Kuala Lumpur Bandar Raya Bergaya
“Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, aman serta makmur setelah merdeka. Tanah subur, hasilnya kaya raya.” Demikianlah bait-bait indah lagu “Keroncong Kuala Lumpur” yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Lagu ini mengungkapkan Kuala Lumpur sebagai lambang kemajuan, kedamaian, dan kekayaan Malaysia selepas merdeka. Ia turut mencerminkan kebanggaan terhadap pembangunan negara serta kesejahteraan yang dinikmati rakyat hingga ke hari ini.
Sejarah mengukir kisahnya, seperti yang tercatat di Arkib Negara Malaysia bahawa Kuala Lumpur asalnya adalah sebuah pekan kecil perlombongan bijih timah. Namun, kini ia telah dikenali di seluruh dunia sebagai ibu negara Malaysia yang pesat membangun. Wajah Kuala Lumpur telah melalui pelbagai transformasi, daripada deretan rumah atap nipah kepada bangunan pencakar langit, seperti berdirinya Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Merdeka 118. Kepesatan ekonomi juga telah memberi kesan kepada aspek pengangkutan di Kuala Lumpur. Dari zaman lanca dan beca hinggalah kepada sistem aliran ringan (LRT), keretapi ekspres (KLIA Ekpres) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART). Kemajuan ekonomi yang pesat ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai lubuk rezeki, dengan peningkatan penghijrahan penduduk ke bandar raya ini setiap tahun.
Kuala Lumpur Bandar Berbahaya ?
Tragedi Sinkhole di Masjid India
Namun disebalik kemajuan yang dikecapi, Kuala Lumpur baru-baru ini dikejutkan dengan tragedi yang mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar. Pada 23 Ogos 2024 yang lepas, tanpa diduga telah berlaku satu kejadian lubang benam (sinkhole) di Masjid India yang melibatkan seorang mangsa jatuh secara tiba-tiba ke dalam lubang sedalam lapan meter. Rentetan kejadian ini, berlegar-legar di media sosial spekulasi bahawa “Kuala Lumpur tidak selamat diduduki” yang menyebabkan tercetusnya ‘fear mongering’ dan kegusaran dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur. Kajian daripada Zeinab Bakhshipouri dan rakan-rakan pada tahun 2008 menyatakan kira-kira 40% (236.827 km²) kawasan Kuala Lumpur terletak di atas batu kapur dan mempunyai struktur geologi yang unik mencipta landskap karst dengan ciri-ciri seperti sinkhole. Formasi geologi utama termasuk Formasi Kenny Hill dan Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur, yang kedua-duanya cenderung kepada pembentukan kaviti disebabkan oleh tindak balas proses luluhawa yang memakan masa jutaan tahun. Kawasan ini juga mempunyai pelbagai jenis tanah, seperti aluvium dan tanah loam, yang menyumbang kepada kepelbagaian geologinya. Enam kawasan di Kuala Lumpur iaitu Pudu, Cheras, Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya adalah dilaporkan antara kawasan yang berisiko tinggi cenderung untuk terjadinya Sinkhole. Dapatan ini adalah berdasarkan kajian Mohd Asri Hakim dan rakan-rakan yang telah membangunkan Sinkhole Susceptibility Hazard Map (Peta Kecenderungan Bahaya Sinkhole). Kajian ini juga turut menyatakan fenomena sinkhole mudah terjadi di kawasan yang mempunyai batu kapur yang pesat dan aktif. Namun begitu, fenomena sinkhole bukanlah fenomena semula jadi yang baru dan proses pembentukannya memerlukan tempoh masa yang panjang. Terdapat juga kajian menyatakan bahawa faktor terjadinya sinkhole bukan sahaja berpunca daripada faktor geologi, tetapi juga mungkin dipengaruhi oleh faktor lain seperti aktiviti manusia terhadap alam sekitar/sistem semula jadi (Pengaruh Antropogenik) dan perubahan iklim. Oleh itu, isu ini memerlukan kajian dan siasatan mendalam daripada pakar untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan semasa Kuala Lumpur. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, menyatakan bahawa sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dengan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk menjalankan kajian terperinci mengenai struktur tanah, dengan tujuan memastikan keselamatan di kawasan sekitar Masjid India. Beliau juga menegaskan bahawa kenyataan mengenai “Kuala Lumpur tidak selamat” yang tersebar di media sosial adalah tidak tepat dan perlu disokong dengan bukti daripada kajian yang terperinci oleh pakar-pakar yang diiktiraf dan bertauliah.
Banjir Kilat
Tidak hanya insiden lubang benam yang menjadi perhatian, banjir kilat yang berlaku sehari sebelum kejadian tersebut juga menarik perhatian warga kota. Gambar-gambar kenderaan yang ditenggelami air di kawasan parkir berdekatan Pusat Dagangan Dunia (WTC) menjadi tular di media sosial, menunjukkan keseriusan banjir yang berlaku sejak jam 3 petang. Banjir ini dipercayai berpunca dari air yang bertakung serta limpahan daripada saluran air berhampiran. Isu banjir kilat di Kuala Lumpur, terutamanya ketika musim hujan lebat, adalah isu saban tahun yang memerlukan penyelesaian kerana melibatkan kerosakan harta benda, kesesakan lalu lintas dan juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia Bagi Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan nilai kerugian banjir di Kuala Lumpur adalah sebanyak 15.6 Juta yang merangkumi kerugian disebabkan oleh kerosakan kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan lain-lain. Kajian oleh Tariqur Rahman Bhuiyan dan rakan-rakan pada tahun 2022 turut melaporkan bahawa impak ekonomi daripada banjir kilat adalah besar kerana penduduk menanggung kerugian yang ketara, terutamanya dari segi kehilangan masa dan kerosakan infrastruktur. Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti hidup serta kestabilan ekonomi mereka dalam jangka masa panjang. Berdasarkan artikel penulisan Umi Kalsom Ariffin dan Wan Mohd Ya’akob Wan Bejuri yang bertajuk Bencana Banjir Kilat di Malaysia: Penyebab, Penyelesaian dan Pengurusan menyatakan trend kejadian banjir kilat semakin menunjukkan peningkatan terutamanya di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur. Selain itu, artikel ini juga menyatakan banjir terburuk yang pernah berlaku adalah pada Disember 2021 yang turut melibatkan Kuala Lumpur diikuti pada tahun 2023 dan terkini pada Ogos 2024 yang lepas.
