Agama Islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t untuk sekelian umat manusia menerusi utusan RasuluLLAH s.a.w. adalah satu ad din, iaitu satu ajaran dan cara hidup yang telah amat sempurna dan komprehensif. Firman Allah dalam surah al Maidah, ayat 3 yang bermaksud..pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat Ku kepadamu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu.
Amat sesuai dan bertepatan dengan istilah Islam itu sendiri, yang terbit daripada perkataan Arab, salama, yang bermaksud aman, baik dan sejahtera, ajaran agama ini adalah bertujuan untuk menyebarkan maslahah, atau kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian, maslahah perlu dijadikan matlamat penting dalam kehidupan, dan kehidupan perlulah dilaksanakan dan dijalankan dalam ruang lingkup yang menjana maslahah. Maslahah atau kesejahteraan perlu menjadi landasan dalam kehidupan seseorang individu, kekeluargaan, dan masayarakat serta negara.Ia perlu merentasi aspek pendidikan dan pengajian, pekerjaan, dan sebagainya.
Matlamat untuk menjana kesejahteraan juga perlu dalam aspek rawatan dan pemulihan, baik dalam aspek fizikal, sosial, dan spiritual, serta termasuklah aspek penjagaan kesihatan mental. Memandangkan objektif kesihatan mental ialah untuk mengoptimakan tahap kesejahteraan mental individu dan masyarakat, secara tidak langsungnya ia adalah amat bersesuaian dan sejajar dengan matlamat ajaran agama Islam yang lebih dikenali sebagai Maqasid as Syari’ah. Manakala asas kepada maqasid al syariah ini ialah mengutamakan maslahah dalam kehidupan serta menjauh atau menghindarkan segala mafsadah atau keburukan dan kemudharatan dari membelenggu kehidupan manusia, serta perlu dilakukan dalam skop yang menepati tujuan syarak dan berada dalam kerangka syariat dan tidak boleh didasarkan atas keinginan hawa nafsu atau kepentingan aqal semata-mata.
Para ulama’ Usul al Fiqh telah bersependapat bahawa al maslahah yang terkandung di dalam al maqasid itu memiliki tahap urutan yang tersendiri berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan masing-masing, dan tergolong ke dalam 3 kategori yang utama, yang dikenali sebagai al dharuriyyat, al hajiyyat dan al tahsiniyyat. Berdasarkan kepada kewujudan beberapa kategori ini, ia membayangkan wujud beberapa darjat dan peringkat keutamaan dari segi kepentingan mereka. Oleh yang demikian, umat Islam diajarkan bahawa mereka perlu mengutamakan kemaslahatan dan menghindarkan kemudharatan serta kerosakan, namun dalam mengutamakan perkara ini, ia perlu dilakukan secara berurutan dan beraturan serta mengikut keutamaan.
Peringkat al dharuriyyat menunjukkan bahawa perkara asas yang perlu diberi keutamaan oleh umat manusia ialah memelihara kemaslahatan agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta, serta menghindarkan segala perkara yang boleh merosakkannya. Ia sebagai satu kategori yang mandatory. Agama merupakan asas dalam kehidupan umat Islam, dan sesuai dengan kedudukannya, ia menjadi keutamaan, kerana tanpa ajaran agama, kehidupan manusia menjadi terancam dan tidak teratur. Keutamaannya melebihi kepentingan nyawa dan jiwa, kerana nyawa dan jiwa perlukan kepada ajaran dan peraturan agama yang dapat mengemudi kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Tanpa ajaran agama, kehidupan akan menjadi sesat, sama ada di dunia, mahupun di akhirat, serta mendatangkan pelbagai kemudharatan dan kerosakan dalam kehidupan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa rawatan dan penjagaan kesihatan mental itu sendiri adalah menjurus kepada pemeliharaan salah satu atau beberapa daripada lima perkara yang dituntut oleh Maqasid al Syariah untuk dipelihara. Kesihatan mental itu secara langsung atau pun tidak langsung adalah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan yang berkaitan dengan agama, jiwa dan aqal, keturunan serta harta. Ini kerana agama itu sendiri menuntut umatnya untuk sentiasa menjaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik, sama ada pada fizikal atau mental, sosial atau spiritual. Ini bertepatan apabila Islam menetapkan tujuan kehadirannya adalah untuk memelihara agama, jiwa, akal, kesihatan dan harta benda umat manusia.