Apabila kita memperkatakan mengenai kereta terbang terutamanya di Malaysia, sebenarnya terdapat 2 isu yang perlu difikirkankan. Pertama, ialah impak terhadap ekonomi negara dan yang kedua ialah berkaitan dengan penerokaan teknologi baru.
Negara yang tidak berani untuk membuat penerokaan dan pelaburan akan selama-lamanya menjadi mundur dan miskin. Walaupun pelaburan sebegini adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pelaburan dalam sektor pertanian seperti kelapa sawit, kelapa dan getah, namun pada jangka masa panjang adalah amat berbaloi.
Sebagai bukti pada tahun 1985 petroleum, timah dan hasil pertanian kelapa sawit mengalami kejatuhan harga yang teruk serta kesan kelembapan ekonomi dunia telah menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1%. Penguncupan dan pengurangan hasil kerajaan ini telah meningkatkan kadar pengganguran daripada 8.5% pada tahun 1984 kepada 8.5% pada tahun 1985. Hasil kerajaan telah merosot dengan ketara sehingga pihak kerajaan tidak cukup dana untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti emolumen, bayaran pencen, bayaran khidmat hutang dan bayaran kepada geran kerajaan negeri.
Bagi menampung dana tersebut, kerajaan telah mengekalkan Dasar Melawan Kitaran. Dasar ini bermaksud kerajaan meningkatkan perbelanjaan walaupun dalam keadaan ekonomi merosot. Sehubungan dengan dasar ini, pada September 1986, Tun Mahathir membangunkan industri automotif yang pertama di Malaysia iaitu kereta Nasional juga dikenali sebagai Perusahan Otomobil Nasional (PROTON). Model pertama yang dikeluarkan ialah Proton Saga dan kerajaan telah melabur sebanyak RM480 juta yang mana bagi setiap model baharu yang ingin dikeluarkan memerlukan modal sebanyak RM500 juta.
Pada ketika itu, Tun Mahathir menerima kritikan yang hebat kerana terdapat pandangan yang mengatakan jika kerajaan tiada duit mengapa perlu membuat pelaburan yang begitu besar serta banyak lagi cabaran yang terpaksa dihadapi.
Akhirnya pada tahun 1987, langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi cabaran ini telah membuahkan hasil apabila kerajaan telah berjaya meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi daripada 1.2% pada tahun 1986 kepada 5.4% pada tahun 1987 dan 8.9% pada tahun 1988. Secara purata ekonomi berkembang pada kadar 8.9% dari tahun 1988-1996 kesan daripada pelaburan tersebut.
Pelaburan oleh kerajaan sebanyak RM480 juta itu telah memberikan keuntungan sebanyak 3,000 peratus bagi tempoh 10 tahun iaitu apabila Proton membayar cukai hasil daripada keuntungan mereka berjumlah RM18 bilion.
Apabila Proton membuka kilang di Tanjung Malim, Proton menanggung kos kilang tersebut sebanyak RM1.8 bilion tanpa membuat sebarang pinjaman bank. Daripada perspektif teknologi pula, kilang baharu Proton itu menggunakan 60% automasi iaitu asas kepada Revolusi Industri 4.0 yang mana sebanyak 180 robot telah digunakan untuk pemasangan dan jumlah peluang pekerjaan adalah seramai 2,000 orang.
Di samping peluang pekerjaan, peluang untuk mempelajari teknologi automotif terbuka luas selain daripada peluang perniagaan dengan mewujudkan vendor-vendor, pembekal alat gantian, pusat servis dan jualan serta lain-lain. Perkara ini dinyatakan oleh Tun Mahathir di dalam bukunya yang bertajuk Doktor Umum halaman 607.
Jika kita lihat situasi dan pengalaman di Jepun pula sebagaimana yang ditulis oleh Akio Morita Pengasas Sony Corporation di dalam buku “Made in Japan”. Akio menceritakan ketika mula-mula syarikat Sony ditubuhkan iaitu pada tahun-tahun selepas perang Sony tidak mampu untuk membayar gaji kepada pekerja. Pihak kilang hanya mampu memberi segenggam nasi dan sedikit kicap. Keadaan ini telah ditafsir sebagai eksploitasi oleh negara Barat tetapi bagi rakyat Jepun mereka sedar bahawa negara mereka miskin dan mereka perlu berkorban mengikat perut untuk membina kembali industri mereka. Pengorbanan perlu dibuat tanpa mereka merungut. Tetapi kini, Jepun berkembang maju dan pekerja Jepun merupakan golongan bergaji paling tinggi di Asia manakala di Barat kita dapati kerap diadakan demontrasi oleh pekerja kilang untuk menuntut kenaikan gaji dan banyak kilang yang terpaksa tutup disebabkan kos pengeluaran meningkat dan produktiviti yang sedikit.
Berbalik kepada cerita kereta terbang, sidang Dewan Rakyat baru-baru ini menjadi gamat dengan sindiran dan gelak ketawa apabila ditimbulkan isu kereta terbang. Ada juga sindiran agar ekzos kereta terbang tersebut dicipta dari buluh. (Harian Metro 28 Mac 2019)
Sebenarnya kereta terbang berkonsepkan electronic vertivcal take-off landing (eVTOL) semakin popular dalam industri aeroangkasa dunia. Pada hari keempat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) telah menyaksikan satu memorandum persefahaman (MoU) penting antara Strand Aerospace (SAM) Sdn Bhd dengan Samad Aerospace Ltd. iaitu sebuah syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di United Kingdom sedang membangunkan teksi udara modular yang boleh bergerak di darat dan meluncur di udara bernama Home & Urban Mobility Aircraft(HUMA).
Pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2019 (GIMS 2019) pula, sebuah syarikat dari Belanda bernama PAL-V telah mempamerkan kereta terbang buatan mereka. Kereta ini seberat 664 kilogram. Kereta ini mengambil masa kira-kira tiga hingga lima minit untuk pertukaran mod pemanduan ke mod terbang. Pada mod pemanduan ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 160km/j manakala pada mod terbang ia mampu mencapai kelajuan maksimum 180km/j. Menurut jurucakap PAL-V sebanyak 75 unit kenderaan ini sudah terjual. Harga bagi model PAL-V Liberty adalah 300,000 euro dan PAL-V Liberty Pioneer adalah 500,000 euro. (Berita Harian Online 2 April 2019). Akhir sekali, apabila Malaysia ingin menerokai teknologi baharu, budaya berfikir masyarakat kita haruslah bertukar daripada mod tahyul dan tradisi kepada mod fakta dan saintifik.