Baru-baru ini pemimpin dunia digempar-gempurkan dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ingin menakluki Gaza sepenuhnya sebagai penyelesaian kepada konflik berpanjangan antara Israel dan Palestin.
Bukan itu sahaja, Donald Trump turut mengarahkan pemindahan penduduk Palestin ke negara-negara jiran dengan visi menjadikan kawasan Semenanjung Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah” secara langsung meletakkan Gaza di ambang krisis sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
Namun, cadangan ini mendapat kecaman hebat dari peringkat global kerana dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berpotensi membawa kepada pembersihan etnik, dan mengabaikan hak rakyat Palestin untuk terus tinggal di tanah air mereka malah bakal menjejaskan kestabilan Asia Barat.
Tambahan pula, penaklukan Gaza oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat akan mencetuskan ketegangan di peringkat antarabangsa, terutama dalam kalangan negara-negara Islam dan dunia Arab.
Implikasi
Dari segi konteks politik, cadangan Trump untuk menakluki Gaza sepenuhnya mencerminkan pendekatan keras dan kejam di mana ia menekankan penggunaan kuasa ketenteraan bagi menyelesaikan konflik antara Israel dan Palestin.
Selain itu, strategi ini juga berpotensi memperkuatkan kedudukan Israel di Gaza yang secara tradisional mendapat sokongan penuh dari Amerika Syarikat namun berkemungkinan berdepan dengan kecaman hebat daripada sekutu-sekutu Muslim serta masyarakat antarabangsa yang mendukung penyelesaian dua negara dilaksanakan secara damai.
Jika dilihat dari sudut geopolitik pula, idea tidak masuk akal Trump ini boleh mengundang tindak balas daripada negara-negara seperti Iran, Turki, dan Qatar yang menyokong penuh perjuangan Palestin.
Malah, tindakan sebegini boleh menimbulkan gelombang ketidakstabilan baharu di rantau Timur Tengah, sekaligus meningkatkan kebarangkalian serangan balas daripada kumpulan bersenjata serta memburukkan lagi krisis keselamatan global.
Penderitaan Rakyat Palestin dan Kesan Kemanusiaan
Petikan kata-kata Trump ‘Pergi ke negara lain yang mempunyai jiwa kemanusiaan’ jelas menunjukkan sikap agresif Presiden Amerika itu yang bakal membawa penderitaan yang lebih dahsyat kepada rakyat Palestin di Gaza.
Sejak sekian lama penduduk Gaza hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat sekatan ekonomi, kemusnahan infrastruktur dan serangan ketenteraan yang berulang kali walaupun arahan genjatan senjata telah dikeluarkan pada pertengahan bulan Januari baru-baru ini.
Justeru, penaklukan Gaza secara keseluruhan bermakna lebih ramai rakyat Palestin yang akan kehilangan insan tersayang, tempat tinggal, sumber pendapatan, dan akses kepada keperluan asas seperti makanan, air bersih serta perkhidmatan kesihatan.
Menurut laporan badan-badan kemanusiaan antarabangsa, lebih daripada dua juta penduduk Gaza sudah pun hidup dalam keadaan yang amat sukar akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak 2007.
Dalam peperangan Israel dan Palestin, kanak-kanak dan wanita adalah golongan yang paling terkesan malah rata-rata kanak-kanak di Gaza mengalami trauma berpanjangan serta menyebabkan generasi muda Palestin akan terus membesar dalam suasana ketakutan dan kemiskinan akibat peperangan yang berulang kali melanda wilayah mereka.
Selain daripada penaklukan Gaza melalui peperangan, Trump turut mengeluarkan dasar baru dengan menandatangani satu lagi perintah eksekutif yang mengarahkan Amerika Syarikat untuk menarik diri daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi utama PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA). Keputusan ini menimbulkan kebimbangan di peringkat global di mana bantuan kepada rakyat Palestin boleh berlakunya stagnasi.
Sokongan Malaysia Terhadap Palestin
Walau bagaimana pun, sokongan Malaysia terhadap penderitaan Palestin termasuklah menerusi badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis hak asasi manusia, tidak pernah berubah dan kekal konsisten bersuara dalam menentang dasar Trump terhadap Palestin.
Media sosial juga menjadi platform utama rakyat Malaysia dalam menyuarakan sokongan mereka terhadap Palestin dan mengecam dasar Trump yang dianggap berat sebelah serta tidak adil.
Malaysia tidak pernah berganjak dalam sokongannya kepada Palestin. Malah sejak konflik terbaru di Gaza, Malaysia telah menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, perubatan, dan keperluan asas bagi membantu rakyat Palestin melalui pelbagai organisasi kemanusiaan antarabangsa dan tempatan.