Setiap teknologi memancarkan pandangan alam kebudayaan yang merupacitakannya.
Seorang jurutera dan ahli matematik Yunani purba bernama Hero yang hidup sekitar 10–70 Masihi di Iskandariah, Mesir Rumawi, menggambarkan dalam karyanya Peri Automatopoietikes (Berkenaan Pembuatan Automaton) dua jenis jentera automatik.
Jentera pertama berupa tempat sembahan bergerak yang terdapat padanya patung-patung dewa dan para penyembah yang melakonkan adegan korban. Jentera kedua berupa panggung yang mementaskan kehidupan tragedi dalam pandangan alam orang Yunani purba.
Jentera yang dibina oleh Hero menggunakan roda putar (flyhwheel) dan spring sebagai sumber tenaga. Ia mencerminkan pandangan alam mekanistik yang dipelopori oleh failasuf teragung mereka Aristotle yang memahami alam sebagai hamparan tersedia abadi. Dalam faham kebersebaban (al-sababiyyah) ini, peristiwa-peristiwa alam diibaratkan seperti butir-butir domino tertegak yang kemudian saling tumbang-menumbangi selepas pertama kali dicetuskan oleh Penggerak Utama yang setelah itu terhenti penglibatannya dengan alam.
Islam memberi penekanan teristimewa terhadap menuntut ilmu. Oleh kerana itu, sejak awal lagi orang Islam giat mengkaji dan menterjemahkan karya-karya silam daripada peradaban-peradaban lain. Sumbangan begitu besar orang Islam terhadap perkembangan sains dan teknologi masih lagi dirasai sehingga masa kini.
Sekitar pemerintahan Khalifah Bani ‘Abbasiyyah iaitu Abu’l-‘Abbas al-Ma’mun (813–833 Masihi, kumpulan-kumpulan ilmuwan dan pengkaji seperti Banu Musa (803–873 M) giat mengutuskan misi mendapatkan karya-karya penulis masa lalu dan menumpukan sebahagian besar tenaga dan perbelanjaan dalam mengkaji dan menterjemah bahan-bahan ilmiah di Bayt al-Hikmah (Teratak Kebijaksanaan), sebuah pusat penyelidikan terkemuka di bawah naungan Khalifah al-Ma’mun.
Antara perkara yang menjadi tumpuan kajian oleh ilmuwan seperti Banu Musa ialah kawalan automatik yang dikenali sebagai al-alat al-mutaharrikah bi dhati-ha (alat yang bergerak dengan sendirinya).
Tumpuan minat ahli-ahli sains dan jurutera Muslim terhadap kawalan automatik berpunca dari keinginan untuk mengawal kuasa terpendam alam ciptaan Allah ‘azza wa jalla. Lagipun, kuasa yang tiada terkawal ialah kuasa yang tiada berguna malahan juga berbahaya, misalnya arus deras sungai, banjir kilat, tsunami, dan sebagainya.
Namun demikian, kefahaman ahli-ahli sains Islam terhadap alam berbeza dengan faham kebersebaban. Allah ‘azza wa jalla berterusan mencipta pada setiap masa dan Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Setiap perkara berlaku mengikut kebiasaan (sunnah) yang ditetapkan oleh Tuhan, namun Dia berkuasa mencetuskan khariq al-‘adah yang mengeluarkan sesuatu daripada kebiasaan tabiatnya.
Demikianlah sejarah Islam di abad ke-9 menyaksikan kelahiran hiyal iaitu bidang ilmu terawal berkaitan seni membina alat-alat kawalan automatik, mengangkat beban, dan mengatasi halangan.
Dari sudut bahasa, hiyal ialah kata jamak kepada hilah yang bermaksud ‘helah’, ‘tipu daya’, dan ‘muslihat’. Dalam ungkapan biasa la hawla wa la quwwata illa bi-’Llah, perkataan hawl bersinonim dengan perkataan hayl yang merujuk kepada daya upaya rancang dan reka.
Akar kata hawl dan hayl ialah hala, yang membawa maksud ‘berubah’, ‘mengalami perubahan’, atau ‘menyimpang’ daripada tabiat biasa. Kata terbitannya hal merujuk kepada ‘keadaan’ atau ‘hal ehwal’. Justeru, hilah ialah penzahiran kuasa apabila sesuatu berlepas daripada kebiasaan tabiatnya atau keadaan semasanya.
Tokoh perkamusan Ibn Manzur (m. 1312 M) dalam karyanya Lisan al-‘Arab mengesan ungkapan awal istilah hayl oleh Rasulu-’Llah SAW yang memanggil Tuhan sebagai dha-Hayli al-Shadid (Pemilik Kuasa Agung), menurut suatu riwayat oleh Ibn ‘Abbas r.a.
Dalam perundangan Islam, hiyal ialah daya cipta dalam mengatasi kesukaran dalam pelaksanaan shari‘ah khususnya kegiatan ekonomi, selagi mana tidak bertentangan dengan shari‘ah. Ia digunakan dalam urus niaga (mu‘amalah)bagi memenuhi keperluan dan tuntutan pihak-pihak berkepentingan di mana ketiadaannya boleh mengganggu gugat keteraturan sistem yang sedia ada.
Dari suatu sisi, kemunculan disiplin ilmu hiyal menandakan kejayaan orang Islam menyesuaikan teknologi daripada peradaban asing dengan kegunaan kehidupan seharian.
Dari suatu sisi yang lain, perubahan makna dan penggunaan istilah yang khusus menunjukkan walaupun ahli-ahli sains Islam banyak memanfaati khazanah ilmu tamadun Yunani, telah berlaku penyesuaian dengan pandangan alam Islam melalui saringan para ilmuwan, sarjana, dan ulama Islam.