Individu dan masyarakat merupakan mangsa yang paling merasai kesan sesuatu peristiwa bencana. Ada ketikanya, proses pemulihan mangsa akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Oleh itu, aspek pemulihan mangsa perlu diberikan perhatian yang serius. Dr. Furqan Ishak Aksa dari Universiti Samudera, Aceh telah menulis sebuah kertas jurnal yang menarik bertajuk “Islamic Perspectives in Disaster: An Alternative to Changing Fatalistic Attitudes.” Penulisan ini telah memberikan satu perspektif menarik tentang bencana dari sudut pandang Islam. Secara umumnya, Dr. Furqan cuba menunjukkan bahawa salah faham terhadap ajaran Islam adalah punca kepada sikap fatalistik umat Islam terhadap bencana.
Sikap fatalistik berkaitan rapat dengan kepercayaan bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan adalah di luar kawalan manusia. Pemahaman ini seolah-olah mengajar masyarakat untuk menerima bencana dan kesannya sebagai takdir semata-mata. Kepercayaan ini tidaklah salah sepenuhnya tetapi ia seolah-olah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang pasif. Sedangkan sebaliknya, dalam berhadapan dengan bencana terdapat banyak garis panduan dan nilai Islam yang bersifat proaktif. Dengan kata lain, ajaran Islam menggalakkan umat Islam berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib dan bukannya menerima takdir dirinya semata-mata.
Dr. Furqan telah memberikan tumpuan kepada tiga konsep penting untuk menangani sikap fatalistik iaitu al-Ilmu (ilmu), ikhtiar (usaha) dan tawakal (tawakal kepada Allah SWT). Selain sikap fatalistik, ketiga-tiga konsep ini juga penting dalam usaha pemulihan mangsa bencana. Oleh itu, makalah ini akan membincangkan ketiga-tiga konsep tersebut dalam konteks pemulihan bencana.
Dalam pengurusan pengurangan risiko bencana, pengetahuan adalah penting. Menuntut ilmu sememangnya satu kewajipan bagi setiap Muslim (Ibn Majah) kerana ilmu mendekatkan umat Islam kepada Allah SWT. Dengan ilmu juga, kita dapat mempelajari dan memahami pelbagai perkara berkaitan bencana seperti punca bencana, kesiapsiagaan bencana, tindakan yang perlu dilakukan apabila bencana berlaku dan pelbagai cara yang berbeza untuk mengatasi cabaran bencana serta pemulihan daripada bencana.
Berdasarkan kenyataan itu, pendidikan awam berkaitan bencana adalah penting. Pendidikan ini boleh dilaksanakan secara formal mahupun tidak formal. Tumpuan utama pendidikan bencana seharusnya kepada pendidikan bencana berasaskan pengalaman. Hal ini kerana pendidikan bencana berasaskan pengalaman menawarkan pengalaman pembelajaran yang menarik dan praktikal.
Mungkin pengalaman Jepun dalam pendidikan awam berkaitan bencana boleh dijadikan panduan. Jepun mempunyai beberapa pusat pendidikan bencana. Di Tokyo sahaja terdapat tiga pusat pendidikan bencana iaitu di Ikebukuro, Honjo dan Tachikawa. Kemudahan yang sama juga terdapat di Kyoto. Tujuan penubuhan pusat ini adalah untuk mendidik dan menyediakan maklumat penting dan peluang kepada pelawat untuk belajar tentang bencana dengan kaedah yang menarik dan menyeronokkan serta memberi peluang pengunjung merasai pengalaman secara langsung tentang pelbagai bentuk bencana. Pusat ini turut menawarkan latihan pengurusan bencana kepada orang ramai dan pelajar melalui pelbagai jenis institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Dalam masa yang sama, kerajaan tempatan dan pelbagai agensi penyelamat turut menawarkan dan menjalankan latihan bencana bersama masyarakat.
Selain ilmu, satu lagi nilai Islam yang juga signifikan dan menyokong usaha pemulihan bencana ialah ikhtiar atau usaha. Ikhtiar merangkumi kegigihan seseorang untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam setiap tindakan dan pekerjaan. Dalam konteks pemulihan bencana, ikhtiar menggalakkan kita berusaha untuk pulih selepas sesuatu bencana yang melanda dan melakukan tindakan tertentu untuk menangani kesan bencana akan datang. Nilai ikhtiar atau usaha diakui dalam Islam dan dinyatakan dengan jelas melalui ayat 11, surah Ar-Rad. Manakala, persediaan Nabi Nuh sebelum bencana (banjir) yang disebut dalam surah Hud ayat 25-49 jelas membuktikan ikhtiar Baginda membuat persediaan menghadapi bencana demi mengurangkan kesan buruk bencana itu. Begitu juga kisah Nabi Yusuf dan persiapannya menghadapi musim kemarau yang disebut dalam surah Yusuf ayat 46-49. Kisah ini jelas menunjukkan bahawa tindakan Baginda itu adalah satu bentuk usaha menghadapi kemarau yang berpanjangan.
Selanjutnya, nilai tawakal (tawakal kepada Allah) melibatkan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT selepas sesuatu kerja keras yang telah dilaksanakan. Nilai ini merangkumi dua aspek penting iaitu kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dan ini disertai pula dengan usaha atau tindakan (amal) manusia untuk mencapai hajat atau keperluannya. Tawakal melibatkan penyerahan sepenuhnya takdir kita kepada Allah SWT dan amal melibatkan usaha bersungguh-sungguh manusia untuk mencapai sesuatu. Tawakal berbeza dengan pasrah kerana dengan pasrah, seseorang itu membiarkan nasibnya ditentukan oleh takdir tanpa usaha yang khusus.
Menurut Dr Maila Dinia Husni Rahiem dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta dalam penulisan beliau yang bertajuk “Religious Interpretations and Psychological Recovery from the Aceh 2004 Tsunami: The Promise of Heaven, Healing the Trauma,” konsep tawakal berasal daripada al-Quran dan memberi kesan positif kepada proses pemulihan trauma psikologi akibat bencana. Tawakal ialah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan disusuli dengan usaha-usaha membantu pemulihan mangsa daripada bencana. Walaupun tempoh pemulihan berbeza antara satu mangsa dengan mangsa yang lain, tawakal membantu menguatkan jiwa mangsa dalam menghadapi sebarang ancaman bencana. Pada masa ini, kerajaan Malaysia telah menyediakan sistem dan kemudahan tertentu untuk membantu usaha pengurangan risiko bencana dan mengurangkan impak bencana. Malaysia turut mempunyai sistem amaran awal bencana. Namun begitu, semua sistem dan kemudahan yang menyokong usaha pengurangan risiko bencana tidak akan berjaya tanpa sokongan aspek bukan material seperti sokongan psikologi, kerjasama pihak berkepentingan dan pendidikan bencana. Justeru, usaha pengurangan risiko bencana adalah bersifat holistik dan sebahagian daripadanya melibatkan pemahaman dan amalan nilai serta bimbingan agama. Ringkasnya, kepercayaan dan keyakinan agama adalah sumber kekuatan untuk mangsa pulih atau bangkit selepas malapetaka bencana.