Penyalahgunaan dadah di negara kita merupakan satu fenomena yang membimbangkan semua pihak. Setiap kali statistik dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ia menunjukkan arus yang sama iaitu peningkatan kes yang direkod.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada bulan Jun 2017 menyatakan jumlah penangkapan penagih dadah pada tahun 2016 bertambah kepada 30,844 orang berbanding 26,000 orang pada tahun 2015. Golongan remaja termasuk pelajar sekolah tidak terlepas daripada gejala salah guna dadah.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terdapat 1,252 orang pelajar yang majoritinya di tingkatan 4 dan 5 telah mengambil dadah sepanjang tempoh empat bulan pertama pada tahun 2017. Golongan pelajar yang terjebak ini banyak mengambil dadah jenis Methamphetamine atau juga dikenali sebagai Syabu. Dadah sintetik ini mendorong penggunanya bersifat agresif berbanding dadah tradisional seperti heroin yang lebih membawa kepada khayal. Oleh itu tidak hairan dewasa ini terdapat kes pelajar bertindak di luar jangkaan termasuk memukul ahli keluarga kerana pengaruh Syabu.
Terdapat pelbagai punca pelajar terjebak dalam gejala salah ini. Ia termasuk mereka mempunyai sikap yang tidak sihat. Sikap mereka terbentuk daripada gaya hidup masyarakat sekeliling. Apabila cara berfikir dan budaya negatif lebih menjadi ikutan, akhirnya ia akan menjeremuskan mereka kepada gejala ini. Faktor lain ialah pengaruh kawan-kawan. Pelajar biasanya akan membentuk kelompok mereka berdasarkan sesuatu minat. Pelajar yang suka merokok akan bergaul, menghabiskan masa berlepak sesama mereka. Rakan turut dijadikan tempat untuk meluahkan masalah diri. Akhirnya, masing-masing akan merangsang yang lain untuk mencuba sesuatu yang baharu termasuk salah guna Syabu.
Keluarga bermasalah turut menjadi pendorong kepada salah guna dadah. Ini termasuk ibubapa yang bercerai, sibuk dengan kerja sehingga tiada masa mendengar masalah dan keperluan anak-anak. Secara amnya, penyakit masyarakat termasuk terlalu bersifat individualistik menyebabkan mereka tidak lagi mengendahkan pembabitan pelajar dalam budaya negatif di khalayak.
Kesimpulan yang dapat diambil ialah faktor pendorong kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar banyak dipengaruhi oleh masyarakat.
Oleh itu masyarakat perlu bertindak dan berubah bermula daripada pemimpin, ibubapa, guru, persatuan ibubapa, persatuan perumahan serta pertubuhan sosial untuk bertindak lebih proaktif mencari penyelesaian kepada gejala ini. Masyarakat perlu prihatin menjaga kebajikan pelajar dalam kapasiti masing-masing.
Masyarakat tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawasi pelajar kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata kerana skop tugasan mereka lebih luas. Setiap komponen masyarakat perlu prihatin menganjurkan aktiviti samada bersifat kerohanian dan sebaliknya untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada pelajar. Ibubapa perlu meluangkan lebih masa berkualiti dengan anak-anak. Ini sesuai dengan saranan al-Quran yang bermaksud, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang munkar dan beriman kepada Allah,” (Ali Imran, 3: 110).