Pelbagai teori kepimpinan dikemukakan dalam dunia moden hari ini, namun kepimpinan kendiri atau dalam bahasa Inggeris disebut self-leadership sebenarnya adalah asas kepimpinan yang paling berkesan dan efektif yang sepatutnya dijadikan arus perdana dalam masyarakat kita. Kepimpinan kendiri, atau dalam bahasa Inggeris dikenal sebagai “self-leadership“, merujuk kepada kemampuan seseorang untuk secara efektif mengurus dan memimpin diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada peraturan, etika, arahan atau pengawasan orang lain. Ini termasuklah memiliki disiplin yang tinggi, berintegriti, berfikiran positif dan memiliki emosi terkawal. Dalam tradisi Barat, kepimpinan diri itu telah ditegaskan oleh para filasuf Barat seawal era kegemilangan tamadun Yunani lagi apabila salah seorang ahli filasuf yang terkenal Socrates (m.399 SM) dikatakan pernah mengungkapkan “no man can lead others, who cannot lead himself” yang bermaksud “tiada orang yang mampu memimpin orang lain, jika dia tidak mampu memimpin dirinya sendiri.”
Dalam Islam, Allah SWT itu “al-Mudabbir” iaitu Maha Pentadbir, Maha Pencipta, dan Maha Pengurus alam ini dan sekalian alam ciptaan-Nya atau dipanggil juga “makrokosmos”. Manakala, manusia pula merupakan pentadbir dirinya sendiri secara mikrokosmosnya di mana aspek alam semesta yang luas “makro” ini direpresentasikan dalam dirinya sendiri. Dirinya itu berupa “alam kecil” atau “alam mikro” misalan dan bayangan alam semesta yang luas itu. Jika alam ini secara makronya mempunyai cakrawala, planet-planet, bulan bintang yang beredar di atas orbitnya sendiri yang secara teratur, maka manusia pula mengurus diri “alam mikronya” yang terdiri daripada anggota-angota tubuh badannya yang zahir; dan juga ruh, hati, akal, dan nafsunnya secara batin. Manusia perlu memiliki kebijaksanaan atau hikmah mengurus dirinya sendiri – dalam hal-hal yang dia diberi kekuasaan menguruskannya – seperti mana diperintahkan Allah SWT, dengan meneladani Allah SWT yang menguruskan segala alam cakerawala, bulan, bintang, matahari dan sekalian planet-planet dengan teratur, jitu dan teliti tanpa berlaku sebarang perlanggaran. Justeru it, sekiranya seseorang itu mampu memimpin dirinya dengan baik, barulah beliau memenuhi pra-syarat kepimpinan yang baik dan berkemampuan untuk memimpin orang lain dengan baik, walaupun kejayaan memimpin dirinya itu hanyalah pra-syarat sahaja dan bukanlah menjamin beliau akan semestinya berjaya memimpin orang lain kerana masih banyak faktor-faktor lain yang perlu diambil kira untuk berjaya dalam kepimpinan.
Ciri-ciri pekerja dan pemimpin yang baik itu mestilah mengandungi dua komponen utama seperti mana yang disebutkan dalam al-Qur’an, Surah al-Qasas ayat 26:
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi pekerja, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat (al-Qawiyy) lagi amanah (al-Amin).”
