Demi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang miskin bandar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Persidangan “Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar” yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Khalid Abd. Samad, Menteri Wilayah Persekutuan pada 8 November 2018 bertempat di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Laporan Bank Negara 2017 menganggarkan gaji kehidupan wajar (the living wage) di Kuala Lumpur adalah antara RM2,700.00 bagi individu bujang dan RM4,500.00 bagi pasangan yang mempunyai seorang anak dan RM6,500 bagi pasangan yang mempunyai dua orang anak. Anggaran demikian bagaimanapun tidak selari dengan realiti gaji yang diterima oleh komuniti bandar di Kuala Lumpur pada masa kini, kerana hampir 27% isi rumah hidup di bawah gaji kehidupan wajar sekalipun gaji penengah (median) bagi ibu Negara Malaysia pada 2016 ialah RM9,073.00.
Penemuan ini membangkitkan persoalan tentang cabaran miskin bandar di Malaysia dan halatuju Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Kos sara hidup yang tinggi, masalah sosial dan kekeluargaan, nutrisi dan kesihatan serta persaingan buruh tempatan dan asing adalah antara isu-isu yang timbul akibat wujudnya miskin bandar. Demi mencapai hasrat menjadi negara maju, Malaysia perlu mengambil langkah-langkah berkesan untuk menangani masalah ini.
Antara objektif persidangan ini adalah mengupas tentang definasi kemiskinan dan gaji kehidupan wajar dalam konteks urbanisasi, global dan Islam dan meneroka cabaran-cabaran yang timbul akibat daripada wujudnya miskin bandar dalam konteks agama, ekonomi dan sosial.
Bersempena persidangan ini juga akan diadakan majlis pelancaran buku baharu terbitan IKIM yang bertajuk “Faraid dan Perancangan Pewarisan Harta Beku, Bidang Kuasa dan Amalan di Malaysia”; “Masyarakat Menua, Realiti dan Cabaran”; “Rangkuman Kewangan Perspektif Kewangan Islam”; dan “Pemilikan Rumah: Realiti dan Cabaran”.

Majlis perasmian dan pelancaran buku-buku Ekonomi (IKIM) yang telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Khalid Abd. Samad, Menteri Wilayah Persekutuan sempena Persidangan “Gaji Kehidupan Wajar (The Living Wage) Dan Realiti Miskin Bandar” turut sama Datuk Haji Zakaria Hashim, Timbalan Pengerusi, IKIM dan Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM

Antara pembentang yang terlibat dalam membentangkan kertas masing-masing.