`BIAR lambat asalkan selamat’ adalah di antara kata-kata nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dalam nada yang penuh harapan beliau merayu supaya pemandu-pemandu lebih berhati-hati dan berhemah memandangkan kemalangan yang melibatkan kematian semakin bertambah. Beliau kelihatan sedih bercampur marah apabila mendengar bilangan kematian bertambah dan baru-baru ini disampaikan pula berita dua bas berlanggar di daerah Kuala Lipis, Pahang yang melibatkan 14 orang meninggal dunia dan berpuluh lagi cedera. Amat ngeri dan menyayat apabila melihat peristiwa ini.
Setiap kali menjelang perayaan, kita melihat gambar kemalangan melibatkan perlanggaran antara kenderaan. Kemalangan maut terus berlaku. Kerajaan pada tahun ini telah membuat keputusan supaya lori-lori berat tidak berada di jalan raya beberapa hari sebelum dan sesudah hari perayaan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Pada hari Ahad sebelum Hari Raya lori-lori masih juga kedapatan termasuk treler yang membawa jentolak menggunakan lebuh raya. Malah pada musim sebegini selalunya bas-bas ekspres akan lebih sibuk membawa penumpang balik ke kampung.
Bagaimanapun terdapat beberapa bas ekspres yang mengambil kesempatan untuk memandu dengan amat laju melebihi had laju yang ditetapkan. Kereta yang saya pandu dengan kelajuan 110 kilometer di lebuh raya `dipotong’ oleh bas ekspres. Pemandu tidak memikirkan keselamatan pengguna lain dan penumpang. Sikap pemandu seperti inilah yang boleh membawa malapetaka.
Kemalangan di jalan raya terus berlaku setiap kali tiba hari perayaan. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya tidak mendatangkan kesan yang positif. Justeru ada keluarga yang bersedih menerima ketibaan Syawal. Di hari lebaran seperti Aidilfitri sepatutnya semua umat Islam menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Mengisi hari-hari perayaan dengan ziarah menziarahi mengeratkan hubungan silaturahim – yang dekat dipereratkan, yang jauh didekatkan dan yang kesunyian dimesrakan. Suasana kegembiraan dan kesyukuran perlulah dipelihara, jangan sampai ada yang meratapi sanak saudara yang ditimpa kemalangan, dan mengusung jenazah ke pusara dengan titisan air mata.
Kemalangan boleh dielakkan, bukan dengan menyerah kepada takdir tanpa langkah-langkah keselamatan diambil terlebih dahulu. Kita perlu berusaha sebelum menyerahkan kepada takdir. Zaman dahulu ada di antara orang tua apabila hendak berjalan jauh, dia akan membuat beberapa penelitian dengan menghitung masa sebelum melangkah memulakan perjalanan.
Apabila menjadi musafir, ada beberapa ayat dan doa yang dibaca. Kita hari ini hanya masuk kenderaan dan pacu dengan kehendak hati tanpa berhati-hati dan berhemah. Baca Bismillah untuk memulakan perjalanan – entah dibaca entahkan tidak. Kemalangan yang telah berlaku tidak pernah menjadi iktibar dan pengajaran.
Seorang kawan ada memberitahu saya, suatu perkara yang orang Islam patut lakukan apabila memulakan perjalanan jauh – musafir iaitu sembahyang sunat Safar dua rakaat. Apabila berada dalam keadaan hendak memulakan perjalanan digalakkan membaca beberapa ayat al-Quran. Radio IKIM fm ada mengajar doa Safar.
Dari aspek kesesuaiannya bacaan doa tersebut, kita meletakkan harapan keselamatan dan ketenangan perjalanan kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui dan yang memudahkan perjalanan. Dengan bacaan beberapa ayat dan doa boleh memberi kesan positif kepada sikap seorang apabila memandu dan tidak lalai.
Ada pendapat yang mengatakan sikap adalah antara faktor utama kemalangan berlaku di jalan raya. Orang Malaysia disebut sebagai orang yang bersopan dan mesra. Bertambah lagi dengan keadaan dan suasana negara yang aman dan harmoni. Sesiapa sahaja boleh pergi membeli-belah di mana-mana tanpa kebimbangan.
Bagaimana apabila keluar ke jalan raya. Sama ada di Bukit Bintang atau di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau di lebuh raya. Pemandu kita kurang bertolak ansur. Sebagai contoh, jika kita datang dari jalan bukan utama untuk memasuki jalan utama, boleh dikatakan tiada pemandu yang akan memberikan kita laluan. Berlainan dengan di Barat. Pemandu di Barat (mungkin tidak semua), lebih bersopan dan bertimbang rasa dengan memberi laluan kepada pemandu dari persimpangan jalan. Sebahagian pemandu kita ego dan kurang bertimbang rasa termasuk yang baru dapat lesen `P’.
Semasa saya melawat salah sebuah negara – perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi dengan bas coaster, saya dapati lori-lori di sana tidak sewenang-wenangnya memotong kenderaan di hadapannya. Tidak mengganggu lorong laju yang digunakan oleh kereta. Sungguhpun lebuh raya itu ada yang mempunyai empat lorong tetapi lori tidak dibenarkan memotong dengan menggunakan lorong tengah atau lorong laju. Saya bertanya mengapa demikian? Pemandu kereta menjawab: “Kita pandu cermat, kerana jika tidak mengikut peraturan lesen memandu boleh digantung”. Peraturan sebegini boleh juga diberi pertimbangan oleh JPJ. Ada pemandu lori dan bas ekspres di negara kita menggunakan semua lorong apabila ada kesempatan memotong.
Satu perkara lagi, saya dapati di sekitar laluan di bulatan di negara tersebut, diadakan bonggol. Ini adalah bagi mengawal kenderaan supaya tidak terlalu laju apabila sampai ke bulatan dan dalam masa yang sama akan memberi peluang kepada kereta yang datang dari arah lain untuk bergerak. Di negara kita, bonggol banyak dibina di kawasan perumahan seperti di Jalan Bukit Tunku sahaja ada empat bonggol. Ini baik untuk keselamatan supaya pemandu tidak memandu laju dan berhati-hati. Sebenarnya mereka berhati-hati bukan kerana menjaga keselamatan pengguna jalan raya, tetapi lebih kepada menjaga supaya kenderaan mereka tidak rosak lebih-lebih lagi kereta yang memasang ekzos yang telah diubah suai. Saya perhatikan kereta-kereta Kancil juga ada yang diubahsuai dan dipandu amat laju di lebuh raya. Bahkan ada orang berkata kereta yang paling laju di lebuh raya adalah `Kancil’.
Nampaknya sebahagian pemandu perlu diberi `kursus pendek’ yang menjelaskan cara menggunakan jalan raya dengan berhemah supaya ada rasa hormat dan bertimbang rasa kepada pengguna lain dan penumpang. Tidak gopoh dan mementingkan diri sendiri dan tidak ego dan sombong. Semua peringkat termasuk pemilik syarikat-syarikat kenderaan perlu mengadakan kursus kepada pemandu-pemandu mereka supaya lebih beretika dan bermoral tinggi.
Bagi pemandu individu, JPJ melalui sekolah memandu perlu mengadakan kursus jangka pendek untuk melahirkan pemandu `mesra di jalan raya’ dan menjadikan keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama. Adalah menjadi tanggungjawab kita mengubah sikap di jalan raya ke arah yang lebih baik dan sopan.