Hadis Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa terdapat tiga bentuk ganjaran diberikan Allah kepada hamba-hambaNya sepanjang bulan Ramadan, iaitu rahmah (rahmat), maghfirah (keampunan) dan `itq min al-nar (bebas daripada api neraka). Rahmah terdapat di dalam sepuluh hari pertama bulan Ramadan, maghfirah terdapat di dalam sepuluh hari keduanya dan `itq min al-nar terdapat di dalam sepuluh hari terakhirnya. Begitu mudah kita membilangnya, tetapi tidak semudah itu untuk kita mendapatkannya. Ia terikat dengan beberapa pra syarat yang ketat, tanpanya kita hanya akan mengalami lapar dan dahaga sahaja semasa kita perpuasa. Pra syarat tersebut adalah seperti berikut:
1. Memahami Erti Puasa; Rukun dan Syaratnya
Kesempurnaan puasa seseorang adalah terikat dengan sejauhmana dia memahami erti puasa itu sendiri, rukun dan syaratnya serta apa-apa perkara yang membatalkannya, mengetahui masanya serta kaifiatnya.
Puasa seperti yang kita tahu ialah menahan diri dari makan dan minum sejak terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Puasa Ramadan mempunyai dua rukun. Rukun pertama, berpuasa bermula dengan niat untuk berpuasa pada malamnya.
Rukun kedua ialah, selama berpuasa, seseorang dikehendaki tidak terlibat dengan apa-apa yang boleh membatalkan puasanya, seperti sengaja makan atau minum atau muntah, melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadan, memasukkan sesuatu keruang rungga badannya, seperti memasukkan sesuatu ke dalam duburnya, farajnya, telinganya, ke tekaknya, ke bahagian dalam lubang hidungnya dan ke bahagian dalam ruang matanya.
Orang yang berpuasa hendaklah seorang yang sudah baligh, sempurna akal dan tiada terdapat apa-apa perkara yang membatalkan puasa, seperti berada di dalam keadaan haid atau nifas. Seorang yang belum baligh sah puasanya, malah ia digalakkan sebagai satu latihan bagi dirinya, tetapi ia tidak dikira sebagai puasa yang memenuhi taklif/tanggungjawabnya kerana kanak-kanak belum lagi dibebankan dengan apa-apa tanggungjawab, begitu juga dengan orang gila selama dia di dalam keadaan gilanya.
Seorang yang sedang musafir diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, begitu dengan seorang yang sakit. Mereka dikehendaki mengkada’kan puasa apabila bermukim dan sihat tubuhbadan. Mereka yang tidak mampu berpuasa akibat sakit yang memudaratkan dengan sebab berpuasa, orang tua yang lemah, tiada kudrat untuk berpuasa, buruh kasar yang bekerja berat yang tidak ada masa untuk berpuasa, mereka dikehendaki membayar fidyah pada setiap hari mereka tidak berpuasa.
2. Melaksanakan Adab atau Etika Berpuasa
1. Apabila bersahur hendaklah dilewatkan. Hukum bersahur adalah sunat, tetapi makruh meninggalkannya.
2. Apabila masuk waktu berbuka, hendaklah disegerakan berbuka dengan kurma dan minuman, dan berdoalah ketika berbuka, kemudian menunaikan solat maghrib, kemudian barulah memakan makanan yang berat jika ada.
3. Seseorang yang berjunub digalakkan mandi junub sebelum terbit fajar. Tetapi keadaan junub tidaklah menyekat kesahan puasa seseorang.
4. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin, beramal kebajikan kepada sesama anggota masyarakat pada sepanjang Ramadan kerana pahalanya besar.
5. Banyakkan membaca al-Qur’an secara berseorangan dan berkelompok atau bertadarus.
6. Menunaikan solat tarawih, witir dan amalan-amalan qiyamullail yang lain.
7. Membasahkan lidah dengan zikir dan wirid sepanjang waktu sama ada siang atau malam Ramadan.
8. Memohon keampunan atas semua kesalahan sama ada berkaitan dengan hak manusia dan hak Allah sebanyak mungkin.
9. Berusaha meningkatkan kefahaman ilmu-ilmu agama dan mutu penghayatan ibadat.
10. Memelihara diri termasuklah hati dan nafsu dari melakukan apa-apa perkara larangan Allah dan Rasulnya, di antaranya seperti:
· memelihara hati dari perasaan hasad dengki, riak, takabbur serta tamak dan haluba.
· memelihara nafsu/syahwat dari melakukan perkara-perkara sumbang yang mungkin membawa kepada perzinaan, akibatnya akan merosakkan puasa.
· memelihara telinga dari tabiat suka mendengar rahsia orang dan perkara-perkara yang buruk.
· memelihara lidah dari bercakap bohong, menutur cacian dan kata nista, perkara-perkara keji, umpat mengumpat, fitnah memfitnah serta mengadu domba dan sebagainya.
· memelihara tangan dari mengambil harta benda secara batil, umpama mencuri, merompak, membunuh atau menyentuh atau melakukan sesuatu yang dilarang.
· memelihara kaki dari melangkah ke tempat-tempat maksiat, umpama ke sarang pelacuran, perjudian dan lain-lain yang mungkin membawa kepada melakukannya.
· memelihara kedudukan diri dari memakan rasuah, menyalah guna kuasa, menindas, memilih kasih, menyelewing dari kebenaran dan juga apa-apa bentuk kezaliman terhadap orang lain.
· mengawal mata dari mengintip atau melihat perkara-perkara haram dan pelbagai larangan lain.
· berusaha memperolehi rezeki yang hahal dengan berkerja di dalam pelbagai sektor perkerjaan yang sah dan dibenarkan syarak.
Dengan kesempurnaan perkara-perkara tersebut, kita mengharapkan akan mendapat tawaran Allah, iaitu rahmah, maghfirah dan itq min al-nar.