Kesesakan Lalu Lintas
Kesesakan lalu lintas begitu sinonim dengan bandar-bandar besar lebih lebih lagi Kuala Lumpur. Kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal, terutama pada waktu puncak, menggambarkan kepadatan penduduk kota yang kian meningkat. Menurut Dr. Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim yang merupakan Pensyarah Kanan (Kejuruteraan Pengangkutan) Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan lebih tiga juta kenderaan keluar masuk setiap hari di Kuala Lumpur dan untuk waktu puncak, lebih 10,000 unit kenderaan keluar masuk dalam sejam. Beliau juga turut menyatakan secara puratanya setiap bulan penduduk di kawasan berkepadatan tinggi ini terpaksa membazir masa 44 jam dengan jumlah nilai kerugian produktiviti RM308 membabitkan bahan bakar dan sebagainya. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaporkan bahawa purata tahap perkhidmatan (Level of Service, LOS) di jalan-jalan utama Kuala Lumpur berada pada Tahap E semasa waktu puncak. Tahap ini mencerminkan aliran trafik yang tidak stabil dengan kelajuan yang berubah-ubah, di mana sebarang gangguan boleh menyebabkan kelewatan serius dan mengurangkan tahap keselesaan pemandu, terutamanya di kawasan bandar besar.Turut dilaporkan di akhbar, pakar menyuarakan kebimbangan bahawa jika masalah kesesakan lalu lintas ini berterusan, usaha untuk membangunkan ekonomi negara mungkin tidak akan mencapai potensi sebenar. Menurut mereka, kesesakan lalu lintas adalah salah satu faktor utama yang menjejaskan produktiviti tenaga kerja.
Mencontohi Konsep “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur”
Konsep “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” yang diambil dari Al-Quran menggariskan bahawa selain pembangunan fizikal, kesejahteraan dan kemakmuran sesuatu tempat haruslah disandarkan kepada prinsip keadilan, kepimpinan yang bijaksana, serta kesejahteraan rakyat. Konsep ini boleh dicontohi dalam usaha menjaga Kuala Lumpur agar menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja maju dari segi infrastruktur tetapi juga sejahtera dari segi sosial dan alam sekitar, mencerminkan keseimbangan antara kemajuan duniawi dan keharmonian spiritual, seperti yang ditekankan dalam konsep ini. Pembangunan yang adil dan mampan akan memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat menikmati kemakmuran tanpa mengabaikan tanggungjawab moral dan etika kepada Allah SWT dan alam sekeliling. Memetik kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak berhasrat membina mercu tanda baharu dan cukup mercu tanda sedia ada seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara TRX. Apa yang lebih penting pada beliau ialah, menjaga Kuala Lumpur serta menjana keupayaan kota, kebersihan dan keindahan. Sesuai dengan semangat konsep “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur“, pembinaan sebuah negara perlu berasaskan keimanan dan ketakwaan yang kukuh, dengan kepimpinan yang adil serta rakyat yang hidup dalam kesejahteraan sosial dan ekonomi.
Melihat kepada isu-isu di atas, adakah pembangunan yang semakin rancak itu menambah baik kualiti hidup di Kuala Lumpur, atau adakah ia turut membawa kesan sampingan? Walaupun pembangunan pesat membawa perubahan positif dari segi ekonomi dan infrastruktur, kita juga perlu merancang agar pertumbuhan ini dijalankan dengan cara yang lestari dan tidak mengundang masalah seperti risiko bencana alam dan kesesakan yang semakin serius.
Surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Ayat ini menekankan bahawa setiap bencana yang berlaku adalah disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri yang melampaui batas. Kejadian lubang benam, banjir kilat, dan kesesakan lalu lintas mungkin menjadi isyarat bahawa kita perlu menyeimbangkan antara pembangunan dan kelestarian untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang selamat untuk didiami. Namun begitu, insiden yang berlaku telah mendorong pihak berwajib untuk memberi perhatian serius dan menilai semula strategi sedia ada. Menurut laporan akhbar bertarikh 26 Ogos 2024, kerajaan dijangka mengkaji semula dasar perancangan bandar di ibu negara bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini. Selain itu, berikutan insiden lubang benam di Masjid India, berkuat kuasa serta-merta syarat baharu iaitu, setiap permohonan kebenaran merancang untuk pembinaan bangunan di Kuala Lumpur perlu disertakan dengan laporan geoteknikal yang disediakan oleh jurutera bertauliah. Bagi isu banjir kilat pula, pihak DBKL turut komited dalam mengenalpasti kawasan hot spot serta mengambil langkah segera termasuk mempercepatkan projek mitigasi bagi mengatasi isu banjir kilat. Semoga usaha-usaha ini, Kuala Lumpur terus terpelihara demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Penulis :
Cik Naida binti Rosli,
Jurutera Awam, Unit Teknikal dan Prasarana IKIM
dan
Ir. Mohd Safwan bin Harun,
Jurutera Awam/ Ketua Unit Teknikal dan Prasarana IKIM