
Kursus ‘Pengurusan Harta Keluarga Islam Siri 2020’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah berlansung pada 8-9 September 2020 di Dewan Besar IKIM.
Penganjuran program ini merupakan usaha dan inisiatif pihak IKIM dalam memberi kefahaman kepada masyarakat awam dalam hal-ehwal orang Islam, dan dalam konteks ini pengurusan harta keluarga Islam. Program ini mengandungi tujuh sesi yang merangkumi sesi pengenalan kepada pengurusan harta keluarga Islam; hibah dari aspek hukum, prosedur dan pengalamannya di Malaysia; wasiat dari sudut hukum, undang-undang prosedur dan kes-kes yang pernah diputuskan oleh mahkamah syariah; pengurusan harta orang hilang (mafqud); harta sepencarian; pewarisan dalam Islam; dan hal-ehwal pentadbiran harta pusaka orang Islam. Ketujuh-tujuh sesi ini dibentangkan oleh kalangan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing seperti Penyelidikan, Peguam Syarie, Hakim Syarie dan Pegawai Tadbir yang berkaitan.



