Hirarki pengurusan sisa negara kita melibatkan tiga komponen penting iaitu mengurangkan sisa (reduce), mengguna semula (reuse) dan mengitar semula (recycle). Antara tiga komponen ini, mengurangkan sisa merupakan komponen yang sangat penting. Namun malangnya, komponen ini tidak begitu dikenali atau dipromosikan berbanding komponen ketiga iaitu mengitar semula.
Hasilnya, kebanyakan daripada masyarakat awam lebih biasa menyebut atau mendengar tentang mengitar semula. Jika ditanya, ramai yang boleh bercakap akan hal ini. Malah, banyak juga rungutan awam yang berkait dengan kesukaran mencari tong kitar semula, tempat pengumpulan barang kitar semula yang jauh dari rumah, tidak faham tentang pengasingan sampah, kelecehan mengitar semula dan tidak ketinggalan tentang nilai barang kitar semula yang terlalu rendah.
Bukan itu sahaja, promosi atau iklan juga lebih banyak menjurus kepada mengitar semula. Mungkin ramai yang masih ingat tentang iklan beberapa suri rumahtangga yang berbincang tentang kitar semula. Begitu juga tentang iklan beberapa anak muda yang sedang menonton bola di samping berbincang tentang sampah yang mereka hasilkan ketika menonton serta bagaimana mengitarnya.
Jadi, persoalannya di sini, bagaimana dengan komponen mengurangkan sampah? Ini merupakan komponen terpenting dalam hirarki pengurusan sisa negara tetapi kenapa komponen ini tidak mendapat promosi sehebat mengitar semula?
Pada pandangan penulis, jika matlamat mengurangkan sisa negara ingin dicapai maka komponen pengurangan sisa perlu diberikan perhatian yang lebih. Ini kerana matlamat pengurangan sisa hendaklah bermula dengan tidak menghasilkan sisa atau mengurangkan jumlah sisa masuk ke sistem alam ini. Namun sayangnya, hal ini tidak dipromosikan kepada masyarakat umum.
Pengurangan sumber ini adalah tanggungjawab semua pihak iaitu pengguna pengeluar dan juga kerajaan. Bagi pengguna pengurangan sumber perlu bermula dengan mengurangkan pembelian atau penggunaan barangan yang akan menghasilkan banyak sisa. Misalnya, janganlah beli barangan yang menggunakan berlapis-lapis bungkusan plastik, bawalah bekas sendiri semasa membeli makanan atau pilihlah barangan yang mesra alam sekitar dari segi penghasilan, penggunaan bahan dan pembungkusan.
Bagi pengeluar barangan pula, mereka juga hendaklah memastikan barangan yang dihasilkan itu mesra alam sekitar. Peranan pengeluar penting kerana mereka boleh menentukan agar keseluruhan proses pengeluaran barangan itu tidak akan menjejaskan alam ini. Oleh itu barang yang dihasilkan pengeluar boleh dianggap mesra alam. Dalam hal ini, penghasilan barangan mengikut piawaian ISO 14000 dan Amalan Pengilangan Baik perlu diberikan keutamaan.
Namun, perlu juga dinyatakan di sini bahawa pada kebiasaannya, barangan yang dikeluarkan berdasarkan syarat yang disebutkan di atas, agak mahal harganya. Hinggakan, ramai pengguna yang prihatin dengan alam sekitar sering merungut tentang tingginya harga barangan yang mesra alam berbanding barangan yang tidak mesra alam. Bagi sesetengah individu, mereka tidak kisah untuk berkorban namun tidak semua orang mampu melakukan pengorbanan itu.
Oleh itu, di sinilah peranan kerajaan sangat diperlukan. Pemberian lebih banyak insentif bagi pengeluar barangan dan perkhidmatan yang mesra alam sangat diperlukan. Dengan pemberian insentif seperti ini, diharapkan harga barangan alam sekitar boleh dikawal sehingga mampu dimiliki oleh semua orang. Dalam pada itu, pemberian insentif yang pelbagai ini juga akan menarik lebih ramai pengeluar untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang tidak akan menjejaskan alam ini.
Dalam pada itu juga, diharapkan kerajaan melalui undang-undang atau peraturan sedia ada atau memperkenalkan undang-undang atau peraturan baru, boleh mewajibkan apa-apa proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang ingin ditawarkan di negara ini hendaklah ianya mesra alam iaitu mengguna sumber yang minima, menghasilkan sisa yang minima serta tidak toksik dan proses pengeluaran barangan yang mesra alam. Dengan harapan ini, moga-moga pada satu ketika nanti di Malaysia akan terdapat hanya pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang tidak menjejaskan alam yang kita huni ini.
Penjelasan di atas membuktikan bahawa pengurangan sampah sangat penting. Namun ini tidak bermakna bahawa aspek guna semula dan kitar semula tidak penting. Ketiga-tiga proses ini saling kait mengait dalam usaha kita mencapai matlamat sisa sifar. Oleh itu ketiga-tiganya perlu diberikan perhatian dan promosi yang sama. Tidak ada gunanya kita mengajar masyarakat mengitar dan mengguna semula barangan yang mereka beli jika mereka tidak tahu mengurangkan jumlah sampah itu.
Ini kerana, ketidakfahaman tentang konsep mengurangkan sampah akan menyebabkan orang terus membeli dan membeli lalu menghasilkan sampah yang banyak. Lagipun, berapa banyak sampahkah yang boleh dikitar atau diguna semula? Hal ini menjadi lebih buruk bila kadar kitar semula negara ini masih terlalu rendah. Oleh itu, matlamat mengurangkan penghasilan sisa perlu dididik di kalangan ahli masyarakat.
Mengurangkan penghasilkan sisa memberi makna yang sama dengan menjimatkan penggunaan sumber yang ada. Ingatlah bahawa tanggungjawab ini adalah tanggungjawab semua pihak kerana kita semua adalah khalifah yang dilantik untuk memakmurkan bumi. Dalam hal ini menjaga sumber alam amanah Allah adalah satu daripada tugas seorang khalifah.
Dalam hal ini, andaikan kita tidak memerlukan barangan itu maka hapuskanlah hasrat memilikinya. Ini tidak akan menjadikan kita kurang atau miskin malah sesungguhnya kita melakukan kebaktian dengan memelihara alam ini.