Di dalam surah al-Maidah (5), ayat 2, disebutkan bahawa “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolongan-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” Ayat ini dengan jelas menunjukkan keperluan untuk umat Islam bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan menghindarkan diri untuk bekerjasama dalam melakukan kejahatan.
Kerjasama ke arah kebaikan seharusnya difahami sebagai asas dalam meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini (5 Jun 2014). Tema sambutan tahun ini ialah “Raise the voice, not the sea level.” Sambutan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran terhadap permasalahan alam sekitar kini tetapi turut menuntut kita bekerjasama dalam melakukan sesuatu tindakan untuk memastikan alam serta sumbernya terpelihara.
Dalam masa yang sama, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia ini juga memberi peluang kepada masyarakat awam untuk melakukan sesuatu yang positif terhadap alam sekitar. Jadi, inilah masanya kita mengambil peluang untuk merancang serta melakukan sesuatu yang baik berkaitan alam ini. Antara contoh kegiatan yang mungkin boleh dilakukan ialah menanam pokok di kawasan rumah atau kejiranan kita, membawa ahli keluarga menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi, membersihkan kawasan pantai bersama rakan-rakan sekolah atau paling kurang menyatakan pendirian serta sikap anda terhadap alam ini di laman-laman sosial kegemaran masing-masing.
Ahli masyarakat merupakan sasaran utama dalam kempen-kempen penjagaan alam sekitar di seluruh dunia. Setiap lapisan masyarakat, bermula daripada peringkat paling rendah iaitu anak-anak kecil di sekolah, sehinggalah kepada ketua-ketua masyarakat, perlu digerakkan bukan sahaja untuk memahami permasalahan alam sekitar tetapi turut terlibat dalam usaha-usaha pemuliharaan. Malah, pengetahuan masyarakat setempat terhadap permasalahan alam sekitar yang mereka hadapi turut berguna dalam usaha pemuliharaan tersebut. Oleh itu, mana-mana usaha pemuliharaan alam sekitar yang mengenepikan penglibatan komuniti setempat pasti akan menemui kegagalan.
Di Malaysia sendiri, usaha mewujudkan satu kelompok agen perubahan alam sekitar yang dikenali sebagai Rakan Alam Sekitar adalah amat baik. Ini membuktikan bahawa kerjasama pihak berkuasa dan masyarakat dalam menangani permasalahan alam sekitar adalah amat penting. Rakan Alam Sekitar bukan sahaja menyumbang tenaga tetapi turut menyumbangkan idea serta ilmu pengetahuan untuk sama-sama menjaga alam sekitar. Oleh itu, lebih ramai Rakan Alam Sekitar perlu digerakkan dan bagi ahli masyarakat sewajarnya tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada Rakan Alam Sekitar ini.
Kerjasama semua ahli masyarakat diharapkan membuahkan hasil yang baik dalam memastikan alam sekitar terpelihara. Walaupun kerjasama ini semakin baik, namun dalam konteks Malaysia, penglibatan ahli masyarakat dalam pemuliharaan alam sekitar sebenarnya belum boleh dibanggakan. Walaupun sudah hampir 30 tahun usaha-usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar dijalankan, namun kesedaran, apatah lagi penglibatan ahli masyarakat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar masih terlalu rendah.
Dalam banyak keadaan kita terlalu bergantung kepada pihak berkuasa atau pertubuhan-pertubuhan tertentu untuk melaksanakan program-program penjagaan alam sekitar. Apakah, dalam keadaan ini, ahli masyarakat tiada daya untuk melaksanakan usaha pemuliharaan alam ini?
Satu contoh paling mudah bagi membuktikan ketiadadayaan ini adalah dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling kita. Biasakah anda melihat tong kitar semula di pusat-pusat membeli belah? Pasti ramai yang sudah biasa melihatnya. Namun, biasakah anda melihat apa yang ada di dalam tong tersebut? Mungkin ramai yang tidak biasa melakukan perkara sebegini.
Jika pembaca mengambil sedikit masa untuk “menjenguk” apa yang ada di dalam tong kitar semula tersebut, pasti pembaca akan berasa kecewa. Ini kerana, semua jenis sampah ada di dalam tong tersebut. Sampah yang boleh dikitar semula mahupun yang tidak boleh dikitar semua bercampur aduk tanpa ada yang peduli. Jadi, apakah sikap kita terhadap alam sekitar ini? Tidak peduli dan tidak kisah mungkin merupakan ungkapan terbaik untuk menunjukkan sikap kita terhadap alam sekitar. Dalam masa yang sama, kecetekan ilmu antara sebab lain hal ini terjadi.
Oleh itu, kerjasama dalam hal kebaikan dengan merujuk khas kepada pemuliharaan alam sekitar perlu digerakkan dengan lebih baik dan tersusun. Bukan sahaja meningkatkan penglibatan ahli masyarakat dalam pelbagai program tetapi harus juga melibatkan penyebaran ilmu dan maklumat berkaitan dengannya. Dalam hal ini, ahli masyarakat juga boleh menjadi agen penyebar maklumat berkaitan alam sekitar. Ramai daripada kita yang begitu taksub dengan pelbagai laman sosial masa kini, maka apakah salahnya menggunakan “kegilaan” tersebut untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan alam sekitar? Jika tiada akaun dalam mana-mana laman sosial sekaipun, maka gunakanlah apa-apa upaya yang kita ada untuk menyebarkan maklumat sedemikian.
Jika kita bersatu dalam hal ini, maka sesungguhnya kita benar-benar bekerjasama dalam hal-hal kebaikan. Malah, jika kita istiqamah dalam usaha ini, pasti akan ada hasil yang membanggakan. Hasil itu bukan sahaja dalam bentuk fizikal mahupun peningkatan moral tetapi turut melibatkan ganjaran tertentu daripada Allah SWT. Sesungguhnya, sesuatu kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dengan izin-Nya. Jadi, apakah lagi yang kita tunggu?