Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim “Sekiranya kita ingin mengangkat darjat negara, setiap orang perlu lakukan anjakan dan perubahan islah mastata’tu (sedaya upaya mendesak perubahan ke arah kebaikan)”. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi merupakan tokoh ilmuwan Islam kontemporari yang membawa perubahan amali dan relevan dengan kehidupan masyarakat. Al-Qaradhawi menyerlahkan faham islah dan tajdid berpaksikan maqasid syariah, satu pendekatan yang boleh dijadikan teras dan kerangka masyarakat madani.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, lahir pada 9 September 1926 di Mesir, merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang sangat berpengaruh di abad ke-20 dan 21. Kehilangan ayah pada usia dua tahun tidak menghalangnya menjadi seorang ilmuwan yang disegani. Bayangkan, di usia 10 tahun, beliau telah menghafal Al-Quran. Berbekalkan ketekunan dan kecintaannya terhadap ilmu agama sejak kecil, beliau meraih kelulusan pelbagai bidang ilmu di universiti Islam terkemuka di dunia, Universiti Al-Azhar.
Namun, keberadaan beliau diharamkan di tanah kelahirannya Mesir, menyebabkan beliau tinggal di Doha, Qatar dan diangkat menjadi Mufti di sana. Beliau menjadi tetamu rancangan al-Sharī’ah wa al-Hayāh (Syariah dan Kehidupan) yang disiarkan di Al-Jazeera yang dianggarkan penontonnya sekitar 40-60 juta orang seluruh dunia. Al-Qaradhawi dikenali dengan kehidupan yang sederhana dan dedikasinya terhadap ilmu. Meninggal dunia pada 26 September 2022, mewariskan legasi pemikiran yang akan terus mempengaruhi dunia Islam.
Beliau seorang pemikir yang berani menangani isu-isu kontemporari dengan pandangan yang progresif. Walaupun begitu, fatwa dan pandangannya, beliau dihormati ramai dan pernah diangkat sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa. Karyanya terserlah dengan penulisan lebih 120 buah buku menawarkan penyelesaian praktikal isu kontemporari pelbagai topik, dari fiqh dan tafsir hingga isu-isu ekonomi, sosial dan politik. Buku beliau yang paling terkenal bertajuk ‘Halal dan Haram dalam Islam’ dan “Ketamadunan Masa Depan”. Menerima pelbagai anugerah dan hadiah antarabangsa kerana sumbangan beliau dalam keilmuan Islam. Beliau tidak gentar mengeluarkan fatwa yang mencabar pemikiran tradisional.
AL-Qaradhawi menggabungkan prinsip islah dan tajdid yang sangat penting dalam membina kerangka pemikiran masyarakat. Menurut Ibn Kathir, Imam Al-Baydhawi dan beberapa ulama tafsir lain bahawa ayat “Aku hanya hendak memperbaiki sedaya upayaku…” (Surah Hud: 88) bermaksud sesuatu perubahan dalam menuruti perintah Allah, meninggalkan laranganNya, menyeru kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran sedaya upaya kemampuan dan kekuatan yang ada. Sayyid Qutb (dalam Fi Zilāl al-Qurān) menafsirkan ayat ini juga menyentuh tentang perubahan untuk kesejahteraan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu dan kelompok masyarakat.
Islah merujuk kepada proses perbaikan dan pembaharuan iaitu “menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh atau rosak” (Lisān al-Arab, Ibn Manzur) dalam semua aspek kehidupan, baik individu mahupun masyarakat. Tajdid pula merujuk kepada usaha menghidupkan kembali ajaran Islam yang sebenar dan mengamalkannya dalam konteks semasa. Ia melibatkan proses penyegaran pemahaman, pentafsiran dan aplikasi ajaran Islam agar relevan dengan perkembangan zaman.
Al-Qaradhawi melihat islah menyediakan landasan untuk tajdid, manakala tajdid memberikan arah dan tujuan kepada islah. Prinsip-prinsip islah dan tajdid menurut al-Qaradhawi hendaklah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama ajaran Islam. Islah dan tajdid perlu bersifat menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan, bukan hanya tertumpu pada aspek tertentu sahaja dan menitikberatkan keseimbangan antara aspek duniawi dan ukhrawi, material dan spiritual, individu dan masyarakat. Kepentingan umum haruslah diutamakan dalam setiap usaha pembaharuan dan dilakukan secara beransur-ansur dan berperingkat, dengan mengambil kira realiti dan kemampuan masyarakat.
Al-Qaradhawi menekankan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam beragama, menolak ekstremisme dan fanatisme, serta menggalakkan dialog dan toleransi. Al-Qaradhawi menekankan pentingnya memahami maqasid syariah (tujuan-tujuan syariat) dalam mengaplikasikan hukum Islam, agar ia relevan dengan keperluan semasa dan membawa kebaikan kepada manusia.
Antara pandangan beliau yang dianggap progresif seperti mengharuskan pemindahan organ, menghalalkan insurans dan pelaburan saham, serta membenarkan wanita menjadi pemimpin. Al-Qaradhawi mengharuskan insurans konvensional dengan syarat-syarat tertentu, selagi tidak melibatkan unsur riba dan gharar (ketidakpastian). Pandangan ini dianggap praktikal kerana insurans merupakan keperluan penting dalam kehidupan moden.
Al-Qaradhawi membenarkan wanita memegang jawatan kepimpinan dalam kerajaan, selagi tidak melanggar prinsip-prinsip syariah. Pandangan ini dianggap progresif dan membuka ruang yang lebih luas bagi penyertaan wanita dalam masyarakat. Beliau membenarkan zakat dibayar dalam bentuk wang tunai dan disalurkan kepada pelbagai projek pembangunan, bukan hanya terhad kepada golongan asnaf yang lapan seperti dalam pandangan tradisional. Ini dianggap lebih praktikal dan efektif dalam menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat.
Pandangan-pandangan ini mencetuskan perdebatan dan tentangan daripada golongan konservatif. Al-Qaradhawi merupakan seorang pemikir yang berani mengemukakan pandangan baharu dan relevan dengan zaman, walaupun kadangkala mencetuskan kontroversi. Pendekatannya yang praktikal dan seimbang menjadikan pemikirannya diterima oleh ramai umat Islam di seluruh dunia.
Biografi Syeikh Yusuf al-Qaradhawi penuh inspirasi mempamerkan kegigihannya dalam menuntut ilmu, keberaniannya menyuarakan pemikiran progresif dan dedikasinya pada Islam menjadikannya seorang tokoh yang sangat berpengaruh di dunia. Pemikiran al-Qaradhawi merupakan anjakan dan perubahan yang memberikan sumbangan yang besar kepada usaha pembaharuan dalam dunia Islam. Pendekatannya yang seimbang, progresif dan berlandaskan kepada sumber-sumber asali menjadikannya rujukan prinsip islah dan tajdid bagi umat Islam dalam menghadapi cabaran zaman mendatang.