Menuduh seseorang muslim dengan tuduhan yang tidak berasas merupakan amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Ini kerana, suasana harmoni di negara kita telah dicemarkan dengan budaya sebegini sehingga sanggup membuat tuduhan besar yang boleh menjatuhkan kehormatan diri seseorang insan. Suasana sebegini dirancakkan lagi dengan kepesatan teknologi maklumat dan kepantasan media sosial yang menyebabkan segala maklumat tersebar luas dengan cepat. Bahkan yang memburukkan lagi keadaan adalah dengan budaya politik kotor dan tidak matang yang menjadi amalan sesetengah pihak demi kerjaya politik yang bertujuan menjatuhkan lawan politiknya dan pembunuhan karakter demi mendapatkan kuasa politik. Sungguhpun begitu, mungkin ada faktor-faktor lain yang menyebabkan budaya tuduh menuduh ini berlaku dalam masyarakat seperti dengki mendengki dan sebagainya.
Antara yang menjadi tumpuan umum hampir setiap tahun bagi masyarakat di Malaysia secara khususnya adalah tuduhan liwat dan zina. Sementara itu, apa yang menyedihkan lagi apabila tuduhan-tuduhan sebegini melibatkan pimpinan tertinggi negara. Sebenarnya perbuatan melakukan sesuatu tuduhan tanpa bukti yang konkrit boleh dianggap sebagai jenayah kerana implikasinya sangat besar. Tambahan pula apabila ia ditularkan di media massa dan media sosial sehingga memalukan pihak yang dituduh dan menjatuhkan maruahnya. Akibat dari budaya sebegini ditambah pula dengan penularan di pelbagai media massa dan media sosial seakan-akan individu itu dihukum oleh mahkamah media dan kesan hukuman telah diterima oleh pihak yang dituduh walaupun prosiding mahkamah belum berjalan.
Apapun sebab atau niat seseorang melakukan perbuatan ini, ia adalah bertentangan dengan syariat Islam yang sentiasa menjaga kepentingan manusia sama ada pihak yang dituduh bahkan juga pihak yang menuduh. Sekiranya dilihat kepada tuduhan melakukan zina atau liwat di negara ini, amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW seolah-olah dipandang enteng dan remeh pada hari ini. Lebih menyedihkan lagi adalah yang melontarkan tuduhan-tuduhan sebegini berlatar belakang seorang agamawan.
Di dalam syariat Islam, perbuatan qazaf merupakan jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Selain itu perbuatan qazaf ini adalah dosa besar dan perbuatan sebegini menjadikan sesorang itu fasiq. Allah SWT berfirman:
- “Dan orang-orang yang melontarkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) sebanyak 80 kali sebatan.” (Surah An-Nur)
Al-Hafiz ibn Hajar al-Asqolani mengatakan telah berlaku ijma’ ulama bahawa hukum qazaf terhadap lelaki yang muhsan (yang memelihara maruah dan yang baik) sama seperti hukum qazaf terhadap wanita yang muhsanah (yang memelihara maruah dan yang baik). Jumhur fuqaha’ daripada empat mazhab yang muktabar berpendapat bahawa liwat adalah sama dengan zina dari segi hukum. Maka, secara definisinya qazaf meliputi kesalahan menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab. Justeru, jika seseorang menuduh seseorang lain melakukan zina atau liwat, ia perlu membawa empat saksi lelaki yang adil menyaksikan perbuatan tersebut.
Di sisi undang-undang sivil, Seksyen 499 Kanun Keseksann memperuntukkan bahawa menuduh seseorang tanpa bukti boleh dikategorikan sebagai fitnah jenayah jika tuduhan itu berniat untuk mencemarkan nama baik seseorang, atau membuat tuduhan palsu secara lisan atau bertulis. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 500, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan bahawa ‘kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk mengangkat hukuman qazaf bagi tuduhan liwat dalam undang-undang Syariah di Malaysia. Ini juga merupakan satu langkah penting untuk mengangkat keadilan dan perlindungan terhadap maruah individu dan umat Islam. Pendekatan ini selaras dengan pandangan jumhur ulama dan mazhab Syafi’e yang menerima bahawa qazaf merangkumi tuduhan liwat sekaligus memperkukuhkan kedudukan hukum ini di Mahkamah Syariah.
Pelaksanaan hukuman berat terhadap penabur fitnah bukan bertujuan menghukum semata-mata, malah turut berfungsi sebagai mekanisme pencegahan (sadd al-zara’i) untuk menghentikan budaya fitnah dan menjaga kehormatan masyarakat dan keadilan sosial. Melalui langkah ini, sistem perundangan Islam dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam mengekalkan keharmonian dan maruah sesama Islam ke arah membina masyarakat yang bertamadun selaras dengan falsafah MADANI yang amat menitik beratkan soal ilmu dan keadilan sosial.