Dalam tradisi keilmuan Islam, istilah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah (ASWJ) dirumuskan sebagai golongan yang berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah serta mentafsir kedua-duanya berdasarkan kesepakatan jumhur ulama’ muktabar dari setiap zaman, yang merupakan autoriti keilmuan yang tidak mungkin secara kolektif menyimpang atau mencipta kebatilan.
Dalam erti kata lain, ASWJ merujuk kepada kefahaman akidah Islam yang berakar sejak zaman Rasulullah SAW dan diwarisi secara mutawatir. ASWJ turut merangkumi dua golongan utama lain, iaitu Ahli Hadith dan Ahli Tasawuf, dimana kebanyakannya berpegang kepada salah satu daripada dua mazhab akidah yang utama tersebut. Selain itu, takrif ASWJ diperluaskan untuk mencakupi disiplin-disiplin ilmu Islam yang disepakati sebagai akar utama seperti nahu dan balaghah dalam bidang bahasa Arab.
Justeru, ASWJ bukan sekadar sebuah terminologi, tetapi sebuah kerangka yang melambangkan kesinambungan metodologi, keimanan, serta kesatuan tradisi intelektual dan keilmuan Islam yang disepakati secara turun-temurun oleh para ulama’ dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Dalam era teknologi yang dipenuhi dengan lambakan maklumat di hujung jari, masyarakat Muslim di Malaysia semakin sedar akan kepentingan berpegang teguh kepada akidah yang benar. Namun begitu, di sebalik peningkatan kesedaran ini, masih terdapat kekeliruan dalam memahami dan mendefinisikan apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan ASWJ.
Sebahagian pihak telah mengambil kesempatan daripada capaian meluas internet untuk menyampaikan kritikan tanpa mengambil kira tahap kefahaman dan penerimaan masyarakat. Pendekatan ini telah mencetuskan polemik dan menimbulkan tantangan yang tidak berasas. Hal ini natijahnya menyukarkan usaha untuk memupuk kesatuan umat Islam menurut neraca tradisi keilmuan Islam, disesuaikan dengan wāqi’ (konteks) setempat di Malaysia dan selaras dengan asas perundangannya.
Instrumen Ijtihad sebagai Solusi
Pentadbiran negara dalam tradisi keilmuan dan intelektual Islam dibincangkan di bawah payung siyasah shar’iyyah. Sheikh Abdul Wahab Khallaf mendefinisikan siyasah shar’iyyah sebagai menjalankan pentadbiran sebuah negara mengikut landasan syariat dan prinsip-prinsip umumnya yang menjamin kepentingan atau kebaikan serta mengelak daripada keburukan.
Manakala Abdul Rahman Taj pula menyatakan bahawa hukum siyasah shar’iyyah ini boleh dibentuk walaupun tiada dalil terperinci daripada nas-nas syarak seperti al-Quran dan al-Sunnah. Siyasah shar’iyyah diamalkan bagi memastikan pemerintahan negara mengikut landasan syarak sama ada berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah mahupun ijtihad yang menjamin kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Konsep ini boleh diaplikasikan dalam hal-hal yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial, kewangan dan pentadbiran.
Menurut Abdul Karim Zaydan, siyasah shar’iyyah terbina atas asas untuk memelihara maslahah rakyat. Kaedah fiqah yang terpakai dalam konteks ini ialah “taṣarruf al-imām manūṭ bi al-maṣlaḥah” yang bermaksud tindakan pemerintah hendaklah melihat kepada maslahah rakyat. Kaedah ini dapat ditafsirkan ke dalam tindakan menginstitusikan pegangan agama dalam perundangan dan pentadbiran sesebuah negeri.
Amalan menginstitusikan kefahaman akidah juga bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah peradaban Islam. Sebagai contoh, pada era pemerintahan Bani Umaiyah, Imam Malik bin Anas pernah mengutuskan surat kepada Imam al-Layth bin Sa‘ad untuk menegur tindakan beliau yang mengeluarkan fatwa yang berbeza daripada mazhab setempat, iaitu Mazhab Maliki. Teguran ini bukan bermaksud untuk menyekat kebebasan ijtihad atau memonopoli kefahaman agama, tetapi lebih kepada usaha menjaga kesatuan umat Islam di kawasan tersebut, selari dengan prinsip al-Jama‘ah.
Dari segi konteks perundangan Malaysia, pengkanunan pegangan mazhab telah lama diamalkan seperti dalam enakmen dan ordinan negeri. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri memperuntukkan agar merujuk terlebih dahulu kepada qaul mu’tamad (pegangan utama) Mazhab Shafi’i, diikuti oleh Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali seperti turutan berikut bersesuaian dengan kepentingan awam dalam mewartakan fatwa.
Pengamalan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 dan Enakmen Fatwa Sabah 2004 jelas menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan enakmen tersebut selama hampir dua dekad dalam mengekalkan maslahah awam. Keistimewaan penggubalan suatu undang-undang ini dapat mengikat setiap warga yang bernaung di bawah negeri tersebut di bawah satu kesepakatan.
RUU Mufti Wilayah sebuah usaha ijtihad
Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan yang akan dibentangkan di Parlimen Malaysia merupakan langkah penting dalam meneruskan usaha memupuk kesatuan agama yang telah lama dilaksanakan di peringkat kerajaan-kerajaan negeri. Malah, kedudukan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran negara menjadikan inisiatif ini lebih kritikal dan signifikan dalam memperkukuhkan penyatuan umat Islam di Malaysia.
Selain menetapkan pegangan ASWJ sebagai kriteria utama bagi pelantikan mufti, RUU ini turut bertujuan merangka sebuah dokumen khusus yang memperkukuhkan kedudukan Jabatan Mufti. Dokumen ini menyediakan kerangka undang-undang yang jelas bagi memastikan Jabatan Mufti dapat beroperasi secara lebih tersusun dan efisien dalam melaksanakan peranannya.
Masyarakat perlulah menilai RUU ini secara objektif dan menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada manfaat terhadap pengurusan serta pentadbiran Jabatan Mufti. Usaha ini wajar disokong selaras dengan matlamat memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan serta kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Adalah lebih baik kita mengutamakan perpaduan dan kemajuan pentadbiran agama daripada terjebak dalam perdebatan yang tidak membawa manfaat, malah mencetuskan polemik.
Di samping itu, penting untuk difahami bahawa penggubalan sesuatu undang-undang sentiasa dirangka berdasarkan wāqi’ atau realiti semasa. Dalam konteks RUU ini, setiap peruntukan dirancang dengan teliti untuk memastikan pelaksanaannya kekal relevan dan berkesan.
Intihanya, setiap perbincangan dan perdebatan yang timbul perlu disertai dengan justifikasi yang kukuh bagi menjelaskan setiap tindakan yang diambil. Dalam mengemukakan pandangan, setiap individu wajar mengamalkan sikap penuh adab dan saling hormat-menghormati di samping bersikap terbuka terhadap pandangan pihak lain.
Sikap ini bukan sahaja mencerminkan kematangan intelektual tetapi juga menjadi asas penting dalam membina keharmonian dan perpaduan umat Islam. Kesatuan akidah yang berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah harus terus dipelihara sebagai tunjang kepada kestabilan dan keharmonian agama di negara kita.
Penulis bersama :
Cik Nur Shakirah binti Mohamed Yasin &
Cik Nur Ain Shahirin binti Abdul Aziz &
Pembantu Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)