Mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati. Itulah peribahasa yang sering kita dengar untuk mengelakkan diri daripada terkena sebarang penyakit. Ini adalah kerana apabila sudah terkena sesuatu penyakit, proses untuk mengubatinya adalah lebih susah. Justeru digalakkan untuk mencegah penyakit daripada terpaksa berbelanja besar untuk merawatnya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Pelbagai penyakit yang hinggap masyarakat di zaman moden ini seperti kanser, diabetes, jantung, kerosakan paru-paru, hipertensi, dan sakit mental. Bila bercakap tentang kesihatan tidak dapat tidak ia akan berkait dengan makanan.
Pada zaman moden dan serba canggih ini segala-galanya hendak cepat. Ini termasuklah aspek penyediaan makan, kalau boleh hendak yang paling cepat. Maka yang paling mudah dan cepat untuk disediakan adalah makanan segera. Makanan segera mengandungi bahan perisa dan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Minyak yang digunakan juga kemungkinan digunakan berulang-ulang kali.
Kita dapati kebanyakan ibu bapa di zaman ini sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sudah menjadi kebiasaan mereka pulang ke rumah pada waktu malam. Mereka selalunya kepenatan apabila pulang untuk menyediakan makan malam yang berkhasiat untuk keluarga. Maka cara yang paling mudah adalah untuk membeli sahaja, mentelaah pula di Malaysia terdapatnya restoran-restoran beroperasi selama 24 jam.
Hanya di Malaysia terdapatnya fenomena restoran 24 jam ini. Mungkin faktor ini yang menyebabkan seramai 80,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah obese. Obesiti pada amnya disebabkan oleh ketidakseimbangan di antara pengambilan tenagan/makanan dan penggunaan tenaga/aktiviti fizikal. Obesiti merupakan ibu dan pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
Kita dapati kaum lelaki di Malaysia juga ramai yang merokok. Terdapat kajian yang mengatakan salah satu bahan dalam rokok adalah sel darah babi. Merokok juga boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan angin ahmar.
Semua perkara ini masih belum meyakinkan perokok tegar untuk berhenti merokok. Mereka tanpa segan silu merokok di hadapan anak. Apakah mesej yang mereka sampaikan terutama kepada anak lelaki? Tidak hairanlah anak-anak ini akan membesar menjadi perokok juga.
Di sekolah ada yang memberi duit belanja anak sambil memegang rokok di tangan yang lain. Kasihanlah kepada si anak. Perokok ini tidak menyedari bahawa asap rokok bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah membahayakan orang sekeliling.
Penyakit mental di kalangan rakyat Malaysia juga semakin meningkat. Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.
Kira-kira 10% daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini diramal mengalami penyakit mental menjelang 2020. Pertambahan populasi penduduk berusia 50-an dan ke atas menjelang 2020 akan memberi implikasi terhadap sistem penjagaan dan pemberian perkhidmatan kesihatan seperti kesihatan mental dan fizikal.
Golongan usia 50-an dan ke atas akan mengalami kemerosotan tahap kesihatan akibat penyakit kronik, rasa sunyi akibat terpinggir daripada keluarga dan masyarakat, masalah kewangan akibat kos sara hidup yang tinggi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kemurungan adalah satu daripada penyakit mental yang menduduki tempat kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia menjelang 2020.
Secara psikoginya, warga 50 tahun ke atas akan mengalami perubahan emosi dan personaliti, kemerosotan fungsi minda serta perubahan pada tingkah laku. Perubahan yang dialami perlu diberi perhatian sewajarnya bagi membantu mereka mengekalkan tahap kesihatan mental yang baik.
Bajet 2015 yang diumumkan baru-baru ini telah memperuntukkan RM23.3 bilion untuk pelaksanaan beberapa projek seperti mewujudkan lagi 2 hospital, 20 klinik kesihatan, 4 klinik pergigian, 30 klinik 1Malaysia dan mengganti serta membeli mesin hemodalisis serta menyediakan ubat-ubatan dan test kit untuk mengesan demam denggi.
Jika diteliti peruntukan yang disediakan untuk perkhidmatan dan kemudahan kesihatan memberi lebih penekanan kepada aspek perawatan sahaja. Di manakah aspek pencegahan yang sepatutnya lebih ditekankan?
Penekanan terhadap aspek pencegahan sesuatu penyakit sangat penting kerana ia dapat menjadikan rakyat hidup sihat dan sejahtera serta mampu menyelamatkan duit negara daripada dihabiskan untuk tujuan rawatan semata-mata.
Mengenakan cukai yang tinggi contohnya, dapat membanteras atau mengurangkan tabiat negatif masyarakat Malaysia seperti merokok dan minum arak terutama di kalangan anak muda.
Peruntukan untuk membanteras gejala merokok dan minum arak harus diadakan, demikian juga pengeluaran lesen arak mesti diperketatkan lagi. Tiada guna membelanjakan berjuta ringgit untuk tujuan rawatan sedangkan duit negara boleh dijimatkan dengan memberi tumpuan kepada aspek mencegah punca penyakit serta memperbetulkan tabiat hidup rakyat.