Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kesihatan mental sebagai “satu keadaan kesejahteraan dengan individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan biasa kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti.” Menurut WHO juga, pada tahun 2019, satu daripada lapan penduduk dunia, atau 970 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental. Terdapat banyak simptom yang boleh dikategorikan sebagai penyakit mental. Keresahan (anxiety) dan kemurungan (depression) ialah yang paling biasa dialami.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) yang dijalankan oleh Intitut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 2.3 peratus penduduk dewasa Malaysia atau lebih kurang setengah juta orang mengalami masalah kemurungan. Tinjauan tersebut turut mendapati golongan B40 lebih ramai murung berbanding golongan M40 dan T20. Dari segi peratusan, prevalens kemurungan dalam kalangan B40 ialah sebanyak 2.7 peratus berbanding 1.7 peratus dan 0.5 peratus dalam kalangan M40 dan T20. Memandangkan penyakit mental tidak terhad kepada kemurungan semata-mata, jadi jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental adalah melebihi setengah juta orang. Jika berpandukan kepada NHMS 2015, jumlah penduduk dewasa Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental adalah sebanyak 29.2 peratus. Dengan kata lain, secara statistik, keseluruhannya seorang daripada tiga orang warga Malaysia ada masalah kesihatan mental.
Jika statistik ini digunakan kepada sebuah organisasi yang mempunyai pekerja seramai 200 orang, maka kita boleh katakan 60 orang daripada mereka mempunyai masalah kesihatan mental. Dengan menggunakan data-data NHMS 2019 dan Jabatan Perangkaan Malaysia, Chua (2020) menganggarkan jika organisasi tersebut menjana keluaran kasar tahunan sebanyak RM5 juta, maka ia akan mengalami kerugian sebanyak RM189, 068.00 setahun atau RM946.00 bagi setiap pekerjanya. Jumlah ini bersamaan dengan 3.7 peratus daripada keluaran kasar organisasi tadi.
Adapun kos yang terpaksa ditanggung di peringkat negara dianggarkan sekitar RM14.46 billion atau satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018. Kos ini sebenarnya terhasil akibat gangguan terhadap prestasi dan produktiviti pekerja yang mengalami gangguan kesihatan mental tadi. Ini kerana, kesihatan mental merangkumi aspek kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial individu. Sebarang gangguan yang berlaku terhadap kesejahteraan mental individu boleh mempengaruhi cara dia berfikir dan bertindak. Dalam konteks di tempat kerja, implikasi negatif penyakit mental yang dialami pekerja dapat dilihat menerusi tiga sudut iaitu masalah ketidakhadiran kerja (absenteeism); kehadiran (presenteeism); dan pusing ganti atau pertukaran pekerja (staff turnover).
Ketidakhadiran kerja merujuk kepada situasi iaitu pekerja tidak datang bekerja pada hari dia sepatutnya bekerja sama ada sebahagian atau sepenuh hari berkerja disebabkan sakit. Di Malaysia, dianggarkan secara purata seorang pekerja tidak hadir bekerja kerana sakit (mental dan fizikal) adalah sebanyak lapan hari setahun. Dengan mengandaikan 20 peratus ketidakhadiran ini berpunca daripada isu kesihatan mental, kos ekonomi yang terejejas dianggarkan berjumlah RM3.28 billion atau 0.23 peratus KDNK 2018 (Chua, 2020).
Adapun kehadiran yang dimaksudkan di sini bukan kehadiran biasa ke tempat kerja. Ia secara khusus merujuk kepada situasi iaitu pekerja datang bekerja dalam keadaan mereka tidak sihat yang mengakibatkan berlaku penurunan prestasi dan produktiviti kerja. Pada peringkat global, dianggarkan kos ekonomi yang terjejas akibat masalah kehadiran yang ada kaitan dengan isu kesihatan mental adalah antara dua ke tiga kali ganda berbanding masalah ketidakhadiran akibat gangguan kesihatan mental. Ini bermakna untuk 2018, masalah kehadiran seumpama ini telah mengakibatkan negara mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM9.84 billion.
Di samping kos akibat ketidakhadiran dan kehadiran kerja, isu ini juga dikaitkan dengan kos akibat pusing ganti atau pertukaran kakitangan. Ada beberapa faktor yang menyebabkan pekerja meninggalkan sesebuah organisasi. Ini termasuklah budaya tempat kerja yang negatif, masalah dengan ketua dan rasa tidak dihargai. Semua faktor ini sebenarnya boleh dihubungkaitkan dengan kesihatan mental yang lemah. Kos akibat pusing ganti ini terbit daripada kos langsung (33 peratus) dan kos tidak langsung (67 peratus), seperti proses menemuduga pengambilan pekerja baharu, masa yang terpaksa dihabiskan untuk membuat perekrutan baharu, kehilangan kepakaran, kos latihan dan sebagainya. Menurut anggaran Chua (2020), kos akibat pusing ganti pekerja di Malaysia sehingga menimbulkan gangguan kesihatan mental adalah sekitar RM1.34 billion atau 0.09 peratus KDNK pada 2018.
Masalah kesihatan mental bukan sahaja memberi kesan tidak baik kepada pesakit, ahli keluarga dan orang di sekelilingnya bahkan turut memberi kesan yang sama kepada majikan atau organisasi di mana pesakit bertugas. Ini disokong oleh beberapa penyelidikan iaitu para majikan mendapati pekerja yang mengalami masalah mental mempunyai kecenderungan untuk tidak mematuhi peraturan yang ada. Mereka juga mempunyai masalah prestasi kerja selain menyebabkan rakan-rakan sekerja merasa kurang selesa dengan kehadiran mereka.
Sememangnya majikan tidak mahu mengambil pekerja yang ada masalah kesihatan mental. Namun, bagi pekerja yang sedang digaji atau yang masih dalam tempoh kontrak pekerjaan, pengasingan atau pendiskriminasian bukanlah satu pilihan yang bagus. Dalam hal ini, pengurusan isu ketidakhadiran (absence management) juga bukan satu pilihan yang baik kerana ini akan menyebabkan pekerja berasa terpaksa datang bekerja walaupun dalam keadaan tidak sihat. Dengan kata lain, pengurusan isu ketidakhadiran, jika tidak kena caranya boleh mewujudkan isu kehadiran yang kosnya tiga kali ganda kos akibat ketidakhadiran. Tambahan pula, ada data yang menunjukkan kira-kira 51 peratus pekerja di Malaysia melaporkan mereka berhadapan dengan tekanan kerja yang tinggi. Jadi, kos yang terpaksa ditangung akan menjadi lebih tinggi. Justeru, adalah disarankan agar setiap organisasi mewujudkan satu unit kaunseling bagi memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada pekerja yang bermasalah ini. Unit ini juga berperanan memberi pendidikan kepada pekerja tentang cara menangani risiko-risiko pekerjaan terutama yang berkaitan dengan isu tekanan di tempat kerja. Ini sebenarnya akan mewujudkan satu ruang yang selesa kepada pekerja untuk berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi di tempat kerja. Daripada sini, pihak majikan boleh mengenal pasti pendekatan yang boleh digunakan bagi membantu pekerja tersebut. Paling tidak, organisasi boleh membuat saringan kesihatan mental secara berkala dan merujuk pekerja yang didapati bermasalah kepada pakar-pakar kesihatan mental berdaftar untuk sesi kaunseling dan nasihat.