Dalam ayat ini menyebut dua ciri iaitu “al-Qawiyy” dan “al-Amin”. “Al-Amin” itu walaupun secara terjemahannya bermaksud “amanah” tetapi dari segi teori kepimpinan Islam, ia biasanya merujuk kepada kualiti peribadi pekerja itu, iaitu sifat dalamannya, soft skills, integriti, kredibiliti dan seumpamanya. Dalam konteks inilah yang kita katakan merujuk aspek kemampuan mengurus diri sendiri atau tadbir al-nafs yang baik. Namun, sekadar kemampuan mengurus diri baik semata-mata masih belum menjamin beliau akan menjadi seorang pekerja atau pemimpin yang cemerlang sekiranya tidak memiliki komponen kedua iaitu “al-Qawiyy” yang literalnya diterjemahkan sebagai “kekuatan”. Kalau dahulukala kemungkinan kekuatan itu merujuk kepada kekuatan fizikal, tetapi kini “kekuatan” itu juga merangkumi kekuatan mental, emosi serta segala ketrampilan (hard skills), yang diperlukan sesuai dengan kerja atau kepimpinan yang ingin dilakukan atau digalas. Istilah moden yang sesuai digunakan untuk ini ialah mungkin kompeten. Walaubagaimanapun, tulisan ini sekadar menumpukan kepada pengurusan kendiri atau self -leadership dan bukan kompeten.
Dalam tradisi Islam, bentuk kepimpinan pengurusan kendiri ini dipanggil tadbir al-nafs dan ia sedikit berbeza daripada self-leadership yang dicanangkan oleh pakar-pakar kepimpinan sekular Barat. Bagi Barat, tokoh-tokok kepimpinan seperti Andrew Bryant, Charles Manz dan seumpama mereka, melihat kepimpinan kendiri itu pertamanya, tertumpu dan terhad kepada pengawalan emosi dan psikologi; kedua, pengabaian terhadap aspek roh dan ketiga, wujudnya pemisahan antara kepimpinan diri (private life) yang dikatakan bersifat peribadi dengan prestasi individu (professional life) dalam organisasi atau masyarakat. Sedangkan, tadbir al-nafs dalam tradisi Islam itu lebih komprehensif dan menyeluruh. Tadbir al-nafs merujuk kepada “pengurusan diri sendiri” atau lebih tepat lagi dikatakan sebagai “pengurusan jiwa” yang bersepadu melibatkan rohani, emosi dan psikologi. Kedua, ia turut merangkumi kehidupan yang menyeluruh dan berterusan tanpa terpisah-pisah samada aspek pengurusan diri (tadbir al-nafs), aspek kepemimpinan rumahtangga (tadbir al-manzil) dan juga kepemimpinan negara (tadbir al-mulk/ siyasah). Islam tidak mengajarkan umatnya sekadar menjadi pemimpin negara yang baik, namun memiliki peribadi yang buruk dan tidak bermoral seperti mana yang berlaku pemisahan dalam masyarakat sekular Barat di mana kehidupan peribadi seorang pemimpin itu dipisahkan daripada kualiti dan professionalisma beliau dalam memimpin. Oleh kerana itu kita kerap menemui ada dalam kalangan pemimpin Barat dimaklumi “kaki perempuan” misalnya, namun disanjung tinggi oleh masyarakat mereka disebabkan kepimpinannya dalam masyarakat yang baik.
Banyak hadis yang menyuruh kita mengawal dan mengurus diri kita sendiri dengan baik. Nabi SAW misalnya menyebut: “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang boleh mengalahkan orang lain, tetapi orang yang boleh mengawal dirinya ketika marah.” [Sahih al-Bukhari, 6114]. Dalam hadis lain pula Baginda SAW menyebut: “Orang yang cerdik ialah orang yang mengawal dirinya (daripada melakukan kejahatan) dan melakukan amalan untuk kehidupan selepas matinya, manakala orang yang bodoh pula ialah yang mengikuti hawa nafsunya namun mengharapkan (pertolongan) Allah” [Imam Nawawi, Riyaḍ al-Ṣāliḥīn, 66]. Kedua-dua hadis ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan kepimpinan kendiri amat penting dalam Islam. Sewajarnya, kepimpinan kendiri ini menjadi arus perdana dalam masyarakat kita melebihi daripada tumpuan yang diberikan terhadap penguasaan hard skills dan ketrampilan diri. Hanya pemimpin yang mampu menguasai dirinya sendiri daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak bermoral, tiada integriti dan menyalahi undang-undang dan peraturan, barulah mampu untuk mengawal orang bawahannya.