Kemajuan yang ingin dicapai oleh sesebuah negara seolah-olah sudah sinonim dengan peningkatan kes berkaitan jenayah. Pengalaman dari negara-negara Barat yang telah lama maju menggambarkan situasi seperti ini. Dan fenomena yang sama kini turut menjangkiti masyarakat di negara ini.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana halangan utama dalam membina negara dan masyarakat yang bertamadun tinggi adalah sikap rakyat yang mula menyepikan peranan moral dalam urusan kehidupan. Walaupun bilangan jenayah yang berlaku di negara ini mungkin kecil berbanding negara lain, namun ia tetap mampu menggugat keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
Apa yang pasti, setiap individu tidak mahu kerancakan kemajuan yang ingin dinikmati itu perlu dibayar dengan peningkatan kes jenayah seperti apa yang berlaku di negara-negara luar.
Kemajuan harus dilihat dalam bentuk yang seimbang di mana aspek pembangunan minda dan moral tidak diabaikan, di samping kemajuan kebendaan. Seterusnya fungsi moral di kalangan rakyat perlu terus digarap dan disemai sepanjang masa.
Tanggapan bahawa pembangunan minda dan moral tidak membantu apa-apa kepada kecemerlangan material perlu dipintas sebagai satu mitos yang harus diubah. Hakikat yang perlu difahami adalah kepincangannya pasti akan menjejaskan kehidupan, malah mungkin akan mengundang jenayah.
Laporan media berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku di mana-mana tanpa mengira tempat dan waktu menggambarkan seolah-olah persekitaran kehidupan kini tidak lagi selamat. Jenayah boleh berlaku di jalan raya, kawasan rumah dan sekolah, malah ia turut dilakukan oleh kenalan rapat dan ahli keluarga. Manakala sesiapa sahaja berisiko untuk menjadi mangsa, baik kanak-kanak mahupun orang tua.
Kes samseng jalan raya, kejadian ragut dan bunuh kini semakin bermaharajalela. Timbul persoalan di manakah letaknya pertimbangan moral golongan seperti ini dan apakah tindakan yang perlu diambil masyarakat terhadap mereka selain pendekatan undang-undang.
Jika dilihat dari kejadian jenayah yang semakin marak ini, seolah-olah undang-undang dan hukuman umpama diperlekehkan. Lantaran, satu gerak kerja yang lebih menyeluruh dan mantap semakin penting bagi membanteras sebarang bentuk jenayah.
Ini juga bermakna, satu pendekatan bagi kemantapan pemikiran dan tingkah laku moral yang selaras dengan norma dan undang-undang wajar digunakan.
Dalam Islam, pemikiran dan tingkah laku moral ditunjangi oleh keimanan dan ketauhidan kepada Ilahi yang akhirnya mencetuskan perasaan takwa dan kemuliaan akhlak yang tinggi.
Tanggapan moral seperti ini sebenarnya memperluaskan lagi pandangan moral dalam Islam, tidak seperti apa yang difahami Barat yang turut menjadi ikutan sesetengah pihak. Memang wujud konflik dalam menanggapi isu moral antara Islam dan Barat walaupun sejak akhir-akhir ini mereka juga mula beralih kepada ideologi agama dalam menangani masalah moral yang selama ini tidak dilihat peranannya dalam kehidupan mereka.
Akibatnya, konflik moral di kalangan negara Barat pula muncul kerana penilaian perspektif moral mereka yang lebih banyak dipengaruhi kedangkalan pemikiran yang sememangnya terhad.
Konflik yang berpunca daripada kedangkalan pemikiran untuk mentafsir isu moral dapat dilihat dalam pengamatan mereka terhadap kebaikan dan kejahatan, serta antara kebenaran dan kepalsuan sesuatu pemikiran dan tingkah laku berkaitan moral.
Bagi mereka, perbuatan yang bermoral adalah satu tindakan yang mendatangkan kebaikan walau apa cara sekalipun bentuk tindakan yang diambil. Umpamanya, seseorang yang mecuri masih dianggap bermoral kerana tindakannya itu dapat mengelakkan dirinya atau orang lain dari kebuluran jika suasana ketika itu memerlukannya bertindak demikian.
Dalam keadaan seperti ini, suasanalah yang sebenarnya menentukan keputusan dan tingkah laku moral mereka. Kesimpulan yang sama juga mungkin akan diguna oleh seseorang untuk memandu melebihi dari had laju yang dibenarkan kerana mahu cepat sampai. Baginya ketepatan masa itu penting dan baik. Malah suasana ketika itu memerlukannya bertindak demikian sekalipun mengancam nyawa sendiri atau orang lain.
Pandangan seumpama ini turut disokong oleh satu kajian oleh seorang sarjana Barat, David Bersoff (1999) dalam kajiannya What Predicts Moral Behavior. Beliau mendapati individu menghadapi kesukaran untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang dikatakan tidak bermoral itu secara lebih rasional akibat daripada tekanan dan pengaruh suasana persekitaran.
Walaupun wujud kedangkalan dalam kajian ini kerana terdapat banyak sebab mengapa manusia gagal untuk berfikir secara rasional dan kritis apabila mereka melakukan kegiatan tidak bermoral akibat tekanan suasana dan pengaruh persekitaran tertentu, bagi Barat inilah yang sahih menurut kepercayaan mereka. Namun ramai juga yang bersetuju dengan pandangan ini yang mana akhirnya mengakibatkan konflik nilai dan moral yang berterusan.
Dalam Islam, kebenaran dan kesahihan sesuatu pemikiran dan tingkah laku moral berdasarkan kepada fahaman bahawa sesuatu tindakan itu baik dan bermoral apabila dilakukan dalam ruang lingkup sistem moral yang pasti kesahihannya dan diterima sebagai satu norma masyarakat sejagat.
Seterusnya, tindakan tersebut juga perlu seiring dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Kefahaman moral seperti inilah yang sewajarnya dihayati sebagai satu budaya dalam kehidupan manusia.