Peperangan merupakan salah satu daripada pelbagai wajah peradaban. Ianya berpunca daripada permusuhan, persengketaan, dan perselisihan. Menurut Ibn Khaldun dalam karya agungnya, Muqaddimah, akar bagi peperangan adalah kehendak diri yang ingin membalas dendam, sama ada sebagai tindak balas terhadap ketidakadilan atau sebagai caragaya pertahanan terhadap sesuatu kebejatan yang dilakukan terhadap seseorang atau sekumpulan orang.
Al-Hasan ibn ‘Abd Allah al-Safadi al-‘Abbasi, seorang tokoh persuratan, pakar pelbagai bidang (polymath) yang menguasai ilmu-ilmu nahu dan penerangan (al-bayan), dan wazir kepada Sultan al-Malik al-Nasir Muhammad ibn al-Qalawun, menulis sekitar 1317 Masihi bahawa peperangan adalah temparan daripada kejadian-kejadian zaman yang diumpamakan penyakit badan, berlawanan dengan aman dan keselamatan yang diumpamakan kesihatan. Justeru, kerajaan bertanggungjawab memelihara kesihatannya melalui urusan politik, menghindarkan penyakit melalui urusan peperangan, dan sentiasa sibuk dengan urusan menjaga keamanan.
Sungguhpun kumpulan militan Islamic State (IS) dan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau dikenali sebagai Daesh diberitakan baru-baru ini kekalahannya di Syria dan Iraq, ahli-ahli pakar anti-keganasan meramalkan masalah keganasan melampau yang dilakukan atas nama agama akan terus menjadi ancaman keselamatan negara untuk 20 tahun akan datang.
Hakikatnya, masalah golongan pelampau yang menggunakan kekerasan demi mencapai matlamat adalah kesan terputusnya Kaum Muslimin dari tradisi keilmuan dan kerangka pemikiran Islam. Pemutusan tradisi ini berpunca dari masalah kehilangan adab sebagaimana yang acapkali disebut oleh sarjana dan pemikir ulung Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Hal ini telah membarah tidak terhad kepada perpecahan umat Islam yang terzahir sebagai gejala-gejala mengangkat isu-isu cabang (furu‘iyyah) dalam pada masa yang sama mengabaikan isu pokok (usuliyyah), malahan jua masalah-masalah kepimpinan, tadbir urus, kekeliruan autoriti, dan terputusnya daripada tradisi ketenteraan Islam yang sah dan kaedah perang yang dibenarkan oleh syarak. Atas sebab inilah kumpulan-kumpulan militan berleluasa dengan nas-nas agama menarik para pengikut untuk tujuan keduniaan, iaitu penguasaan sumber dan wilayah, melalui penyembelihan orang Islam yang pastinya terpisah daripada apa yang dicitakan oleh agama.
Masalah ini mirip kekeliruan di zaman Imam al-Ghazali di mana perkelahian para pelampau agama akhirnya mengundang pertumpahan darah dan menyebabkan ketidakupayaan umat Islam dalam menghadapi ancaman musuh iaitu tentera Salib yang menakluki Bayt al-Muqaddis pada 1087. Hanya setelah usaha islah selama 100 tahun baharulah umat Islam direzekikan oleh Allah S.W.T. dengan kejayaan membebaskan kota suci melalui kepimpinan dan keperwiraan Salah al-Din al-Ayyubi.
Sehingga kini tiada apa yang dilakukan oleh Daesh membantu mengembangkan syiar Islam. Pembunuhan dan penindasan orang Islam masih berlaku di kawasan-kawasan konflik seperti di Palestin, Syria, dan Yaman sedang umat Islam sedunia yang berjumlah 1.7 bilion tiada berhasil mewujudkan kesatuan dan menggembleng kekuatan untuk menghentikannya. Kadar gejala Islamofobia yang menekan umat Islam telah meningkat termasuk juga kes-kes jenayah kebencian terutama di negara-negara bukan Islam yang memangsakan golongan minoriti Muslim.
Masalah pemikiran memerlukan penyelesaian di peringkat pemikiran jua. Strategi mengatasi golongan pelampau seharusnya memanfaatkan kerangka utuh Ahl al-Sunnah wa’l-Jama‘ah (ASWJ) yang merangkumi dan tidak menjuruskan kepada perpecahan.
Pihak luar lagi asing, terutama yang mungkin turut menyumbang kerosakan pemikiran dan mendanai keganasan, tidaklah boleh diharap menyelesaikan masalah dalaman Kaum Muslimin; sebaliknya khazanah ilmiah tamadun Islam mesti dimanfaatkan dengan berani untuk tujuan ini bersama seluruh kekuatan akal dan kebendaan yang dimiliki.
Al-Farq bayn al-Firaq, karya oleh ‘alim dalam mazhab al-Shafi‘i dan autoriti dalam usul al-din Abu Mansur ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 1037 M), memberikan penjelasan terbaik siapakah yang tergolong dalam ASWJ. Pembahagian beliau yang merangkumi 1) ahli-ahli kalam, 2) para fuqaha’, 3) ahli-ahli hadith, 4 ) ahli-ahli lughah, 5) ‘ulama tafsir al-Qur’an, 6) kaum sufi, 7) golongan yang berjuang di jalan menegakkan agama termasuklah askar-askar yang mempertahankan sempadan dan perbatasan negara orang Islam daripada ancaman musuh, dan akhir sekali 8) golongan awam yang mendiami negara bersyiarkan Islam sekaligus menolak kesempitan pemikiran takfiri yang menunjangi Daesh.
Imam Abu Hafs ‘Umar Najm al-Din al-Nasafi (wafat 1142 M) menerangkan dalam karyanya al-Aqa’id al-Nasfiyyah, iaitu matan kerangka pemikiran yang menjelaskan perkara-perkara penting iman dan Islam, bahawa antara kewajipan agama bagi pemimpin ialah memastikan suasana aman demi pelaksanaan tuntutan-tuntutan agama Islam. Ia tiada terpisah dari penyelenggaraan kota (madinah) di mana urusan agama (al-din) dijalankan dan perlengkapan angkatan bersenjata untuk mempertahankan negara daripada kedua-dua ancaman luar dan dalam termasuklah golongan yang menggunakan kekerasan dan keganasan secara haram.
Dengan membandingkan kedua-dua hujah di atas dengan rekod keganasan dan huru-hara yang dicetuskan oleh Daesh justeru kelihatan kecelaruan yang bertentangan prinsip ‘aqidah dan kepalsuan slogan jihad yang digunakan bagi menarik perhatian golongan muda, terutama yang berhasrat benar menjadi wira dan pahlawan tetapi keliru menilai antara intan dan kaca dalam memperjuangkan agama.
Sebaliknya, semangat keperwiraan (futuwwah) dan kepahlawanan (furusiyyah) dalam Islam bukanlah sewenang-wenangnya membunuh dan menumpahkan darah saudara seagama tetapi mempertahankan yang lemah dari penindasan yang kuat. Bait syair oleh Usamah ibn Munqidh, seorang kesatria terhandal yang berkhidmat di bawah Salah al-Din al-Ayyubi, dalam memoir beliau Kitab al-I‘tibar memberikan nafas baru yang menyegarkan makna bersempena sambutan hari ini:
Si pengecut di kalangan lelaki pantas mengundur dari ibu yang dianggap bahaya,
sedangkan si pemberani melindungi orang biarpun bukan tanggungannya.
Selamat menyambut Hari Pahlawan 2017.