Ada ketikanya `bersih’ itu belum dapat dikatakan sebagai `suci’. Suci adalah sifat yang mengandungi nilai-nilai spiritual dan keagamaan. Sucinya jiwa manusia apabila dia berada pada kedudukan yang diredhai Tuhannya.
Manusia yang dipertanggungjawabkan untuk membawa amanah sebagai khalifah di muka bumi kerana anugerah akal yang diberi, sedang pada masa yang sama mempunyai nafsu yang mendedahkannya untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran, maka manusia diberi kredit dosa dan pahala bagi setiap tindakannya.
Dosa-dosa itulah yang menyebabkan manusia perlu melakukan sesuatu sebagai tazkiyyah bagi menyucikan semula dirinya agar dia diterima oleh Tuhan. Penerimaan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya bermakna Allah meredai diri dan kehidupannya. Keredaan Allah adalah suatu perkara yang sangat penting bagi seorang mukmin kerana panasnya api neraka tidak akan mampu ditanggung oleh sesiapa.
Menyucikan semula jiwa yang telah ternoda adalah dengan memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah. Bagaimanapun, ada kalanya manusia lalai dengan tindakan yang dilakukan maka dia tidak menyedari telah melakukan dosa yang menyebabkan jiwanya kotor dan memerlukan penyucian semula. Maka pada setiap tahun Allah menyediakan satu prasarana yang terbaik kepada umat Islam bagi tujuan tazkiyyah diri manusia.
Sama ada manusia bersedia ataupun sebaliknya untuk menyambut ketibaan Ramadan, mereka tidak mempunyai pilihan untuk menerima dan melaluinya.
Bagi mereka yang mengetahui rahsia-rahsia keindahan dan manfaat yang boleh diperoleh dalam bulan Ramadan, maka mereka tidak akan melepaskan peluang yang dianugerahkan oleh Allah. Pada masa inilah tempoh yang paling berkesan bagi tazkiyyah diri dan jiwa manusia.
Pada masa ini manusia tidak akan dapat mengesan atau mengira berapa banyak keuntungan (pahala) yang bakal diperoleh, akan tetapi amalan yang hanya diniatkan untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. akan menghasilkan jiwa manusia yang bersih lagi suci pada akhir tempoh tersebut. Yang kemudiannya akan disempurnakan dengan tindakan-tindakan yang mengindahkan silaturrahim sesama manusia.
Antara mekanisme tazkiyyah dalam bulan Ramadan adalah dengan melakukan pemberian secara ikhlas kepada saudara seagama seperti bersedekah, hibah dan hadiah. Ia sangat digalakkan terutamanya untuk diberi kepada golongan yang kurang bernasib baik. Semakin ia diberi kepada golongan yang sangat memerlukan, maka semakin bererti pemberian atau sedekah tersebut di sisi Allah dengan syarat diiringi dengan niat yang ikhlas.
Mengambil sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk diberikan kepada orang lain, mungkin tidak mempunyai nilai dari perspektif ekonomi konvensional. Akan tetapi ia mempunyai nilai yang sangat menakjubkan di sisi agama, kerana di sisi agama pemberian itu akan menyuburkan harta tersebut.
Itulah sebabnya zakat adalah sesuatu yang dilahirkan oleh konsep tazkiyyah, menyuci dan menyuburkan. Ia mungkin tidak dapat dijawab secara logik akal manusia, tetapi manusia yang mukmin akan meyakini bahawa transaksi itu sedikit pun tidak akan merugikannya, malah akan mengembangkan lagi harta atau pemilikan yang sedia ada.
Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Taubah (9), ayat 109 yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Di sinilah letaknya perbezaan bagi manusia yang hanya bertindak menggunakan logik akal dengan manusia yang menggabungkan kebijaksanaan akalnya dengan keyakinannya terhadap kebijaksanaan Penciptanya.
Sebagaimana zakat menyuci dan menyuburkan harta pengeluar zakat, begitu jugalah bagi mukmin yang berpuasa. Secara zahirnya, fizikalnya akan keletihan terutama bagi mereka yang kurang bermaya akan tetapi tazkiyyah dari ibadat ini akan menyuburkan jiwa dan emosinya.
Sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Taubah tersebut, jiwa manusia yang subur akan dapat dilihat dari tingkah laku dan akhlaknya. Dan akhlak yang baik akan memberi manfaat kepada diri manusia itu sendiri, keluarga, masyarakat dan negaranya.
Akhlak yang baik akan melahirkan kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Umpamanya, apabila berlaku salah faham maka manusia yang memiliki akhlak yang baik akan mengambil pendekatan yang akan memberi keselesaan kepada semua pihak, ataupun akan mengelak daripada bertindak di luar norma-norma masyarakat.
Hasil tazkiyyah adalah falah, iaitu kejayaan. Kejayaan diri sendiri sebagai hamba yang bertakwa yang diredai Tuhannya dalam erti kata dia dapat melaksanakan peranannya sebagai khalifah di muka bumi secara berkesan meliputi aspek moral, rohani dan material.