PEMBANGUNAN sumber manusia yang dikenali juga modal insan (human capital) antara agenda yang akan diberi penekanan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).
Nilai modal insan ini walaupun tidak pernah tertera dengan jelas dalam laporan untung rugi mana-mana organisasi, ia berperanan besar dalam menentukan prestasi organisasi terbabit.
Dalam konteks lebih luas, modal insan mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang disasarkan. Tanpa sumber manusia berkualiti, sesebuah negara akan lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam kegiatan sosioekonominya.
Untuk memahami maksud pembangunan sumber manusia, kita perlu jelas atau tahu matlamat kewujudan unsur terpenting yang hendak dibangunkan iaitu manusia itu sendiri.
Asalnya, manusia dijadikan Allah untuk beribadat kepada-Nya. Perkara ini dijelaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah kepada Ku.” (Surah az-Zaariyat, ayat ke 56)
Untuk mencapai matlamat ini, manusia diperintahkan mengikut ajaran Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad secara menyeluruh.
Perkara ini kerana syariah Islam itu lengkap dan meliputi segala aspek kehidupan manusia. Jika manusia mengikut ajaran Islam secara keseluruhan, mengikuti segala ajaran al-Quran dan sunnah, dia dijamin mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)
Apa yang dapat difahami daripada ayat di atas adalah masalah yang berkaitan dengan sumber manusia seperti rasuah dan tidak amanah.
Mereka tidak mengikuti saranan al-Quran secara menyeluruh atau mengikuti ajaran Islam, tetapi tidak secara keseluruhan. Mungkin apa yang dirasakan bersesuaian dengan naluri atau kemahuannya diambil, manakala apa-apa yang dirasakan tidak bersesuaian dengan kehendaknya, ditinggalkan.
Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini, turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.
Menerusi gagasan Islam Hadhari, sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.
Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada penduduknya. Jadi, jika setiap orang di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.
Jelasnya, konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya, malah masyarakat, agama dan negara.
Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti dijelaskan itu, pasti kejayaan akan menjadi kenyataan.
Sememangnya, inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A�raf, ayat 96)
Bagi menghasilkan sumber insan dinamik memerlukan proses pengisian minda dengan ilmu pengetahuan. Sumber manusia yang berilmu menjadi rebutan organisasi dan syarikat. Mereka adalah aset berharga.
Orang berilmu juga tahu untuk memobilisasi sumber pengeluaran yang terhad untuk dimaksimumkan dalam bentuk produk atau perkhidmatan.
Mobilisasi tadi mereka lakukan dalam bentuk terkawal. Kalau mereka menggunakan bahan daripada sumber alam, mereka tidak melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan sebagainya. Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka ia akan melakukannya dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah.
Orang berilmu lebih takut kepada Allah berbanding orang kurang ilmunya.
Perkara itu dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya ialah mereka yang berilmu.” (Surah Fatir, ayat ke-28)
Dalam konteks Malaysia, aspek keilmuan dan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan. Ia sentiasa mendapat peruntukan besar dalam belanjawan tahunan dan antara tumpuan dalam setiap Rancangan Malaysia.
Apa yang dapat dirumuskan di sini adalah sumber manusia adalah aset terpenting kepada organisasi dan negara.
Jatuh bangun sesebuah bangsa dan negara itu bergantung sepenuhnya kepada kualiti yang ada pada sumber manusianya.
Justeru, agenda pembangunan sumber manusia perlu diutamakan dalam proses pembangunan sesebuah negara kerana ia adalah pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran bangsa itu.
Sumber manusia ini perlu digerakkan secara produktif dan proses pendidikan menjadi titik tolak kepada usaha itu. Perlu diingatkan bahawa proses pendidikan di sini adalah proses berterusan dan perlu dilakukan secara komprehensif. Unsur kemahiran dan nilai itu diadun bersama agar sumber manusia yang bakal mewarnai negara adalah sumber manusia yang mempunyai nilai dalam erti kata sebenar.