Wakaf merupakan salah satu instrumen ekonomi Islam yang telah lama digunakan untuk membantu menangani masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam konteks ekonomi semasa yang dinamik dan mencabar, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan dan memberi nafas baharu kepada konsep wakaf agar ia dapat berfungsi dengan lebih berkesan. Salah satu pendekatan yang boleh diambil ialah melalui konsep “wakaf muaqqat” atau wakaf bertempoh/sementara. Malah, perkara ini telah disebut oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 pada Mac tahun lepas. Dalam ucapannya, YB Menteri telah menggariskan empat (4) tindakan segera yang perlu diambil oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan salah satunya ialah meneroka konsep wakaf sementara – terutama dari segi potensinya sebagai sumber dana alternatif bagi pembangunan wakaf di seluruh negara.
Dalam konteks yang diterima umum di negara ini dan apa yang dipersetujui oleh majoriti ulama ialah sesuatu wakaf itu adalah adalah kekal, tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dipindah milik sebaik sahaja pewakaf membuat wakaf. Dalam hal ini, apabila pewakaf melakukan wakaf – sama ada wakaf harta alih atau harta tak alih – maka pemilikan korpus wakaf tadi akan dipindahkan secara kekal kepada pemilikan Allah SWT. Oleh itu, pewakaf tidak boleh membatalkan pengisytiharan wakaf yang dibuat; dan pewakaf mahupun pentadbir wakaf, tidak boleh mengubah korpus tadi menjadi subjek pewarisan, hadiah, jualan, gadai janji atau apa-apa bentuk pindah milik yang lain.
Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Maliki pemindahan hak milik harta secara kekal bukanlah syarat yang mesti ada jika seseorang ingin berwakaf. Malah, wakaf boleh dilakukan untuk tempoh yang terhad atau sementara.
Ciri wakaf sementara tanpa unsur pindah-milik kekal dilihat mempunyai satu daya tarikan yang signifikan yang dapat menarik lebih ramai ahli masyarakat untuk terlibat dalam amalan yang mulia ini. Wakaf dalam pendekatan ini dilihat lebih fleksibel, moden dan sesuai dengan suasana gaya hidup semasa. Justeru, pemilik harta alih dan tak alih seperti tunai, saham, rumah, bangunan, tanah dan lain-lain boleh membuat wakaf untuk tempoh masa tertentu tanpa perlu risau kehilangan pemilikan aset atau harta tersebut.
Ini juga disokong oleh seorang ulama Islam kontemporari iaitu Monzer Kahf yang berpandangan bahawa wakaf sedemikian perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan. Wakaf sebegini bukan sahaja dapat memenuhi objektif sosial yang semakin pelbagai, tetapi juga memberi peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk turut terlibat dalam usaha-usaha kebajikan yang terhasil menerusi amalan wakaf.
Selain itu ciri khas wakaf sementara iaitu tiada keterikatan kepada tempoh masa berpotensi mewujudkan beberapa ciri dinamik yang perlu dimanfaatkan oleh pentadbir wakaf untuk menggalakkan lagi semangat kedermawanan dalam kalangan masyarakat.
Pertama, wakaf sementara memberi fleksibiliti kepada bakal pewakaf untuk menentukan tempoh kontrak wakaf. Ini membolehkan pewakaf merancang dan mengatur wakaf mereka mengikut keperluan dan keupayaan mereka. Dengan mempunyai pilihan ini, ia memberi peluang kepada mereka untuk menyerahkan aset yang dimiliki buat sementara waktu kepada pentadbir wakaf untuk digunakan sama ada untuk tujuan pelaburan atau sewaan atau kegunaan umum untuk tempoh masa tertentu yang ditetapkan.
Kedua, mungkin ada juga individu yang berhasrat untuk melakukan wakaf tetapi atas sebab tertentu mereka mungkin tidak mahu melepaskan pemilikan dan kawalan ke atas aset mereka secara kekal. Oleh itu, wakaf sementara memberi jaminan kepada pewakaf bahawa mereka masih mempunyai kawalan ke atas harta tadi kerana ia akan dikembalikan kepada pemilikan mereka selepas tamat tempoh wakaf.
