Inovasi merupakan salah satu pra syarat utama bagi sesebuah syarikat dapat bertahan di dalam sesuatu perusahaan. Persaingan di peringkat antarabangsa yang dimangkin oleh proses pensejagatan ekonomi telah menyebabkan peningkatan kemunculan sesuatu inovasi berlaku pada kadar yang pantas sekali. Justeru, jangka hayat sesuatu produk dan perkhidmatan menurun dan pengguna telah menjadi terbiasa dengan penambahbaikan produk atau perkhidmatan yang berterusan sepanjang tahun.
Oleh sebab itu jugalah kepantasan sesebuah firma mencipta sesuatu yang baru atau memperkenalkan inovasi menjadi satu asas kepada persaingan perniagaan dewasa ini. Jadi tak hairanlah jika dikatakan keperluan untuk memperkukuhkan aspek yang berkaitan dengan aktiviti inovasi di dalam keseluruhan perjalanan organisasi akan menjadi satu cabaran kepada firma dalam masa-masa terdekat ini.
Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan inovasi sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adapt dan lain-lain. Ia juga dirujuk sebagai perihal atau tindakan mengadakan atau memulakan sesuatu yang baru.
Dari perspektif syarikat, Luecke dan Katz (2003) mentakrifkan inovasi sebagai satu pengenalan benda atau kaedah di mana ia merupakan satu gambaran, kombinasi atau sintensis ilmu yang wujud dalam keadaan yang asli, mempunyai kepentingan serta nilai pada sesuatu produk atau proses atau perkhidmatan yang baru.
Selalunya inovasi akan melibatkan unsur kreativiti. Akan tetapi keduanya adalah tidak sama kerana inovasi melibatkan tindakan terhadap idea kreatif bagi membolehkan idea kreatif tadi dijelmakan dalam bentuk yang boleh dipegang dan dirasa; sedangkan kreativiti merupakan satu kemampuan untuk mengimaginasi dan melihat sesuatu perkara atau benda itu melalui satu pendekatan yang berbeza atau lain dari yang sepatutnya.
Oleh yang demikian, ada juga penyelidik yang mendefinasikan inovasi ini sebagai satu kejayaan pelaksanaan idea kreatif di dalam sesebuah organisasi. Dalam hal ini, kreativiti yang dimiliki oleh individu atau sebuah pasukan itu merupakan titik tolak kepada inovasi.
Disebabkan peri pentingnya unsur inovasi ini dalam memastikan kelangsungan syarikat, maka tak hairanlah kalau kita dapati 50 syarikat dunia yang paling inovatif untuk tahun 2007 yang disiarkan di laman sesawang BusinessWeek baru-baru ini merupakan firma-firma yang sentiasa memastikan kelainan sentiasa berlaku ke atas barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pihak pengguna.
Kajian BusinessWeek dengan Boston Consulting Group yang bermula Oktober 2006 dan berakhir pada Mac 2007 itu telah melibatkan 1500 syarikat besar seluruh dunia telah menyenaraikan Apple, Inc. sebagai syarikat yang paling inovatif untuk tahun ketiga berturut-turut. Manakala Google, Toyota, General Electric dan Microsoft, masing-masing berada ditangga kedua hingga kelima.
Tentu ada yang berpandangan bahawa dapatan kajian ini tidaklah begitu luas biasa kerana syarikat-syarikat ini mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan pengalaman untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan yang seterusnya membantu dalam menghasilkan sesuatu yang inovatif dan menepati kehendak pelanggan.
Akan tetapi, tidak semua inovasi bersandarkan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang memerlukan kos yang tinggi. Ada kalanya, satu idea kreatif yang pada awalnya tidak memerlukan kos yang besar boleh dikembangkan menjadi satu projek yang menguntungan dan diterima ramai.
Sebagai contoh, Post-it-Note yang kita gunakan hari ini yang bermula dengan penemuan sejenis gam yang tidak begitu melekat oleh Dr Spencer Silver pada 1968. Gam ini kemudiannya digunakan oleh Arthur Fry (seorang pencipta di 3M) untuk memastikan penanda bukunya tidak terjatuh. Konsep ini kemudiannya dikomersialkan dan hasilnya post-it-note kini diguna di seluruh dunia.
Begitu juga dengan kes mi segera. Ia bermula daripada cetusan idea penciptanya iaitu Momofuku Ando yang melihat orang ramai beratur panjang untuk membeli mi ‘ramen’ segar dari sebuah gerai pasaran gelap ketika berlakunya kekurangan makanan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Hari ini mi segera menjadi salah satu makanan segera popular yang bukan saja dinikmati oleh orang-orang Jepun, malah turut dinikmati oleh masyarakat antarabangsa serta pernah dibawa ke angkasa lepas oleh angkasawan Discovery..
Bagaimanapun, sesebuah syarikat tidak seharusnya unsur inovasi ini dalam konteks penciptaan barangan atau perkhidmatan semata-mata. Ini kerana inovasi juga boleh wujud dalam bentuk model perniagaan baru sebagaimana konsep francais perniagaan. Selain itu, inovasi juga boleh wujud dalam strategi pemasaran sepertimana sesetengah syarikat yang menawarkan perkhidmatan di luar waktu pejabat atau pada hari minggu.
Begitu juga dengan strategi sumber manusia serta proses penjenamaan syarikat. Konsep-konsep seperti out-sourcing, konsep modal insan dan penjenamaan semula syarikat agar lebih menampakkan satu imej yang lebih universal; adalah antara inovasi-inovasi yang mendapat perhatian syarikat kebelakangan ini. Inovasi-inovasi ini berfungsi untuk mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai syarikat serta meluaskan ruang pasaran yang sedia ada.
Jadi, jika kita ingin melihat syarikat-syarikat negara kita pada suatu hari nanti tersenarai sebagai salah sebuah syarikat yang paling inovatif di dunia, maka kita perlu memastikan unsur inovasi ini dijadikan sebagai budaya di kalangan masyarakat.
Kebebasan berfikir, pengiktirafan terhadap idea yang dikemukakan serta wujudnya satu mekanisme bagi membolehkan sesuatu idea kreatif itu dikomersialkan merupakan antara keperluan-keperluan yang mesti diambil kira sekiranya kita mahu apa yang diinginkan di sini menjadi kenyataan.
Tanpa adanya halangan-halangan yang menyekat kebebasan berfikir ini, sesuatu idea yang bernas itu akan menjadi pencetus kepada idea-idea lain yang lebih baik. Inilah juga pegangan 3M. sehingga kini, 3M telah menghasilkan lebih 50000 produk yang inovatif. Rahsianya ialah dengan memberi kebebasan kepada para pekerja untuk mengambil risiko dan mencuba idea yang baru.