Beruntunglah bagi orang yang berpuasa, kerana memiliki banyak manfaat yang berganda bukan sahaja untuk kesihatan rohani malah juga untuk kesihatan jasmani. Bulan Ramadhan merupakan satu hadiah yang tidak ternilai kepada dunia kesihatan kerana ia mampu memperbaiki dan menaiktarafkan kesihatan seseorang. Usah dikira anugerah untuk pahala yang berganda tetapi kurniaan untuk kesihatan dan kecergasan juga tidak dapat dinafikan. Sesungguhnya, tiada halangan bagi sesiapa sahaja yang berpuasa untuk menyingkap apa- apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi dalam ibadat tersebut. Seperti yang sedia maklum, puasa berkait rapat dengan pemakanan yang diambil.
Melalui kajian sains, didapati berpuasa akan menurunkan kadar glukosa dalam darah, tekanan darah, kandungan lipid dan juga berat badan. Namun begitu, sekiranya amalan berpuasa ini tidak diamalkan dengan cara yang betul, kita akan menghadapi masalah terutamanya melibatkan kesihatan. Apabila menyentuh tentang puasa, ia boleh dihubungkaitkan dengan diet. Oleh itu, kita perlu tahu apakah jenis dan bentuk makanan yang boleh diambil untuk berbuka dan bersahur. Amalan bersederhana dalam aspek pemakanan seperti yang dianjurkan Islam patut diamalkan dalam kehidupan harian apatah lagi sepanjang Ramadhan. Namun, apa yang kita saksikan kini, selepas seharian berpuasa menahan lapar dan dahaga, wujud juga individu yang mengambil kesempatan berbuka dengan pelbagai jenis juadah yang secara teorinya individu ini mengambil makanan lebih banyak berbanding hari biasa. Tidak ramai yang menyedari bahawa berbuka puasa dan bersahur mempunyai peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Rasa lesu, lemah serta kurangnya tumpuan bukan disebabkan amalan puasa yang dilakukan tetapi kerana perubahan yang berlaku kepada pola pemakanan kita daripada 3 kali sehari menjadi 2 kali sehari. Corak pemakanan yang tidak betul semasa berbuka mahupun bersahur menyebabkan tubuh seseorang kurang bermaya disebabkan kekurangan air di dalam badan atau ketiadaan tenaga yang habis digunakan sebelum waktunya.
Puasa tidak seharusnya menimbulkan gangguan kesihatan sebaliknya ia mampu meningkatkan kesihatan seseorang. Sepertimana sabda Rasulullah SAW, berpuasalah kamu, nescaya kamu sihat. Apa yang uniknya, puasa dapat menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani. Kesihatan rohani telah pun dinyatakan oleh Allah dalam konteks natijah puasa iaitu takwa. Puasa dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan juga boleh mengawal penyakit berkaitan pemakanan. Puasa dapat membantu merehatkan organ pencernaan manusia setelah berhempas pulas sepanjang tahun selain bagus untuk menyahtoksik atau proses ‘detoksifikasi’.
Kesihatan yang baik bermula dengan proses ‘detoksifikasi’. Ia merupakan satu proses untuk menyingkirkan sisa racun dan membersihkan sistem dalaman tubuh khususnya salur pencernaan. Mungkin ramai yang tertanya- tanya dari mana racun dan toksik ini memasuki badan manusia? Tidak dinafikan, makan dan minum perlu dilakukan setiap hari untuk memenuhi keperluan khasiat tubuh kita. Namun, selain membekalkan khasiat, makanan dan minuman juga boleh membawa bahan toksik. Kadang- kadang baham bertoksik ini juga terdapat pada makanan yang tercemar atau makanan yang mengandungi bahan tambah yang tidak sesuai dengan badan seseorang. Jika bahan toksik ini tidak disingkirkan, ianya akan tersimpan di dalam tubuh dan menjadi beban sehingga tubuh terpaksa bekerja melampaui batas untuk menyingkirkannya. Akibatnya, kemampuan tubuh untuk kembali sihat amat terbatas. Tubuh badan manusia mempunyai mekanisme semulajadi tersendiri dalam membersihkan organ dalaman manusia dari bahan beracun. Dan puasa turut membantu dalam mengkumuhkan bahan beracun berkenaan. Dengan cara inilah, dapat dilihat puasa memainkan peranannya dalam bagi tujuan ‘detoksifikasi’ untuk pengekalan kesihatan seterusnya. Inilah antara hikmah terselindung di sebalik puasa yang jarang sekali diselidiki dan dihargai oleh orang yang menunaikan puasa.