Ketiga, sesetengah individu mungkin mempunyai aset lebihan yang tidak digunakan atau dimanfaatkan secara efektif seperti bangunan, rumah, kenderaan atau wang tunai. Daripada membiarkan harta ini tidak dimanfaatkan secara berkesan, melalui konsep wakaf sementara, ia memberi pemilik harta tadi pilihan untuk menyerahkan aset mereka kepada pentadbir wakaf. Menerusi pilihan ini, harta-harta tadi dapat dimasukkan ke dalam kitaran ekonomi bagi dimanfaatkan secara produktif walaupun untuk tempoh yang singkat.
Usaha ke arah mempopularkan konsep wakaf muaqqat atau bertempoh ini sebenar telah ada di negara ini. Antara contoh yang boleh diketengahkan di sini ialah Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur. Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur merupakan satu program kerjasama di antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic), Yayasan Belia Malaysia (YBM), Taylor’s University dan Food Panda. Program ini bertujuan membantu belia B40 dan asnaf yang berminat untuk berkerja sebagai penghantar makanan. Peserta akan diberi sebuah motosikal wakaf yang didaftar di atas nama YBM. YBM dan FoodPanda akan memantau kemajuan peserta selama setahun. Selepas tamat tempoh wakaf, motosikal akan dihibah kepada peserta bagi mereka meneruskan kerjaya sebagai penghantar makanan.
Dalam konteks pemasaran, keupayaan sesuatu produk menyesuaikan diri dengan perubahan dan peredaran semasa merupakan ciri penting yang membolehkannya mendapat sambutan yang baik daripada pihak berkepentingan.
Samalah halnya dengan wakaf bertempoh ini. Keupayaan institusi wakaf bertindak balas dengan cepat dan menyesuaikan konsep wakaf dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan pematuhan Syariah, membolehkan mereka memenangi hati dan minda masyarakat untuk berjariah ke jalan Allah.
Kita boleh mengandaikan menerusi ciri fleksibiliti yang dilihat menepati dan seiring dengan perubahan semasa – wakaf bertempoh akan mendapat penerimaan yang meluas daripada orang ramai. Justeru secara logiknya juga, apabila semakin ramai bilangan pewakaf, maka semakin besar aset yang boleh dikumpul dan semakin tinggi jugalah hasil pelaburan atau pulangan yang boleh dijana daripada aset wakaf ini.
Di sini penulis ada terfikir juga tentang masalah harta beku. Di Malaysia, dewasa ini dianggarkan terdapat kira-kira RM90 – RM100 billion aset beku dan tidak dituntut dengan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu. Aset beku ini kebanyakannya adalah aset dan harta pemilik si mati yang belum ditadbir oleh waris atau ia ditahan di pelbagai pihak berkuasa kerajaan kerana kerumitan undang-undang dan kekurangan pengetahuan waris dalam menuntut hak mereka. Walau bagaimanapun, untuk membiarkan aset ini tidak digunakan (kerana kegagalan waris untuk mengurus pembahagian pusaka) adalah tindakan yang merugikan. Sebenarnya ia adalah satu bentuk pembaziran sumber (tabzir) yang dilarang sama sekali dalam Islam.
Bagaimanapun, diakui cadangan untuk meneroka wakaf muaqqat dalam aspek harta beku memerlukan kajian yang lebih mendalam, termasuk mendapatkan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dan kelulusan perundangan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan risiko kehilangan harta benda. Ini kerana pada asasnya harta itu bertujuan untuk diserahkan kepada pemilik asal, dan bukannya kekal dalam jagaan oleh mana-mana pihak untuk tujuan wakaf.
Secara ringkasnya, ciri bertempoh yang ada pada wakaf muaqqat ini juga boleh membuka ruang inovasi kepada pihak MAIN atau institusi wakaf untuk memikir pendekatan terbaik bagi mengurus dan mentadbir harta-harta wakaf ini menerusi pendekatan kontemporari. Namun, terdapat keperluan untuk melakukan kajian dan analisis lanjut untuk memahami dengan lebih baik bagaimana wakaf bertempoh boleh diterapkan dan dioptimalkan dalam konteks ekonomi semasa.