Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) membuka jemputan kepada masyarakat Malaysia untuk turut serta dalam “Persidangan Antarabangsa mengenai Peranan Negara Islam dalam Dunia Sejagat.” Persidangan ini dijadualkan berlangsung pada 17-18 Julai 2007, bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Islam tidak memisahkan antara Agama dan Negara. Sebagai satu contoh, Aqa’id al-Nasafi yang ditulis sekitar abad keenam Hijrah (kedua belas Masihi) merakamkan kesepakatan umat mengenai kemestian untuk semua orang Islam memiliki Negara yang berdaulat.
Iaitu, Negara yang mampu mempertahankan perbatasannya daripada pencerobohan, memberi keadilan kepada yang dianiaya daripada yang menganiaya (tanpa mengira agama), dan menguat-kuasakan segala undang-undang (tanpa mengira pangkat dan kedudukan).
Mengenai penguatkuasaan perundangan dan hukum, jelas bahawa antara matlamatnya adalah untuk mencegah para penjenayah daripada mengulangi perlakuan jahat mereka. Ia juga bertujuan untuk menghindar orang yang lain dari berbuat jenayah yang sama. Ini kerana, sekiranya dibiarkan berleluasa, jenayah seperti keganasan, kecurian dan samun boleh menggugat keamanan masyarakat dan mengganggu penghayatan agama dalam kehidupan.
Aqa’id al-Nasafi juga ada menekankan kewajiban Umat Islam untuk menegakkan sistem kehakiman yang memberi keputusan yang adil mengenai sebarang pertikaian yang dibicarakan di mahkamah.
Dari segi perekonomian pula, Allah telah menyatakan dalam al-Qur’an supaya “harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja” (al-Hashr, 59: 7). Ini menuntut kepada sistem pentadbiran yang berdaulat lagi cekap untuk menguatkuasakan cukai terhadap pihak yang berada. Cukai serta hasil negara yang selainnya perlu diagihkan sebagai hak golongan yang memerlukan seperti fakir-miskin, golongan yang ditimpa bencana, dan golongan lain yang seumpamanya (al-Dhariyat, 51: 19; al-Ma’arij, 70: 24-25).
Dalam suasana global masakini yang dicengkam kuasa Barat pascamoden, semakin jelas bahawa Negara Islam dituntut untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan dalam pelbagai dimensinya, sama ada pendidikan, bahasa, ekonomi, politik, perundangan, teknologi mahupun seni.
Pertama-tamanya, demi menghargai cita-cita manusia ke arah kecemerlangan rohaniah, Negara-Negara Islam perlu menyelenggarakan pendidikan seumur hidup yang bersepadu lagi bermutu tinggi buat semua warganya.
IKIM percaya bahawa konsep-konsep dalam ilmu-ilmu Islam sememangnya mempunyai kekuatan pemersatu yang tersendiri. Ini termasuklah bagi mereka yang menganut faham agama selain Islam, tetapi turut menentang proses sekularisasi dunia, pensekularan nilai-nilai akhlak dan sekularisasi politik.
Negara-Negara Islam juga harus menggalakkan model alternatif keserasian pelbagai kaum. Iaitu, keharmonian yang berasaskan kepada semangat untuk menghayati ajaran-ajaran akhlak yang diajarkan oleh agama masing-masing. Ajaran-ajaran akhlak tersebut adalah selari (parallel) antara satu sama lain.
Kedua, sebagai jaminan terhadap hak manusia (tanpa mengira agama) untuk hidup aman dan selamat, Negara-Negara Islam perlu membantu usaha-usaha ikhlas untuk menghapuskan ancaman sebenar ekstremisme, terrorisme, jenayah keganasan dan peperangan.
Ketiga, demi memelihara keperluan manusia (tanpa mengira agama) terhadap kemaslahatan ekonomi, Negara-Negara Islam perlu memperkukuh usaha untuk menghapuskan eksploitasi sosio-ekonomi dan kemiskinan, pada peringkat antarabangsa amnya dan pada peringkat kebangsaan khasnya.
Keempat, Negara-Negara Islam juga perlu menghulurkan sumbangan yang bermakna terhadap perjuangan sejagat untuk melindungi alam daripada pencemaran, dan memelihara keseimbangan persekitaran yang sihat lagi menyegarkan.
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, perbincangan yang strategik haruslah ditumpukan kepada modus operandi untuk menyegarkan semula Umat Islam dalam rangka global, khasnya menerusi sistem pendidikan dan institusi-institusi pemikiran yang dipimpin oleh para ilmuwan yang mampu menggembling unsur modal insan.
Sistem pendidikan dan institusi-institusi pemikiran Negara Islam harus mampu membangunkan model-model alternatif lagi konstruktif yang berasaskan ajaran-ajaran Islam mengenai ‘adalah, masalih dan mafasid, maqasid al-shari’ah, dan yang seumpamanya lagi.
Dalam bingkai ini, bidang-bidang utama yang harus dibicarakan termasuklah mengenai sistem ekonomi dan kewangan yang patut dan layak dalam menghadapi cabaran global; kaedah berkesan untuk mengendalikan pertentangan dan keamanan sejagat; halatuju sains dalam Negara Islam; masa depan Kesenian, Bahasa dan Senibina Islam; serta penilaian kritis terhadap sistem Kehakiman, Media dan Ketenteraan dalam Negara-Negara Islam masakini.
Mereka yang berminat untuk turut menyertai “Persidangan Antarabangsa mengenai Peranan Negara Islam dalam Dunia Sejagat” adalah dipersilakan untuk menghubungi sama ada Puan Sarina Othman (Pengurus Program IKIM) atau Encik Mohd Sholihin Mohamad (Penolong Pengurus Program) di 03-62046320 / 321 / 322 / 323 (telefon), 03-62046201 / 62014189 (faks), atau [email protected] / [email protected](emel).