Badan menjadi lemah dan tidak bermaya bukanlah boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa kerana puasa bukanlah penyebabnya jika kita mengambil pemakanan yang sempurna sebaliknya ia bukan sekadar ujian malah membantu merehatkan organ pencernaan manusia. Ketika berbuka puasa pula, kebanyakan daripada kita lebih mementingkan nafsu berbanding untuk makan sekadar menghilangkan lapar dan haus. Kaedah yang paling berkesan untuk mengelakkan individu makan berlebihan adalah dengan menjamah kurma dan minum air terlebih dahulu sepertimana yang diamalkan oleh Rasullullah. Permulaan tersebut memberi isyarat kepada otak bahawa perut kita sudah pun beralas seterusnya secara tidak langsung akan mengurangkan keinginan untuk makan dengan banyak pada awalnya. Panduan makanan Barat yang memulakan hidangan dengan salad dan diikuti hidangan utama dan diakhiri dengan pemanis mulut juga amalan yang bagus. Apabila tiba giliran memakan makanan berat, perut kita sudah pun terisi dengan hidangan berkhasiat. Justeru, tidak timbul masalah berlebihan.
Waktu bersahur pula seharusnya tidak diabaikan oleh umat Islam. Mungkin pada awal Ramadhan, ramai yang mengikut aturan sahur yang betul kerana ghairah dengan kedatangan bulan mulia ini. Tetapi, mungkin dengan penghujung Ramadhan seperti sekarang, makin ramai pula yang mula malas untuk meninggalkan bantal dan bersahur. Oleh kerana sikap ini, ramai orang yang mengalami aturan diet yang tidak betul dan kesannya bukan sahaja kepada rasa lapar tetapi juga boleh menjejaskan kecergasan dan tahap kesihatan seseorang jika hal sedemikian berlaku secara berterusan. Sahur adalah untuk mengelakkan kita lapar dan menjadikan kita lebih bertenaga. Sebagai umat Islam, kita digalakkan bersahur seberapa lewat yang boleh seperti yang disunatkan oleh Rasullullah SAW kerana kaedah itu berkesan demi memastikan individu dapat melakukan tugasan tanpa gangguan. Penekanan yang diberikan oleh Rasullullah agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat baik dan menurut pendekatan sains, ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan yang paling utama dalam tempoh 24 jam adalah sarapan pagi. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Havard, mendapati bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan berlebihan kadar gula dalam darah berbanding individu yang jarang bersarapan pagi. Keadaan ini menjadi lebih penting kepada kanak- kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak- kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih buruk disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Rasullullah pernah bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat”. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah). Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani. Sahur adalah suatu rahmat dan berkat yang dikurniakan oleh Allah ke atas umatNya. Melalui amalan bersahur, tenaga diperolehi. Tenaga inilah yang digunakan oleh tubuh sepanjang kita berpuasa. Sekiranya tidak diambil, dikhuatiri akan melemahkan tubuh kerana tenaga tidak mencukupi. Tidak perlulah berlebihan dalam mengambil makanan ketika bersahur dan cukup hanya makan sekadar alas perut namun mestilah dalam kategori seimbang dan berkhasiat. Anjuran bersahur ini dapat dilihat pada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, ” Makanlah sahur walaupun dengan seteguk air”. Galakan ini memapar kepada kita agar menitikberatkan bersahur. Sekalipun tidak sempat untuk bersahur, boleh digantikan dengan kurma dan segelas susu. Sepertimana yang telah diamalkan oleh Nabi. Hidangan kurma dan susu ini sesuai untuk penghidap penyakit gastrik. Disarankan juga jika kita tidak boleh makan makanan yang berat pada waktu sahur, boleh digantikan dengan bijirin oat. Ini kerana kandungan serat di dalamnya boleh membekalkan tenaga sepanjang hari kerana proses penukaran tenaga berlaku secara perlahan. Oleh itu, kita sepatutnya merebut waktu bersahur itu, kerana padanya terdapat barokah dan bersahur juga dapat memberikan manfaat kepada kesihatan kita.
Sempena masih belum hilang lagi semangat Ramadhan yang kita lalui ini, walaupun sudah berada di penghujungnya, kita masih lagi berkudrat untuk menunaikan ibadah puasa dan bersahur kerana 1001 kebaikan menanti kita di sebalik berpuasa sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat. Ramadhan memberi kita pengajaran yang baik dalam hal menjaga makanan dan pemakanan. Yang pasti kita masih boleh merebut peluang yang hanya setahun sekali kita perolehi dan ia juga adalah untuk manfaat kesihatan kita yang berterusan.