berpindah untuk mencari tempat tinggal yang lebih murah; memberhentikan anak dari sekolah; meninggalkan anak tanpa jagaan ketika keluar bekerja; mencatu makanan keluarga kepada dua atau sekali sehari; atau bekerja sebagai GRO yang menambah kehinaan masyarakat terhadap mereka.
Sebagai ahli masyarakat Islam yang diumpamakan sebagai satu tubuh badan yang mana apabila satu anggota merasa sakit maka seluruh badan turut merasakan penderitaan itu, apa gerak balas kita terhadap nasib keluarga banduan ini?
Pernahkah kita mengenangkan nasib mereka sebelum ini? Atau kita merasakan mereka tidak perlu dibantu hanya kerana suami mereka telah melakukan sesuatu jenayah? Jika suami mereka yang bersalah, mengapa mereka pula turut terhukum? Dalam al-Qur’an disebut bahawa sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, akan menerima pahala dan sesiapa yang melakukan kejahatan, walau sebesar zarah, akan dihukum. Mengapa keluarga banduan dihukum atas kesalahan seorang ahlinya?
Sempena Ramadan yang mulia ini, betulkanlah sikap kita terhadap mereka. Kurangkan menghukum, banyakkan membantu. Anak-anak banduan juga mahu berbuka dengan juadah yang lazat-lazat dan mahukan pakaian baru dan cantik untuk berhari raya.
Masyarakat kita memang terkenal dengan sifat pemurah di bulan Ramadan, khususnya terhadap anak-anak yatim. Namun, untuk menjayakan prinsip pembelaan hak wanita dan golongan terpinggir yang ditekankan oleh pendekatan hadhari, anak yatim bukanlah satu-satunya sasaran yang perlu dibela. Keluarga banduan juga merupakan sasaran kita. Malangnya, mereka sering dipinggirkan.
Lihatlah di sekeliling kita, di tempat kerja mahupun di kawasan perumahan, carilah mereka dan hulurkanlah bantuan. Golongan yang kurang bernasib baik yang tidak bergerak dalam organisasi memang sukar untuk dikenalpasti. Namun, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meminggirkan mereka.