Dua tanggungjawab utama kerajaan ialah mempastikan kedaulatan negara dan menjaga keselamatan rakyat yang terangkum di bawah frasa ketenteraman awam. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, Kerajaan hendaklah memikirkan tentang ancaman, dan seterusnya bersedia menghadapi apa juga kemungkinan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menyediakan prasarana yang cukup untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman tersebut.
Dalam perkembagan semasa dunia dan negara, ancaman keganasan merupakan subjek fokus dan menangani keganasan menjadi agenda utama dunia.
Bagi negara kita, kita sebenarnya begitu aktif dalam membincang dan terlibat secara langsung mengenai langkah-langkah menangani keganasan. Secara akademik, masyarakat antarabangsa tidak boleh membuat takrifan yang boleh diterima secara universal mengenai maksud ‘keganasan’. Ini kerana ‘keganasan’ sangat berkait rapat dengan politik dan mungkin juga emosi penduduk setempat.
Ia mungkin berkaitan dengan fahaman agama, sebagaimana label Barat atau core issue dalam hal berkaitan keganasan pada kaca mata Barat ialah agama Islam. Dengan istilah-istilah, antara lain, pelampau agama, Islamaphobia dan Negara Islam, intipati ‘keganasan’ dalam faham Barat ialah ancaman ‘daripada’ agama, lebih fokus, agama Islam. Bagi kita, kita tidak boleh menjuruskan minda hanya kepada ‘keganasan’ dalam konteks sempit Barat itu, kita hendaklah melihat ancaman ‘kepada’ agama, juga sebagai satu bentuk ‘keganasan’.
Dalam langkah menangani keganasan, mutakhir, berita dalam negeri telah menegaskan hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang bagi menangani keganasan, terutamanya dalam aspek pencegahan kepada aktiviti keganasan. Rang Undang-Undang itu masih lagi rahsia, belum menjadi dokumen umum yang boleh dirujuk oleh khalayak umum.
Mungkin bagi negara kita, perkara-perkara ‘subversif’ (subversive) dan juga ‘keganasan terancang’ (organised violence) menjadi dua kata kunci. Dua istilah ini digunakan dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan keduanya tidak ditafsirkan oleh Perlembagaan.
Berkaitan, dalam undang-undang kita, ancaman keselamatan negara dan rakyat boleh dirangkum di bawah kategori kesalahan terhadap negara. Dalam pindaan Kanun Keseksaan pada 2012, dua kata kunci di atas merangkum perbuatan atau kegiatan keganasan dalam Bab VIA, terutamanya pada seksyen 130B.
Bagi pengalaman negara kita Malaysia, kita telah melalui ancaman subversif, ia adalah keganasan dalam aktiviti komunis. Sejak sebelum merdeka, setelah pengisytiharan darurat pada tahun 1948 sehinggalah akhir-akhir tahun 80an. Dalam aspek undang-undang, bermula 1960, kita mempunyai undang-undang pencegahan, iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kemudiannya Akta ini telah dimansuhkan ekoran daripada kontroversi dan tekanan hak asasi.
Seterusnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012. SOSMA, yang dikatakan sebagai menggantikan ISA, ialah sebuah Akta “bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait”.
Walaupun kita telah mempunyai undang-undang menangani keganasan, dalam menyediakan prasarana meyelesaikan masalah ancaman keganasan, undang-undang pencegahan adalah antara perkara utama. Serata dunia, banyak negara, atas alasan ‘ancaman keganasan’ telah menyediakan undang-undang pencegahan. Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini kerana ancaman kepada kedaulatan negara dan keselamatan rakyat bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
Oleh kerana ancaman keganasan ini boleh merebak hanya dengan hujung jari, undang-undang lebih mantap dan bersifat pencegahan amat diperlukan. Kita memerlukan undang-undang mencegah, bukan sahaja undang-undang yang menghukum dalam bentuk jenayah biasa.
Rangka kerja menerusi undang-undang pencegahan adalah lebih mantap. Ini kerana undang-undang memberi kuasa kepada pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan keselamatan rakyat serta ketenteraman awam dengan cara mencegah, bukan hanya dengan menunggu ancaman itu benar-benar berlaku. Sekiranya unsur-unsur keganasan atau apa juga perkara yang boleh memudaratkan negara dan juga keselamatan rakyat tidak dibasmikan dari peringkat awal, dan sebelum ia benar-benar berlaku, kita akan rugi dan ini amat merbahaya. Walaupun kita mempunyai undang-undang jenayah seperti dalam Bab VIA Kanun Keseksaan, ia tidak dapat mencegah unsur-unsur keganasan secara tuntas kerana ia adalah undang-undang jenayah yang perlu melibatkan perbuatan yang telah berlaku dan proses penyiasatannya penuh dengan ‘birokrsi’.